Selasa, Ogos 04, 2026

Mencari tapak sejarah Kota Buruk yang tersorok, kini dipencilkan pula oleh pembangunan

Menulis dari kampung saya di Muar. Asalnya malas hendak menulis. Sejak setahun kebelakangan banyak cerita perjalanan yang dianggap kecil tidak dikongsikan dalam mana-mana blogspots. Kemudian timbul rasa kali ini harus dikongsikan, sekurang-kurangnya di blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH. Itu yang telah dilakukan untuk artikel New beach attraction at Batu Laut tengah hari tadi. Itu yang mahu dilakukan untuk cerita seterusnya. .Tetapi apabila difikirkan kepentingannya terasa lebih elok dikongsikan dalam CATATAN SI MERAH SILU.



Semalam lewat petang Isnin 3 Ogos 2026 menuju ke hadapan sebuah kilang di  Kawasan Perindustrian Bukit Pasir, dekat Jalan Kampung Tanjung Selabu, Sungai Terap.



Ini adalah sekitar 8 km dari rumah bapa saya di Kampung Temiang. Saya dan isteri sampai ke rumah 3 jam sebelum itu, setelah menginap 2 malam di rumah pusaka keluarga isteri di Tanjung Sepat. Sebelum itu menginap satu malam di rumah kakak isteri di Jenjarom, selepas keluar petang Jumaat 31 Julai dari rumah ke sendiri untuk urusan di Bandar Tasik Puteri kemudian di Shah Alam.



Kali terakhir kembali ke Muar adalah pada 2 bulan lalu. Lihat Ringkasan balik Raya Haji ke Muar 1446 Hijriah. Kali ni mahu melangsaikan satu hal tertunggak daripada lebih 8 bulan lalu. 



Dalam artikel Asbab khidmat kepada ibu bapa - Lebih seminggu di Muar yang ditulis dan dipersembahkan pada 26 November 2025, hari ulang tahun saya yang ke-55 ada dinyatakan bahawa pada 23 November iaitu 3 hari sebelum itu ada pergi ke kawasan ini untuk mencari tapak sejarah Kota Buruk. Ia adalah kota yang menurut kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu didirikan oleh Raja Iskandar di Muar sebelum mengasaskan kerajaan Melaka. Ini berlaku sekurang-kurangnya 600 tahun lalu, dalam perjalanan meninggalkan Singapura yang jatuh diserang dan ditakluki musuh lalu baginda mencari penempatan baru.



Sebelum itu Raja Iskandar pernah membina kota lain di tepian Sungai Muar. Namun ia ditinggalkan kerana asyik 'diserang' biawak yang banyak. Menurut ceritanya biawak berjaya dibunuh tetapi datang lagi. Dibunuh dan datang lagi. Sehingga bertimbun mereput lalu lokasi (tak jelas di manakah ia, mungkin tidak jauh dari sini) dikenali sebagai Kota Biawak Busuk.



Saya pertama kali sampai dengan menaiki kereta yang dipandu adik tahun 2007. Lihat The legendary Kota Buruk (ruined fort) of Muar....  Seterusnya masuk waktu malam bersama kawan awal 2008. Lihat Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan....




Selepas itu iaitu pada awal tahun 2011 ada membawa isteri bersama anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang sedang berumur setahun. Ketika itu banjir melanda banyak tempat di Muar lalu terpaksa meranduk air. Nasib baik tak dalam. Lihat Balik Muar Raya Cina : Mencari makam Panglima Lidah Hitam dan bermain banjir di Pagoh dan Kota Buruk.



Awal 2012 saya menulis artikel bertajuk Meh tengok Kota Buruk untuk menunjukkan kepada seorang kenalan bagaimana untuk sampai ke Kota Buruk. Tetapi ada bahagian perjalanan yang ingat-ingat lupa.  



Kurang 2 minggu selepas itu anak bongsu kami Muhammad Alauddin Johan dilahirkan.  Selepas beberapa lama baliklah Muar untuk menunjukkan kepada ibu bapa. Keluar sejenak  menuju ke Kota Buruk setakat sampai ke papan tanda luar. Ini dibuat untuk memastikan tunjuk arah yang diberikan dalam artikel Meh tengok Kota Buruk adalah tepat. 



Ketika itu Johan baru berumur 31 hari. Lihat Dari Tok Bentayan ke Sultan Alauddin ke Tuanku Tuanku Tambusai - Latihan awal Johan untuk pengembaraan akan datang. Kali ini saya pergi seorang diri, isteri berehat di rumah bapa (ibu sudah tiada) kerana kepenatan. Dalam tempoh 2 hari setengah kebelakangan beliau yang membuat kerja sambilan telah mengurut 10 orang.



Merujuk kembali pada Asbab khidmat kepada ibu bapa - Lebih seminggu di Muar. Adapun ketika cerita berlaku hampir penghujung November 2026 isteri baru sahaja bersara secara sukarela daripada sebuah syarikat besar. Niatnya. selain sudah penat berkerja (beliau sudah melepasi umur 50 tahun ketika itu) mahu lebih mudah balik kampung menjengok ibu bapa saya (isteri sudah lama yatim piatu) terutama ibu yang ketika itu sudah amat uzur. Walaupun terus bertapak di sekitar Lembah Klang kami mahu lebih kerap balik untuk menjaga ibu. Ketika balik itu banyak melakukan kerja pembersihan rumah terutama kawasan halaman yang banyak dipenuhi pokok dan tumbuhan. Kedua-dua ibu bapa sudah berumur lebih 83 tahun. Kami cuba bantu apa yang dapat.

 

Pada satu hari diambil peluang untuk ke tapak bersejarah Kota Buruk. Isteri yang sudah seronok membuat video-video pendek untuk siaran Tiktok mahu saya menyampaikan cerita tentangnya Tetapi didapati sudah berlaku banyak perubahan yang menyukarkan untuk sampai. Pintu masuk asal ke laluan ladang kelapa sawit yang boleh membawa ke tapak telah disekat oleh bangunan kilang. Kami terpaksa mencuba beberapa laluan lain, semuanya perlu melalui halaman luar kilang. Tetapi setelah beberapa lama berjalan kaki masuk ke dalam ladang asyik dihalang oleh semak samun dan parit besar. Sedangkan kedudukan tapak itu sendiri pun susah hendak ditentukan. 



Bila dah keluar hampir senja baru terjumpa laluan paling sesuai dari tepian jalanraya. Tetapi sudah terlalu lewat untuk mencuba.  Untuk makluman ibu kembali ke rahmatullah sebulan selepas percubaan 23 November. Lihat Kembalinya bonda tersayang ke rahmatullah. Selepas itu ada beberapa kali balik ke Muar tetapi tiada kelapangan untuk mencari Kota Buruk.



Setelah beberapa lama baru semalam mencuba laluan. Itulah ditunjukkan dalam gambar pertama atas. Ia terletak ke kanan tepian kilang.



Saya menyusur dengan berjalan kaki hingga ke penghujung belakang kilang. Itulah yang ditunjukkan dalam 2 gambar seterusnya. Selepas itu ada parit menghalang. Nasib baik ada titi. Tak perlulah melebarkan kaki mengangkang atau mengambil risiko melompat seperti dilakukan hampir penghujung tahun lepas.



Selepas itu diteruskan berjalan ke arah sama. Tak lama kemudian terjumpalah laluan asal yang pernah digunakan untuk sampai, kali terakhir dalam ingatan kerana tercatat rupa-rupanya pada tahun 2011.



Alhamdulillah papan tanda tapak sejarah dalam papan maklumat masih ada. Cuma kawasan sekitar sangat bersemak. Nasib baik laluan ke makam-makam dalam kawasan tidak terhalang.



Masuklah melihat membawa sehingga ke tepian Sungai Muar...









Sampai kembali ke kereta yang diletakkan di hadapan lapangan kilang seorang yang nampaknya adalah pengawal keselamatan memarahi saya kerana lalu dekat kilang. Kata beliau yang dilalui itu tanah orang. Entah apa saya curi katanya. 

Gambar ini diambil setelah beliau mengambil gambar kereta. Jawab saya kalau nak ambil gambar ambillah, saya pun boleh ambil gambar kamu. Laporkanlah kepada sesiapa kamu suka. Saya bukan menceroboh. Saya mencari tapak sejarah yang menurut papan tanda dan papan maklumat telah digazetkan oleh Jabatan Muzium Malaysia.



Beliau bukan faham pun apa yang diperkatakan. Saya pun menunjuk ke luar jalan seberang kilang. Nampak tak kata saya. Tu. Masih ada lagi papan tanda menunjukkan arah ke tempat bersejarah.



Cuma laluan sudah terhalang oleh kilang-kilang.



Yang bekerja pula ramai orang luar, bukan warga Malaysia. Tak bolehlah harap mereka faham. Tapi janganlah sampai hendak menghalang orang seperti saya yang sanggup meredah hutan belantara mara bahaya dan sebagainya demi menjejak kesan sejarah yang memiliki kepentingan tinggi buat jati diri orang Melayu. Cukup.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan