Sabtu, Jun 12, 2010

Mereka yang mengambil kesempatan atas kelompongan sejarah...

Syah Alam So'od Tabim Kaifa Gigi Kapak Haprak Gila Takhta...

Tersebutlah kisah seorang raja dan rombongannya melarikan diri dengan kapal dari serangan ganas tentera Ayam. Sampai ke kuala sebuah sungai yang kelihatan selamat dari pandangan musuh mereka pun cuba mendarat. Malangnya tiada tebing yang terang untuk kapal mahupun sampan masuk. Semua bahagian antara daratan dan air ditumbuhi pokok-pokok sederhana tinggi yang keluar dari lumpur.

Ketika raja sedang pening memikirkan jalan terbaik untuk naik ke darat, seorang panglima datang menghadap.

"Ampun tuanku beribu-ribu ampun sembah patik harap diampun."

"Ya panglima, ada apa-apa perkhabaran menghadap beta?"

"Begini tuanku, patik ada cadangan bagaimana kita mahu masuk ke darat."

"Hmm..." jawab raja. "Apakah jalannya panglima?"

"Begini tuanku," kata panglima. "Kapal kita tidak boleh terus duduk di kuala sungai, takut musuh yang mengejar nampak."

"Ya!" kata raja. "Beta tahu keadaan itu."

"Kita juga sudah kekurangan bekalan makanan termasuk air tawar. Jadi nak tak nak kita tetap perlu naik ke daratan".

"Ya. Beta pun tahu itu juga."

"Begini tuanku," panglima merapati raja. "Apa kata kita angkat kapal ini naik atas pokok terus masuk ke darat."

"Hah?" raja terperanjat. Cadangan tidak masuk akal apakah ini fikir baginda.

Panglima mula tertawa. "Ala... patik gurau je. Nak bagi tuanku hilang tension..." dia tersengih pula.

Raja mula naik angin. "Kepala bapak engkau!" baginda menyergah.

Sejak itu cadangan panglima tersebut menjadi gurauan anak kapal lain. Asal terjumpa je panglima mereka akan menyergah "Kepala bapak engkau!", asal jumpa je "Kepala bapak kau!"

Disebabkan dah selalu sangat menyebut "Kepala bapak kau" ia mula disingkatkan. "Pala bapak kau" boleh jadi "bapak kau" dan akhirnya "ba kau". Oleh kerana maki-hamun gurauan ini tercetus akibat cadangan bodoh mengangkat kapal ke atas pokok di kuala sungai, pokok itu pula disebut pokok "bapak kau" dan akhirnya pokok "bakau". Itulah asal-usul nama pokok-pokok yang tumbuh dari dalam lumpur di kuala sungai.

Amacam... logik tak ceritanya? Apsal plak tak logik? Logik dia lebih kurang sama pasal rombongan dari satu benua muncul di Tanah Melayu dan mendarat di kaki satu gunung. Kemudian sang raja menyuruh orang-orangnya meninjau sekitar gunung untuk mencari sesuatu. Bila orangnya balik raja pun bertanya yang bunyinya lebih kurang begini: "Siapa ada?". Kononnya disebabkan pertanyaan raja tersebut yang bunyinya adalah "Ju rai" dalam bahasa mereka, maka itulah asal-usul nama gunung tersebut sehingga dipanggil Gunung Jerai. Bangang ke hapa? Jadi Gunung Jerai tu Gunung "Siapa ada" ke?

Tuan-tuan dan puan-puan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat melihat banyak orang yang mengaku berketurunan raja kemudian cuba mengisytiharkannya kepada khalayak ramai. Diakui memang ada di antara mereka yang betul-betul berketurunan raja tetapi baru kini mengetahuinya akibat salasilah keluarga telah digelapkan sekian lama atas beberapa sebab. Antara sebab yang biasa kita dengar adalah merajuk kerana berlaku sesuatu yang menyebabkan nenek-moyang dahulukala lari meninggalkan istana lalu membuang gelaran raja. Ada pula yang nenek-moyangnya membuang gelaran kerana tidak mahu anak-cucu keturunannya terus diburu dan dibunuh musuh.

Meminjam cara bercakap golongan "realiti mutlak", mereka yang merasakan sejarah versi mereka sahaja yang 100 peratus betul, kita semua tahu betapa sejarah kita telah digelapkan penjajah terutama Inggeris sehingga wujud kelompongan tertentu dalam sejarah kita. Dan memang kita semua tahu betapa raja-raja yang ada sekarang boleh kata kesemuanya dapat menduduki takhta atas campurtangan penjajah yang sering memilih kerabat diraja yang sanggup menurut kata-kata mereka seraya membuang kerabat yang menentang keluar terus dari istana.

Masalahnya kelompongan sejarah dan fakta wujudnya kenaikan raja atas pilihan penjajah telah membuka ruang untuk ramai pihak lain pula membuat pengakuan yang bukan-bukan. Ibarat anai-anai yang keluar beramai-ramai dari tunggul pokok yang buruk mereka menggunakan sumber-sumber sejarah separuh sahih lalu dijalin dengan cerita-cerita akuan puak-puak sendiri untuk mengetengahkan diri sebagai waris 'realiti' lagi 'mutlak'.

Hmm. Saya rasa tak perlulah dipanjangkan sangat cerita ini. Kita sudah dengar 2-3 kes orang mengaku Sultan Melaka sehingga masuk suratkhabar, ada pula kes orang mahu menuntut gelaran dan pangkat istana kerana katanya sudah tamat sumpah 7 keturunan. Ada yang sudah mewar-warkan diri sebagai waris puteri yang hilang di kala negeri tempatnya duduk sedang mengalami masalah yang melibatkan takhta. Kes jadi putera-puteri ni sudah banyak sangat saya dengar terutama dalam lingkungan mereka yang terlibat dengan dunia persilatan dan perubatan sehingga ke tahap batin.

Kalau ikutkan, takda le pelik sangat tentang ini semua kerana kita juga telah mendengar kes orang mengaku jadi Nabi dan Rasul. Di luar pandangan media, saya sudah terjumpa kes orang mengaku Nabi Khidir, Saidina Ali, Sultan Malikus Salih, Sultan Iskandar Muda atau penjelmaan semula nama-nama besar ini. Tetapi paling parah apabila ada gerombolan yang terus mahu mengangkat kaum-kerabat mereka sebagai para pemerintah mutlak yang kononnya memiliki jajahan takhluk yang meliputi seluruh Nusantara, Indo-China, sebahagian India juga Australia. Walaupun penipuan mereka telah disedari ramai apabila perkataan Arab Sayyam pun mahu dikatakan berkait dengan bangsa mereka, penipuan tetap diteruskan dengan cara lebih licik kononnya mahu mengaku sebagai pembela bangsa Melayu dalam blogspot baru dan majalah sedangkan dahulu merekalah yang paling sibuk mencanang bahawa bangsa Melayu tidak pernah wujud kecuali satu konsep atau terma baru ciptaan penjajah semata-mata.

Sebenarnya kalau nak bergaduh pasal bab warisan raja ni takkan habis cerita. Biar saya cerita bab Perak negeri yang begitu rapat dengan saya. Kebelakangan ini ada kes orang yang menamakan dirinya Raja Ahmad Nasir meminta agar dijadikan salah satu raja bergelar Perak kerana katanya sudah tamat sumpahan 7 keturunan sejak Sultan Idris I menaiki takhta Perak kira-kira seabad lalu. Saya rasa bab dia mengaku keturunan dari kekanda sulung Sultan Idris itu tiada masalah. Tetapi apakah yang menyebabkan beliau begitu istimewa berbanding ramai lagi kerabat diraja Perak yang bersepah sana sini? Memang pun ramai yang tidak lagi memakai gelaran raja atas sebab-sebab tertentu. Perlukah sangat kita menuntut kembali gelaran itu untuk menyedapkan hati sendiri?

Seorang ahli perniagaan yang mengenalkan diri sebagai Raja Norjan Shah mengaku sebagai Sultan Melaka atas dasar beliau katanya adalah keturunan Sultan Abdullah Muhammad Shah, Sultan ke 22 Perak. KeSultanan Perak memang diketahui berasal dari keSultanan Melaka. Namun apakah istimewanya Norjan berbanding ramai lagi keturunan Sultan Abdullah yang juga memiliki darah diraja Melaka?

Ada pula mereka yang mengaku layak menaiki takhta Melaka kerana kononnya berketurunan Sultan Mahmud mangkat dijulang, raja terakhir Johor dari keturunan Raja Melaka. Kalau betul pun mereka keturunan Sultan Mahmud, saya rasa semua orang yang mengkaji tahu bahawa Raja-raja Johor dahulukala adalah anak Sultan Melaka dari belah ibu keturunan Bendahara sedangkan Sultan Perak adalah dari belah ibu gahara atau darah raja.

Namun untuk mengatakan keSultanan Perak adalah pewaris mutlak Melaka pun tidak tepat. Apa jadi kepada keturunan Sultan Munawar, kekanda kepada Sultan Mahmud (yang disebut dikalahkan Portugis tahun 1511), waris yang lebih afdal untuk menaiki takhta menggantikan ayahandanya Sultan Alauddin? Itupun ada pihak menuduh keSultanan Perak dahulukala tidak pernah wujud kecuali mitos ciptaan lanun-lanun yang menaiki takhta kemudian menulis sejarah baru. Lebih parah lagi apabila disebut keSultanan Melaka pun tidak wujud. Yang mutlak wujud lalu kononnya berkuasa atas semua cuma kerajaan yang elok dipanggil sebagai Empayar Putaran Sayyam Shah Alam So'od Perut Buncit sahaja.

Beginilah. Daripada terus berkokok mengaku itu dan ini buat sahaja kerja yang layak dengan status yang kita akui itu. Baguslah kalau kita dapat mencari salasilah keluarga tapi jangan tertipu dengan permainan jin, syaitan dan nafsu yang juga cukup pandai memutar-belitkan salasilah di alam ghaib agar kita terasa besar kepala, terasa diri tu raja yang mutlak lagi realiti belaka. Jangan sampai batu nesan perempuan pun kita kata milik raja laki-laki, kononnya kita memegang wasiat dan boleh tahu kebenaran dengan memegang batu nesan itu sahaja. Kalau betul kita ini waris yang layak menjadi raja, buat sahaja kerja seorang raja tanpa perlu naik atas takhta.

Apakah kerja asas seorang raja? Membela rakyat bawahannya. Ikutlah kemampuan diri. Kalau kita pemimpin masyarakat atau politik mungkin kita lebih mampu menyelesaikan masalah orang-ramai. Kalau kita ahli perniagaan dan banyak duit, kita boleh sediakan peluang pekerjaan sambil menderma ke mana-mana orang atau institusi yang patut. Kalau kita ilmuwan atau ahli pemikir kita boleh memberikan buah pemikiran yang dapat menaikkan taraf kehidupan masyarakat. Kalau apa yang kita mampu adalah setakat memperbetulkan sejarah yang telah diselewengkan Barat, maka tulislah kembali sejarah yang dapat memberikan kekuatan kepada nusa dan bangsa. Peranan raja yang paling afdal adalah membentuk jatidiri masyarakatnya sehingga dapat hidup bahagia dunia dan akhirat. Dan termasuk dalam takrif jatidiri ini adalah pembentukan iman sehingga kita semua dapat menjadi insan yang ihsan lagi mengenal akan perhubungan sebenar hamba dengan Khaliq...

Jangan ambil kesempatan atas kelompongan sejarah untuk menulis sesuatu semata-mata demi menaikkan puak sendiri... habis segala kitab yang tak selari dituduhnya sebagai tulisan penjajah, kitab yang hampir selari pula disalah-tafsir sebegitu rupa sehingga undang-undang yang sebenarnya diatur dari abad ke 17 hingga awal abad ke 18 dikatakan ditulis lebih 1,200 tahun lalu. Apabila itulah mentaliti kita maka kita akan terperangkap dalam cerita yang diulang-ulang selama bertahun-tahun demi meraih pengaruh. Di ketika orang lain telah mengkaji di manakah kedudukan bangsa Melayu pada zaman Nabi Ibrahim dan zaman Nabi Nuh, kita masih lagi memutar kata-kata yang sama mencanang sejarah rombongan dari Cina yang kononnya menaiki Gunung Jerai 1,200 tahun lalu hinggalah ke kisah Sultan Kedah yang kononnya mengubah seluruh sejarah Tanah Melayu ketika bersembunyi di Melaka bawah naungan Inggeris.

Jangan jadi pihak yang apabila ditanya kononnya tiada niat mahu menuntut takhta. Tetapi pada masa yang sama mengaku waris mutlak kepada satu kerajaan khayalan yang kononnya menguasai seluruh Nusantara, Indochina, separuh India dan Australia lalu meminta agar diberikan 'hak' mereka. Mungkin mereka-mereka ini patut pergi ke Afrika Selatan menonton Piala Dunia. Lihatlah pakaian bola pasukan Afrika Selatan yang serupa warna negeri Kedah iaitu hijau kuning. Mungkin ia boleh dijadikan idea baru untuk dimasukkan ke dalam blog-blog, forum dan Wikipedia... sebagai 'bukti' bahawa Afrika Selatan juga pernah diperintah seorang "raja daerah" di bawah 'naungan' mereka?

Mungkin juga Nelson Mandela sebenarnya bernama Nai Long Kodok. Apa nak dihairankan? Sedangkan Filipina pun boleh dikatakan puak "realiti mutlak" sebagai bermakna "abang Ali abang beta", sedangkan semua pengkaji yang waras tahu ia berasal dari perkataan Barat "Philipines" yang diberi oleh penjajah Sepanyol untuk menghormati raja mereka Philip. Apa ke bodoh satu wilayah boleh diberi nama "abang Ali abang beta"? Sedangkan Philipines cukup terang merujuk kepada wilayah bawahan Philip akibat penjajahan Sepanyol. Siapakah yang begitu biol boleh membiarkan diri terus tertipu dengan teori-teori "realiti mutlak" bodoh kecuali mereka yang betul-betul senang ditipu atau pihak berkepentingan yang mahu menyokong kenaikan takhta puak sendiri.

Tak apa. Buatlah apa yang patut untuk menghidupkan blog yang sudah lama tak laku asalkan sahaja tidak terus menipu... kalau nak menipu pun ngaku sahajalah ia cuma hiburan semata-mata. Atau kalau masih juga nak mempertahankan sejarah versi sendiri, gunakan bahasa berhikmah. Katakanlah itulah sejarah yang dipegang oleh pihak kami. Mungkin sahaja ia tidak sama dengan sejarah yang dipegang oleh pihak lain namun kami terus mahu berpegang padanya kerana itulah yang disampaikan oleh tok nenek moyang kami. Jangan sesekali membuat pengakuan sejarah kita sahaja yang betul 100 peratus, orang lain bohong belaka. Itu lebih elok dan merendah diri...

Selama bertahun pembaca telah dihiburkan dengan cerita-cerita fantasi hebat lagi mengujakan sehingga Allah membiarkan tembelang mereka terpecah sendiri dengan cerita puasa dan Sayyam. Saya rasa kalau sahaja mereka sudi mengaku sebagai badut-badut pembuat cerita hiburan pun lebih baik dan pembaca sudi memaafkan. Kalau buat cerita komik pun lebih berfaedah. Yang penting jangan terus menipu dan nak mengangkat penipuan sebagai realiti apalagi kebenaran mutlak.

20 ulasan:

  1. salam...
    perubahan yang menarik di ketiga-tiga blogspots, namun... akan pasti rindu kepada yang terdahulu...

    BalasPadam
  2. uishhh lawa ler bang ms background baru. yepp, nak senang jalan mudah, nak kaya jalan mudah, nak kuasa jalan mudah...akhir sekali ...PODAHHHHH!!!

    BalasPadam
  3. Heh! Tadi sebenarnya Abang nak test blogspot punya latest design editor je. Test punya test terus hilang layout yang dulu. Alang-alang tak boleh patah balik biar buat betul2 ya tak? Terus adjust tiga2 blogspot.

    Bab artikel baru ni bukan apa. Dah fed-up dengar banyak orang dok angkat diri sendiri jadi raja. Kalau betul pun waris man2 le. Buat le apa yang patut tanpa perlu cari publisiti murahan atau buat kempen karang balik sejarah nak naikkan puak sendiri...

    Ini tak, dah le buat kempen kat sana-sini sampai Wikipedia pun nak dijadikan 'bukti' padahal depa yang tulis sendiri, nak nafikan makna bangsa Melayu sampai nak kata keSultanan Melaka pun tak wujud. Bugis pun dikatanya orang Portugis. Nampak sangat diaorang punya kaji dalam lingkungan kecil puak sendiri... dah tanya tak bagaimana perspektif orang di Sulawesi tentang sejarah Nusantara ini?

    BalasPadam
  4. Gen11 tok kadok.
    assalamualaikum wbh, bapak radzie, persoalan dan kemusykilan saya tentang nisan puteri acheh dalam daerah kg gajah dimana terdapat dengan jelas seperti lambang salib masih belum di "publish", biasanya bapak akan menjawab panjang lebar/memberi komen/membuat tegoran. seperkara lagi pak tentang kewujudan satu makam di kampung pasir sena telok pedayong yang bernisan kan "acheh" ianya terletak hanya kurang lebih 350 meter dari Rumah Pam JPS Telok Sareh menghala ke bota kanan, perak.cerita dari mulut ke mulut disebut makam Tok Sagor, kawasan berpagar dan bergeril, manakala batu nesan pula seperti patah sedikit.

    BalasPadam
  5. Wassalam. Hmm. Bila masa pula ada komen masuk sini yang tidak dipublish? Saya tidak pakai comment moderator di blogspots saya kecuali komen itu sendiri yang tidak pernah masuk. Cara bapak mengatur ayat itu kelihatan seolah2 saya cuba menyembunyikan sesuatu.

    Apapun saya dah tengok balik gambar batu nesan Puteri Aceh. Memang kelihatan ada bentuk seperti salib, saya pun tak pasti mengapa. Mungkin ia bukan salib tetapi kelihatan seperti salib?

    Kalau bapak ada jawaban bagitahulah. Saya sebenarnya penat nak jawab sesuatu yang saya pun takda jawabannya kerana saya cuma memaparkan sesuatu yang saya lihat dan cuba ulas mengikut apa yang terkeluar pada waktu itu.
    Bab makam kat Teluk Sareh tu saya tak tahu. Mintak maaf pak. Entah kenapa saya semakin rasa kurang enak membaca komen bapak. Tak tahu kenapa. Mungkin nadanya saya rasakan semacam...

    Saya rasa beginilah. Kalau bapak lebih tahu cerita sahajalah. Saya tiada jawabannya. Sekian.

    BalasPadam
  6. Zaman dulu2, nak jadi raja kena faham kitab2 tuhan supaya boleh tegakkan hukum2 tuhan. Raja juga dikurniakan tuhan kekayaan dgn kuasa tuhan yg maha kaya.
    Kalu yg nak jadi raja sekarang ni nak mencari pangkat dan menerima habuan dari rakyat, baik lupakan saja. Raja memayungi rakyat bukan rakyat dibebankan raja.

    BalasPadam
  7. bro....back ground baru nie best, tapi berat sket ahhh....nak baca pun cam merangkak pulak jadik nyer....

    ader aper2 cadangan untuk lajukan??

    hehehe....

    BalasPadam
  8. Sebenarnya upload speed lebih kurang je dengan yang dulu. Hampir takda beza pun. Kalau nak cepat kena tambah bandwith kot?

    Hmm. Camni lah. Mende ni senang baca bila dah biasa. Biasa le... apa2 perubahan lebih2 lagi kalau lebih berwarna-warni ni mata kita lambat tangkap sikit. Lepas tu OK. Kalau nak bagi tulisan nampak lagi clear, boleh amplify screen. Senang je. Tekan butan Ctrl dan +. Nak kecikkan balik Ctrl -. Selamat mencuba... :]

    BalasPadam
  9. Candi Borobudur berasal dari bangunan Islam dengan seni bina Arab Yaman? Sungguh x masuk akal. Walhal telah jelas nyata rekabentuk pelan lantainya adalah Mandala Buddha yang banyak diguna dalam seni hiasan Buddha di Tibet... Adoiii!

    BalasPadam
  10. Sekarang ada yg nak mengangkat Srivijaya sebagai pertama mendapat pengaruh Islam, di sebelah Nusantara.

    Sedangkan sebenarnya yg pertama memeluk Islam adalah Merah Silu dari Sumatera.

    Bila dah menuju kepada kebangkitan Islam, yg kafir pun nak dikaitkan. Ini semua nak mengganggu perjalanan kearah kebangkitan Islam yg sebenar.

    BalasPadam
  11. hohoho... seronok biler dengar cerita org mengangkat diri dan puak mereka sendiri... sebab akhirnya mereka angkat kain sendiri... menunjukkan malu sendiri...

    layout baru nie lawa (ok la sekali sekala tukar kaler meriah skit..)

    artikel yg bagus dan segar!

    -abuhakeem-

    BalasPadam
  12. Zam: Nak mengatakan senibina Borobudur tu berasal dari Islam Yaman mungkin keterlaluan. Tetapi tak mustahil ia asalnya binaan Islam tapi dari warisan Islam agama Hanif Nabi Ibrahim. Yang ini boleh dikaitkan dengan bentuk mandala kerana mandala itu sendiri bukanlah suatu berhala tetapi satu konsep universal di mana satu pusat atau tumpuan dikelilingi oleh corak atau struktur yang lain. Ia sebenarnya satu konsep Tauhid yang boleh dikaitkan dengan pengetahuan penciptaan alam menurut pemahaman ahli Sufi. Dan lagi menurut sesetengah orang Buddha itu sendiri memang seorang Nabi yang mencari kembali kemudian meneruskan agama Hanif setelah agama Hanif terdahulu diselewengkan menjadi agama Hindu yang kita kenal sekarang.

    Anon 9:41: Memang Srivijaya mendapat pengaruh Islam awal. Ini ada direkodkan melalui persuratan seorang Raja Srivijaya yang memeluk Islam selepas berutusan dengan Khalifah Muawiyah ke Umar Ibnu Aziz, saya tak ingat. Tapi tak dapat dipastikan jika kerajaan Srivijaya sendiri menjadi Islam. Yang tahu cuma seorang rajanya sahaja masuk Islam, mungkin diiringi kerabat terdekat.

    Adapun Merah Silu itu adalah raja yang paling awal diketahui memeluk Islam di Nusantara. Kemudian para pengkaji mendapat tahu kewujudan kerajaan Perlak yang telah Islam 400 tahun lebih awal dari kerajaan Samudera-Pasai. Seterusnya ada pula kerajaan Jeumpa yang katanya mula Islam sejak tahun 777 Hijrah lagi. Sedangkan komuniti orang Islam diketahui telah wujud di Sumatra sejak zaman para sahabat lagi, tetapi sekadar komuniti ibarat satu keluarga orang Islam duduk di England, bukan kerajaannya yang Islam.

    AbuHakeem: Tidaklah saya bertujuan mengutuk sesiapa kecuali rasa prihatin apabila melihat orang ramai yang teraba-raba mencari sejarah sebenar Melayu boleh ditipu oleh pihak yang berkepentingan. Siam Islam itu benar tetapi Siam Islam sebagai kekhalifahan Timur yang menguasai semuanya sebelah sini di mana Melaka kononnya cuma setakat pelabuhan sahaja, bukannya kerajaan apalagi empayar... itu satu pembohongan yang sangat besar dan perlu ditentang.

    BalasPadam
  13. salam abg radzi,

    saya setuju dgn pendapat abg radzi. memang ramai yg cuba mengambil kesempatan diatas kelompongan sejarah. Memang saya terkilan dgn blog yg satu tu. menafikan diri menuntut takhta kerajaan tetapi dalam penulisan sering mengagungkan diri sbg waris mutlak. lebih malang lagi bila lihat video youtube mereka di kubur2 lama. main hentam saja menjelaskan tuan yg empunya kubur. kubur rakyat biasa pon dikatakan milik seorang sultan. Terjemahan bahasa juga kurang tepat. mungkin sebab 1 perataan boleh membawa banyak maksud berpunca dari perbezaan huruf. jadi mudah untuk dipilih ikut suka hati tapi secara grammarnya memang hancur.

    saya setuju benar dgn saranan saudara yg berbunyi lebih kurang - kalau tak jadi raja pun boleh melakukan tugas2 raja mengikut kemampuan.

    Mungkin duit pencen tak cukup nak bayar duit pajero dan sewa kedai jadi sengaja menuntut elaun Sultan yg beribu-ribu (sekadar gurauan). patut jgn dilayan org2 begini, biar mereka didalam dunia khayalan sendiri. Cuma kesian kepada mereka2 yg tercari2 sejarah bangsa. ibarat nak cari ustaz, dapat ayah pin.

    -- yob leman --

    BalasPadam
  14. sambung...

    saya tak nafikan jajahan Melaka dahulu seluas semenanjung tanah melayu ni dan tak hairan jika ia ada banyak pelabuhan. macam malaysia sekarang ada port klang, PTP, pelabuhan balik pulau dan sebagainya. mungkin ada kebenaran yg bandar hilir sekadar pelabuhan bagi kota Lukut tapi sepatutnya disertakan dgn bukti yg jelas dan sumber yg pelbagai. ini sampaikan A Famosa dikata milik portugis islam. saya belum pernah jumpa lagi mana-mana manuskrip yg kata ada kota portugis islam kat melaka. Org portugis peranakan di Melaka pon rata-rata beragama kristian.

    jangan kerana terlampau ghairah nak tegakkan sejarah org islam sampaikan yg kafir pon dikata Islam, yg haram dikata halal.

    -- yob leman --

    BalasPadam
  15. Wassalam. Tak apa. Pihak sana dah lama jalankan kempen memburukkan saya. Bukan apa, bila ada orang bertanya pendapat saya tentang dakwaan mereka, saya jawablah apa yang saya tahu. Dan tentulah saya tak bersetuju dengan banyak dakwaan karut mereka walaupun saya juga percaya Siam memang asalnya Islam.

    Selama ni saya tak mahu masuk campur dalam dakwaan mereka kecuali menjawab kekeliruan apabila orang bertanya di blogspot saya. Tapi bila pihak diorang sendiri cuba nk berkempen menegakkan dakwaan kat sini hantar komen suruh makmurkan blog mereka, saya pun sound le... jangan le nak bawak dakyah Sayyam kat sini, lebih kurang begitu saya sound. Dah le kat Wikipedia dan segala macam forum pun engkorang cuba nak menipu...

    Sekurang-kurangnya saya cuba juga cakap bertapis bila menyatakan rasa tidak senang saya terhadap usaha mereka mengambil kesempatan atas kejahilan sejarah orang lain. Tapi diorang kalau dah kutuk tu terang2 sebut penulis buku "Berpetualang ke Aceh"ni begitu begini. Lepas tu kata saya keturunan lanun lagi.

    Betul, nenek moyang saya pernah jadi lanun. Tapi depa dah kaji ke lanun tu asal-usul sebenar dari mana? Orang macam Panglima Kulop Mentok yang attack loji Belandakat Pulau Pangkor (dulu dipanggil Pulau Dinding) tu sapa? Yang pasti bukan kaum kerabat Sayyam mutlak walaupun penjajah dok panggil depa lanun.

    Tu tak pa lagi. Ini sampai nama anak saya yang ada perkataan Amin Ar-Rashid pun nak dikutuknya. Nak kutuk nama Muhammad tak berani sebab kalau buat gerenti kantul punya macam kes bila blogspot diaorang mengaku perkataan Sayyam kononnya membuktikan kebesaran Siam walhal ia cuma perkataan Arab yang bermakna puasa, takda kena-mengena langsung dengan "realiti mutlak" mahupun Al-Jefri bohong. Lalu nama Amin Ar-Rasyid (nama penuh anak saya Muhammad Al-Aminul Rasyid) dikaitkan plak dengan satu ahli keluarga Bani Abbasiyah yang membelot ke hapa merampas takhta. Walhal nama itu sendiri tak berkait dengan sapa.

    Kan ke Amin tu bermakna yang benar? Ar-Rashid pula adalah 1) Salah satu Asmaul Husna atau nama Allah. 2) Dari segi bahasa pula ia cuma bermakna Yang Bijaksana. Itupun boleh jadikan bahan kutukan bila kita tak setuju dengan sejarah versi mereka? Aduhai... macam ini punya orang ada hati nak jadi pembela Islam?

    BalasPadam
  16. Ayat ni ... "menafikan diri menuntut takhta kerajaan tetapi dalam penulisan sering mengagungkan diri sbg waris mutlak. lebih malang lagi bila lihat video youtube mereka di kubur2 lama."............macam kau perli blog ni jek.

    Aku suka ayat kau yob leman, dalam puji2 mengena rupanya.

    BalasPadam
  17. Tu dia. Geng realiti Sayyam mutlak dah mula nak mengadu-domba kat sini. Modus operandi sama... ambik sesuatu ayat atau perenggan out of context...ambik bahagian yang dirasakan boleh digunakan untuk kepentingan diri sahaja. Bahagian lain yang menerangkan keadaan sebenar cuba digelapkan.

    Woi Sayyam puasa bodoh! Baca le betul-betul apa yang diutarakan. Meh aku copy and paste balik...


    "menafikan diri menuntut takhta kerajaan tetapi dalam penulisan sering mengagungkan diri sbg waris mutlak. lebih malang lagi bila lihat video youtube mereka di kubur2 lama. main hentam saja menjelaskan tuan yg empunya kubur. kubur rakyat biasa pon dikatakan milik seorang sultan. Terjemahan bahasa juga kurang tepat. mungkin sebab 1 perataan boleh membawa banyak maksud berpunca dari perbezaan huruf. jadi mudah untuk dipilih ikut suka hati tapi secara grammarnya memang hancur."

    Tu di... terjemahan bahasa kurang tepat dan sebagainya tu tujukan pada siapa? Siapa yang suka mengaku waris mutlak? Sapa yang buat terjemahan dengan grammar hancur lalu Filipina boleh jadi "Abang Ali Abang Beta"? Jerai konon dari Ju rai "Sapa ada"?

    Tapi tu le, si bodoh Sayyam @ Anonymour 9:19am boleh buat2 tak nampak. Ini le yang jadi bila kaki belit nak menipu. Untuk makluman buku Undang-undang Kedah dah habis aku baca dah dari depan sampai belakang 3 tahun lalu, ada pun senaskah aku masih simpan kat rumah. Tak da satupun bahagian yang menyebut tentang keagungan Siam yang kononnya menakluki semua, langsung takda nama Merong Mahawangsa atau bohong Al-Jefri,malah nama Mudzaffar pun aku tak jumpa. Tapi kalau dah kaum haram jadah, semua mende nak dibelitnya. Ambik satu dua bahagian ayat dari satu perenggan terus buat ulasan ikut kepala bapak dia.

    Contoh paling senang le. Dalam UUK bila sebut syarif dan menteri yang dimaksudkan syarif itu sebenarnya adalah Ahlul Bait cucu Nabi yang jadi penasihat di istana bukan Syarif bodoh Sayyam Alam penipu pembelit kaum engkorang!

    Rujuk mukasurat 42 transliterasi teks UUK oleh Maryam Salim...kita ambil bahagian penghujung sahaja di mana ada disebut...

    Dan, kebesaran paduka raja pada masa meng(g)anti pekerjaan panglima negeri. Ialah raja pada masa itu. Dan, kebesaran temenggung itu pada masa membunuh orang dengan titah raja, tiada boleh dilalui perkataannya kerana ialah raja pada masa itu. Dan, kebesaran syarif dan menteri pada masa membaca surat utusan, duduknya di atas panglima negeri. Pada masa itu ialah raja.

    Yang dihighlight oleh blog pembohong cuma perkataan "kebesaran syarif" dan "Pada masa itu ialah raja" lalu inilah yang digunakan untuk mewar-warkan kewujudan Khalifah Syarif khayalan ciptaan mereka. Walhal maksud ayat itu ialah syarif DAN MENTERI IBARAT RAJA KETIKA membaca surat utusan, sepertimana paduka raja juga ibarat raja apabila MENGGANTIKAN pekerjaan panglima negeri dan temenggung ibarat raja PADA MASA ITU iaitu KETIKA membunuh orang dengan titah raja.

    Rosak betul puak ni... habis segala mende nak dibelitnya lepas tu mengadu-domba. Taubatlah wooo...jangan terus nak membohong orang Melayu Islam.

    BalasPadam
  18. Gua sokong lu bro radzi... Hantam sama dia sebab mmg diaorang ni bangang x boleh diajar.

    -Yob

    BalasPadam
  19. Mula2 dulu gua follow gak blog diaorang. Makin lama makin mengarut gua nampak. Bukti2 pun bila buat cross reference banyak yang adjust sana-sini. Kalau gambar plak... tunjuk sebahagian jer sbb nak "tweak" opinion pembaca. Bila tengok gambar penuh kat tempat lain... huh... mmg lain "maksud"nya.

    -Yob

    BalasPadam
  20. Tak mengapa saudara. Kalau boleh kita tegur secara elok... sekadar supaya orang yang kurang ilmu tidak terpedaya dan terus dicucuk-hidung mereka. Selain itu ada juga kebenaran dalam blogspot mereka. Tetapi bila ada kepentingan peribadi dan dicampur-aduk dengan pendapat sendiri yang didakwa realiti lagi mutlak ia bukan sekadar mengelirukan malah boleh jadi berbahaya kepada jatidiri sebenar orang Melayu.

    BalasPadam