Di atas adalah sebuah gambar lama yang 'diceduk' daripada website tidak rasmi batch saya, batch bebudak Sekolah Menengah Sains Johor yang ambik SPM tahun 1987. Alamatnya ialah http://www.angelfire.com/oh/smsj87/ . Kedua dari kanan (berbaju biru) adalah saya. Kalau tak salah ingatan, gambar ini diambil pada tahun 1985 dalam satu ekspedisi memanjat Gunung Lambak (tinggi kurang sikit dari 1,700 kaki) di Kluang, Johor, ketika kami masih di Tingkatan Tiga.
Adapun saya sebenarnya baru kembali dari berjalan keluar 3 hari bersama isteri melawat tempat-tempat tertentu di Melaka, sebelum kami bermalam di kampung isteri di Tanjung Sepat dan malam tadi singgah di rumah seorang rakan lama di... alamak lupa nama kawasannya tetapi letaknya antara Bangi dengan Nilai. Di Melaka kami sempat tidur satu malam di Pulau Besar kemudian satu malam lagi di Masjid Kampung Hulu di tengah bandaraya. Perjalanan ini sendiri tidak akan terjadi jika tidak kerana satu pertemuan penting kawan-kawan lama. Jika tidak kerana itu, kemungkinan besar sepanjang hujung minggu ini saya setakat duduk di rumah akibat demam selsema serta batuk yang melanda sejak seminggu kebelakangan.
Beginilah... biar disebut perjalanan ke Melaka yang turut membawa ke beberapa tempat lain itu berlaku kerana satu majlis family day @ reunion yang diadakan di sana. Lalu dapatlah saya berjumpa dengan sejumlah rakan-rakan lama dari Sekolah Menengah Sains Johor, Keluang yang akhir sekali ditemui tahun 1987, 22 tahun lalu! Tetapi saya masih kepenatan untuk betul-betul membuat cerita. Cuma 'penemuan' gambar lama di ataslah yang menyebabkan saya ingin membuat posting pembukaan ini. Itu sahaja...
Sementara menunggu saya rasa lebih selesa untuk membuat postings baru terutama tentang reunion itu sendiri, sila lihat artikel Memori lama pahit getir SMSJ, Kluang, Johor... yang ditulis Februari 2008, lebih setahun lalu. Boleh kata artikel inilah yang menyebabkan beberapa orang rakan lama kembali menghubungi saya setelah begitu lama tidak mendengar khabar berita. Kemudian baru saya dapat tahu tentang kewujudan website tidak rasmi seterusnya e-group dan mailing list yang membawa kepada reunion baru-baru ini. Sekian, selamat malam... eh, selamat pagi buta! :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan