Rabu, Mei 06, 2009

Cerita An-Nur - Ke Perak untuk berbincang hal buku

Pemandangan Sungai Kinta di tengah bandaraya Ipoh, daripada artikel Perjalanan pusing Perak daripada Sungai Siput... Penat-lelah menyajikan satu perjuangan untuk semua. yang ditulis lebih setahun lalu.


Awal malam tadi saya telah membuat satu artikel bertajuk Remembering the "A" Level college days. The radio station at 51C di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Sekarang sampai giliran untuk menyambung cerita nostalgia pengalaman lama di sini pula... bersambung daripada artikel Cerita An-Nur - penerimaan yang memberangsangkan keluarga di Segamat .

Pada penghujung artikel itu ada disebut...

Apabila mendapat tahu saya juga dalam proses untuk mendapatkan penerbit buku untuk satu manuskrip cerita yang sudah pun siap ditulis, si ayah berjanji akan cuba menolong mendapatkan penerbit. Rupa-rupanya dia juga sedang mencari seorang penerbit untuk penulisannya sendiri yang sudah dimulakan lebih 2 tahun sudah. Dan baru sebulan dua itu, dalam satu acara seminar yang melibatkan hal-hal sastera Melayu, dia terjumpa seorang pemilik syarikat penerbitan buku yang katanya berminat untuk melihat hasil tulisannya. Dan dia berjanji akan mengenengahkan penulisan saya kepada orang itu.

Setelah beberapa hari di Segamat diterima baik keluarga An-Nur, sampailah masa untuk ke Ipoh, Perak berjumpa orang yang dimaksudkan. Pada suatu pagi, saya, An-Nur dan kedua ibu bapanya berlepas dalam satu kereta, si ibu dan bapa bergilir memandu kereta... jika si ibu memandu maka An-Nur duduk di hadapan bersebelahannya, jika si bapa memandu, saya pula di hadapan. Eloklah menjaga adab agar saya dan An-Nur tidak dibiarkan duduk bersebelahan berdua sahaja...

Saya tidak berapa ingat apa yang berlaku sepanjang perjalanan kecuali bapa An-Nur banyak memberi nasihat selain menyuruh saya agar mengamalkan ayat-ayat tertentu. Katanya agar jiwa saya tenang, tidak kacau. Rasanya dia tentu nampak keadaan saya ketika itu yang kurang terurus... tetapi tetap menerima saya kerana dapat membawa An-Nur kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan dia lebih bersedia untuk menjadi seorang muslimat yang taat. Lagipun An-Nur juga sebenarnya kelihatan kurang terurus. Mungkin keadaan akan lebih baik apabila kami sama-sama berganding bahu menangani cabaran hidup?

Ha... baru ingat. Kami bergerak ke Ipoh pagi Jumaat. Saya ingat ini kerana saya dan bapa An-Nur sempat bersolat Jumaat di Ipoh, di kawasan mana entah, dah lupa tetapi sudah dekat dengan pejabat orang yang mahu ditemui, orang yang katanya memiliki sebuah syarikat penerbitan bumiputera. Dipendekkan cerita, selepas bersolat kami pun bertemu dengan orang yang dimaksudkan di pejabat. Kami disambut penuh hormat... seperti menyambut saudara-mara jauh. Rupa-rupanya tuan punya syarikat, seorang haji berumur sekitar 60 begitu juga ada mengkaji bab salasilah keturunan yang melibatkan Ahlul Bait. Sedangkan bapa An-Nur memang seorang Sayyid dan ibunya seorang Sharifah.

Kami diajak makan tengahari sebelum meneruskan perbualan di dalam pejabat. Bapa An-Nur pun menyebut tentang buku yang sedang saya usahakan, sebuah buku tentang perjalanan mencari salasilah keluarga yang membawa kepada penemuan beberapa cerita sejarah Melayu Islam yang tersembunyi dan tuan penerbit pun berminat. Masalahnya ketika itu saya tidak memiliki hardcopy buku, cuma ada cerita dalam komputer. Terpaksalah saya cuba mencetaknya menggunakan komputer di pejabat yang ternyata agak kuno dan bermasalah. Nasib baik saya ada membawa komputer riba, boleh juga cuba disambungkan dengan printer yang ada. Tetapi banyak juga masalah compatibility kerana komputer saya lebih canggih berbanding printer.

Akhirnya dapat juga saya mencetak satu bab yang dirasakan sesuai, bab dalam buku yang mula memperkenalkan watak legenda Perak yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. Tetapi proses yang terpaksa dilakukan secara ad-hoc agar dapat mencetaknya banyak memakan masa. Akibatnya saya tidak dapat mengikut tuan penerbit dan bapa An-Nur keluar. Bila dah balik, baru saya tahu mereka rupa-rupanya pergi berjumpa Mufti Perak, Datuk Harussani. Rugi juga rasanya... kalau ke sana mungkin dapat bercerita banyak perkara...

Ah... baru saya ingat lagi apa yang berlaku. Dalam artikel Cerita An-Nur - ke Segamat bersama jodoh baru? Dan lisan agama dan keturunan yang keluar daripadanya... dan Cerita An-Nur - penerimaan yang memberangsangkan keluarga di Segamat ada diceritakan keadaan An-Nur yang ada ketikanya seperti kesurupan dirasuk makhluk halus. Sepanjang perjalanan ke Perak, kelihatan An-Nur lebih normal, cuma seperti biasa dia selalu bercakap macam-macam perkara tak henti-henti. Ketika di pejabat penerbit di Ipoh, kelihatan dia seperti ingin membuat perangai dirasuk orang lagi. Sesekali ibunya akan menenangkan. Kemudian dia ada meraung-raung... rupa-rupanya kena sakit gigi daaa. Pulak... macam-macam! Saya pula memerhati dengan rasa kasihan, rasa sayang pun ada. Maklumlah An-Nur kan bakal menjadi isteri? Gila pun gilalah. Mungkin selepas bernikah nanti baru dia betul-betul akan waras kembali fikir saya.

Apapun lawatan ke Perak untuk berbincang hal buku itu berlalu dengan aman dan sentosa. Tak sangka pula apabila kembali ke Kuala Lumpur nanti, baru An-Nur betul-betul membuat perangai sehingga hampir dimasukkan ke wad gila! Bersambung nanti...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan