Selasa, Ogos 04, 2026

Pelajaran jiwa daripada cerita-cerita Rumi

OK. Beralih pada majlis ilmu. Tetapi masih menulis dari Muar. Menyambung gerak daripada artikel Mencari tapak sejarah Kota Buruk yang tersorok, kini dipencilkan pula oleh pembangunan.



Ini adalah poster bagi majlis ilmu yang berlangsung tadi petang Selasa 4 Ogos 2026. Sejak melihatnya melalui WhatsApp lebih sebulan lalu saya telah berazam untuk menghadirinya di ISTAC (Institut Antabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). 



Namun keadaan yang muncul kemudian memaksa untuk mengikut secara atas talian sahaja. Apa yang berlaku adalah petang Jumaat 31 Julai 2026 saya dan isteri keluar rumah untuk urusan di Bandar Tasik Puteri diikuti Shah Alam. Malam itu menginap di rumah kakak isteri di Jenjarom. Siang Sabtu isteri mengurut beberapa orang (dibuat secara sambilan) di sekitar kemudian balik ke kampung isteri di Tanjung Sepat selama 2 malam di mana isteri mengurut beberapa lagi orang. Setelah mengurut 10 orang dalam tempoh 2 hari lebih bertolaklah ke kampung saya di Muar petang Isnin 3 Ogos lalu sampai selepas jam 3. Kalau mahu mengikuti majlis di ISTAC tadi pagi Selasa 4 Ogos kena bertolak awal 200 km perjalanan.

Mula-mula memang cadannya begitu, hendak bertolak awal semata-mata untuk mengikuti majlis. Tetapi apabila difikirkan kembali dahlah penat hendak memandu dan mengejar takkan di kampung bersama bapa berumur hendak masuk 84 tahun yang duduk berseorangan (ibu baru meninggalkan hujung tahun lepas) tak sampai pun 24 jam? Bukan selalu balik. Kali terakhir Raya Haji 2 bulan lalu. Dengan itu diputuskanlah esok Rabu 5 Ogos baru bertolak. Ada majlis ilmu lain mahu diikuti di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa) di Gombak pada waktu malam. Boleh bertolak selepas Zohor.



Kembali pada majlis di ISTAC tadi. Ia berupa syarahan tentang tokoh Sufi terkenal Jalaluddin Rumi yang hidup di Turki 800 tahun lalu serta cerita-cerita beliau tentang makna hidup dan pencarian Tuhan. Disampaikan oleh Profesor Dr Suleyman Derin yang berasal dari Turki secara lisan tanpa menggunakan slaid, tumpuan banyak diberikan pada kitab Mathnawi tulisan tokoh yang sangat terkenal. Dibacakan terlebih dahulu bait-bait puisi cantiknya dalam bahasa asal iaitu Parsi sebelum membawa pada terjemahan dalam bahasa Inggeris. 

Bait-bait awal yang sangat terkenal hingga diminati ramai di Barat mengisahkan tentang seruling tradisional ney yang dibuat daripada sejenis tumbuhan seperti rumput keras. Bagaimana pembuatan menyebabkan ia terpisah daripada tempat asal. Lalu 'menangislah' ia (gambaran halus alunan) apabila ditiup kerana rindu pada tempat asal. Itulah gambaran tentang jiwa sebenar manusia yang terpisah daripada hubungan dengan Tuhan.

Dibacakan beberapa lagi cerita dari tulisan Rumi yang menggambarkan  masalah kejiwaan manusia, semuanya sebenarnya akibat terpisah daripada rahmat Tuhan. Namun  sebetulnya saya agak terganggu dengan paparan siaran langsung melalui Zoom kerana kamera kelihatan terlalu mendongak ke atas. Saya adalah seorang yang sangat sensitif terhadap keseimbangan. 

Selain itu tidak dapat memberikan tumpuan penuh kerana ada penulisan daripada satu perjalanan petang semalam belum lagi siap. Saya mengikuti syarahan sambil meneruskan penulisan. Apabila terlihat nombor cantik 3.13 petang terus disiarkan walaupun sebenarnya belum betul-betul siap. Sambung lagi memperbaiki lalu dikemaskinikan. Lebih sejam kemudian, ketika syarahan sudah sudah selesai baru betul-betul siap. Lihat Mencari tapak sejarah Kota Buruk yang tersorok, kini dipencilkan pula oleh pembangunan.



Cukuplah sedikit perkongsian bagi melepaskan gerak. Majlis boleh diikuti melalui rakaman video atas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan