Asbab isteri bermesyuarat di Pulau Pinang - Pusing pulau sebelum membuat live di hotel
Merujuk pada artikel Revolusi ilmu pengetahuan dan pembelajaran cetusan Madani Nabawi yang dipersembahkan petang semalam. Ada dinyatakan bahawa saya baru sahaja kembali daripada satu perjalanan 6 hari 6 malam yang memakan jarak pemanduan lebih 1,200km. Selasa hadapan pula mahu memulakan satu lagi perjalanan jauh tetapi berlawanan arah iaitu ke selatan. Oleh itu biar diluahkan cerita perjalanan yang baru berlalu secepat mungkin.
Perjalanan bermula pagi Selasa 30 September 2025 untuk menghantar isteri menghadiri mesyuarat di Pulau Pinang. Isteri terlibat dengan kesatuan sekerja syarikat-syarikat telekomunasi dan datang sebagai salah seorang wakil dari zon Selangor Barat.
Beliau boleh sahaja pergi bersama beberapa orang kawan sekerja yang mewakili zon sama. Tetapi saya sudi menghantar kerana mahu mengambil peluang untuk berjalan-jalan ke beberapa tempat. Antaranya mahu mendaki Bukit Mertajam dan Gunung Semanggol hingga ke puncak. Mahu juga ke Gunung Jerai yang akhir sekali dinaiki lebih 8 tahun lalu.
Dari rumah kami terus mengambil Lebuh Raya Utara Selatan tetapi keluar di tol Slim River apabila mendapat minyak dalam tangki takut tak sampai ke tempat rehat Tapah. Sekitar Trolak dapat mengisi minyak. Didapati sistem baru harga minyak sudah pun bermula sejak tengah malam itu.
Masuk kembali lebuh raya melalui tol Sungkai hingga ke jambatan kedua Pulau Pinang untuk masuk pulau.
Terus ke bandar raya Georgetown yang sudah dicadangkan agar ditukar kembali ke nama Melayu, Tanjung Penaga. Saya tidak suka hendak merujuknya sebagai Georgetown. Tetapi ada kala tidak boleh dielakkan apabila hendak menerangkan lokasi dan tempat.
Selepas menurunkan isteri di hotel saya pun memulakan perjalanan untuk menjejak tempat-tempat.
Cadangnya hendak naik Bukit Pulau Pinang (Penang Hill) melalui jalan kereta. Tengok-tengok tak boleh dimasuki awam. Nampaknya cuma pemilik rumah-rumah mewah di atas sana dan pihak tertentu sahaja boleh menggunakan jalan.
Dengan itu bergerak pula ke arah kawasan pantai-pantai.
Kemudian baru bercanda di pantai. Lihat artikel Batu Ferringhi visit 2025di blogspotBERPETUALANG KE ACEH. Untuk pengetahuan saya dan isteri ada ke Pulau Pinang beberapa bulan lalu tapi setakat di sekitar bandar raya. Kali terakhir saya pergi ke kawasan pantai adalah pada Ogos 2022.
Jam 4.30 petang makan "tengah hari" lewat di Teluk Bahang. Sudah lebih 3 tahun tak singgah. Pergilah melihat beberapa tempat. Lihat Teluk Bahang visit 2025.
Naik jalan berbukit ke Balik Pulau dengan niat hendak mandi air terjun di Titi Kerawang.
Sampai Titi Kerawang perut pula buat hal memulas sedangkan rupa-rupanya tiada tandas. Maka diteruskan perjalanan hingga turun bukit di Sungai Pinang baru jumpa tempat untuk melangsaikan hajat. Tengok-tengok boleh bermandi manda di sekitar. Lihat The recreational area of Sungai Pinang.
Sampai Balik Pulau pula terus mengambil satu lagi jalan mendaki bukit untuk menghala kembali ke bandar raya. Singgah di tempat tertinggi dalam laluan memberikan pemandangan menarik matahari terbenam. Lihat Sunset from Balik Pulau viewing point.
Bersolat dan berehat sejenak di masjid terdekat. Lihat Masjid Jamek Benggali (Main Benggali Mosque), Pulau Pinang. Hotel cuma untuk mereka yang terlibat dengan mesyuarat sedangkan saya sudah bercadang untuk beriktikaf di Kota Kuala Muda, Kedah.
Hampir sampai masa untuk memulakan live jam 9.30 berjalan kaki ke hotel.
Alhamdulillah dapat dilaksanakan dengan lancar di ruang legar (lobby) hingga hampir tengah malam sesi yang merupakan edisi ke-7 dalam siri Merah Silu Live, walau pertama kali di buat di luar rumah sendiri lalu tidak dapat menggunakan televisyen besar yang dimiliki bagi membantu paparan dan penceritaan. Dapatlah meliputi cerita-cerita perjalanan lama berikut sebelum membuka sesi soal jawab bebas :-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan