Selasa, Ogos 17, 2010

Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Dari Banda Aceh menurut misi ke Lhokseumawe...

OK. Setelah 'diganggu' 2 artikel selingan kita kembali ke Aceh. Bersambung dari artikel Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Sekitar Banda Aceh.


Pagi Khamis 28 Januari 2010, sampailah masa untuk menyambung sesi jalan-jalan dan berziarah...


Kali ini kami akan berjalan jauh sehingga ke Lhokseumawe lebih kurang 300 km ke tenggara Banda Aceh. Maka sementara yang lain masih sibuk bersiap-sedia saya keluar berjalan kaki sebentar seorang diri...

Rehat di tepian Sungai Aceh yang terletak lebih kurang 100 meter sahaja dari hotel.



Sebelum meninggalkan Banda Aceh kami singgah dahulu di beberapa tempat.



Ini adalah Gunongan, satu bentuk taman permainan yang didirikan oleh Sultan Iskandar Muda (memerintah Aceh 1607-1636) untuk seorang isteri baginda yang berasal dari Pahang, Puteri Kamaliah yang dikenali rakyat Aceh sebagai Putro Phang. Lihat artikel lama Gunongan... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Kemudian baru kami berlepas meninggalkan Banda Aceh. Tempat pertama dituju adalah Masjid Indrapuri...





Al-Rasyid berehat dalam masjid. Untuk makluman, ketika ini anak kecil kami baru sahaja berumur 3 setengah bulan.





Isteri pula seronok bersolat.





Yang pasti Masjid Indrapuri yang terletak sekitar 25 km ke tenggara Banda Aceh memiliki keistimewaan yang tersendiri. Lihat artikel lama Masjid Indrapuri, bukti agama Hindu memang berasal daripada syariat Nabi Ibrahim AS?



Dari Masjid Indrapuri sudah cukup dekat untuk ke makam Teungku Chik di Tiro, seorang pahlawan nasional yang merupakan ulamak memimpin perjuangan Aceh melawan penjajahan Belanda. Lawatan kali ini ternyata lebih bermakna. Baru kali ini saya dapat masuk betul-betul ke dalam makam. Lihat artikel My second visit to the tomb of Teungku Chik di Tiro di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.





Destinasi seterusnya adalah sekolah pondok Dayah Tanoh Abee yang turut terletak di sekitar ini. Oh, maksud sekitar tu bukanlah betul-betul dekat. Tapi kira-kira dalam jarak 10-15 km dari makam Teungku Chik di Tiro dan Masjid Indrapuri, jadi kira dekatlah juga. Pemandu yang pernah membawa saya dan isteri ke sana melalui jalan besar memberitahu kita juga boleh sampai melalui jalan kampung. Dengan tidak sengaja kami boleh terjumpa satu kawasan pemakaman milik satu keluarga bangsawan yang paling utama di Aceh. Lihat Kawasan pemakaman (Burial area for) Panglima Polem.




Untuk makluman semua kawasan ini terletak di sekitar kaki Gunung Seulawah. Gunung berapi tidak aktif setinggi sekitar 5,500 kaki dari paras laut ini merupakan satu-satunya gunung paling terserlah berpuluh kilometer dari setiap arah.


Jalan pendalaman yang diambil juga membawa ke satu lagi tempat bersejarah tanpa kami merancang. Untuk pengetahuan, seperti kami pemandu juga baru pertama-kali mengambil laluan, semuanya berdasarkan cerita-cerita orang juga dengan bertanya kepada warga tempatan.

Pertanyaan asalnya cuma begini : "Bagaimana mahu sampai dari makam Teungku Chik Tiro ke Tanoh Abee melalui jalan dalam?". Nah, dengan itu kami boleh terjumpa kawasan pemakaman keluarga Panglima Polem. Dengan itu juga kami terjumpa kompleks bangunan di atas yang rupa-rupanya adalah Dayah Tanoh Abee asal yang dibina 400 tahun lalu! Lihat Dayah Tanoh Abee yang asal (The original religious institution of Tanoh Abee).







Tidak lama kemudian sampailah kami ke Dayah Tanoh Abee yang lebih dikenali orang, dayah yang dibina mungkin kurang 200 tahun lalu.




Kami mengambil peluang untuk bertandang ke rumah orang yang dipanggil Umi, isteri kepada almarhum khalifah Dayah Tanoh Abee yang namanya Teungku Muhammad Dahlan kalau tak salah ingatan. Dialah yang memberitahu bangunan tinggal yang dilihat sebelum sampai ke sini adalah Dayah Tanoh Abee yang asal. Dan di situ juga disemadikan beberapa orang pemimpin dayah terawal. Lihat Makam pemimpin Dayah Tanoh Abee (Tombs of the leaders of the religious institution of Tanoh Abee).




Al-Rasyid sempat dimandikan di rumah Umi, barulah nampak segar. Untuk mengetahui apakah kelebihan Dayah Tanoh Abee, baca artikel lama Dayah / Pesantren / Sekolah pondok Tanoh Abee... dan perpustakaan lebih 300 kitab lama!.




Perjalanan ke Lhokseumawe diteruskan. Berhenti berehat minum kopi di pekan Saree yang terletak pada ketinggian sekitar 1,600 kaki di lereng Gunung Seulawah.


Kedudukan dan cuacanya boleh disamakan dengan di Genting Sempah, lebuhraya Karak, lebuhraya yang menghubungkan bandaraya Kuala Lumpur dengan tempat-tempat di Pahang. Tetapi Genting Sempah cuma sebuah perhentian sedangkan di sini adalah sebuah pekan cukup segala kemudahan...


Oh. Kami turun dari pekan Saree pun sudah melepasi jam 7:30 malam. Dua jam kemudian sampai dan singgah ke Makam Syahid Lapan yang terletak di tepian jalan. Lihat artikel lama Ke makam Sultan Malikus Salih - kenapa pula deja vu lama di Makam Lapan?.


Dipendekkan cerita kami sampai ke Lhokseumawe tengah malam tetapi membuat keputusan untuk terus ke makam Sultan Malikus Salih di Geudong lagi 15 km perjalanan. Malam itu malam Jumaat dapatlah anak kecil kami Muhammad Al-Rasyid yang namanya sudah disimpan sekian lama meluangkan masa di makam nenda. Di kala watak Muhammad Al-Rasyid dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang terbit tahun 2006 dan 2007 masih merindui untuk menjejakkan kaki ke sini, Al-Rasyid si kecil telah pun sampai.

Sebagai peringatan, watak Rasyid dalam novel dicipta berdasarkan pengalaman sebenar saya ke Aceh Januari 2004 ketika ia sedang daurat. Inilah yang membuat saya tidak dapat masuk lebih jauh. Nah, dengan perjalanan ke Aceh penghujung Januari 2010 baru nama ini sendiri dapat menunaikan hajat. Ia juga menyaksikan saya dapat menunaikan janji kepada seorang teman. Saya telah memberitahu akan membawanya ke makam Sultan Malikus Salih dan ini berjaya dilakukan malam Jumaat masuk 29 Januari 2010.





Allah! Begitu nyenyak Al-Rasyid tidur sehingga tidak sedar kami berada di sini tidak kurang sejam begitu lewat malam. Tidurlah Rasyid anak ku sayang. Kamu adalah sebahagian dari Abah juga sebahagian dari ibumu Mami. Jika 6 tahun dahulu Abah perlu bersusah-payah mengambil feri dari Pulau Pinang masuk ke Medan kemudian mengambil jalan darat cuba masuk ke Aceh, itupun dihalau tentera, kamu cuma perlu rela diangkut sahaja ke sana ke mari tanpa banyak kerenah. Jika Abah dahulu terpaksa berhempas-pulas mencari jalan sebelum dapat masuk ke Aceh 3 hari 3 malam kemudian dihalau keluar, kamu dengan senang dapat naik kapalterbang terus ke bumi bertuah ini.

Abah harus menunggu 5 tahun 5 bulan untuk sampai ke makam Sultan Malikus Salih iaitu apabila sampai bersama Mami Jun 2009, ketika Aceh tidak lagi darurat dan sudah pulih sekurang-kurangnya dari segi infrastruktur selepas ombak ganas Tsunami menyerang 26 Disember 2004. Kamu pula Al-Rasyid memegang nama yang sudah 8 tahun disimpan, 3 tahun menjadi nama watak novel berdasarkan perjalanan sebenar Abah lalu berjaya sampai ke makam Raja Wali ini ketika kamu baru sahaja berumur 3 bulan setengah! Beruntung sungguh kamu Al-Rasyid. Dan kami sebagai ibu bapa pula begitu beruntung mendapat seorang anak yang dapat menurut jejak. Untuk artikel seterusnya akan dipaparkan keadaan makam waktu siang. Nanti... :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan