Jumaat, Julai 04, 2025

Jejak Langkasuka 2025 - Ma'al Hijrah di Singgora

Salam petang Jumaat 8 Muharram. Kembali pada cerita perjalanan ke selatan Thailand baru ini. Bersambung daripada Jejak Langkasuka 2025 - Ziarah ke makam-makam dan tempat bersejarah Patani sebelum ke makam Sheikh Abdussamad.



Pagi Jumaat 27 Jun 2025 bersamaan 1 Muharram 1447 Hijriah iaitu tepat seminggu lalu. Bergambar di hotel tempat kami menginap malam Jumaat itu di satu bahagian pinggiran bandar raya Hatyai.




Hotel milik orang Islam itu baru beberapa bulan dibuka. Seorang peserta perjalanan yang merupakan warga Thailand memilih untuk kami. Rumah beliau terletak tidak jauh dari situ.




Pemandu yang berasal dari Teluban dekat Patani kemudian membawa kami keluar bersarapan ke satu kedai makan atas saranan peserta dari Thailand. Tempat yang dipilih bersebelahan masjid ini. Lihat artikel Masjid (Mosque of Nuruddeen), Hatyai di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN.




Setelah melihat masjid lebih dekat lalu bertanya kepada peserta baru dapat memastikan pernah sampai ke masjid dan kedai 8 tahun lalu. Ketika itu orang baru selesai solat Jumaat. Lihat artikel lama Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Langkah-langkah akhir di Trang, Phattalung dan Hatyai. Terasa sampai lagi tanpa dirancang pagi Jumaat itu ada makna tersurat dan tersirat.




Berjalan-jalan di pusat bandar raya Hatyai. 




Selepas tengah hari bergerak ke masjid terbesar di seluruh wilayah Songkhla yang bertaraf negeri, wilayah yang meliputi daerah Hatyai yang mengandungi bandar raya Hatyai juga bandar raya Songkhla yang merupakan ibu negeri. 



Peserta warga Hatyai menunjukkan makam seorang tokoh di perkarangan masjid, satu-satunya makam yang ada di sekitar. Lihat Makam (Tomb of) Sheikhul Islam Thailand, Songkhla.




Bergambar di hadapan tasik empat segi buatan di hadapan masjid. 







Menunaikan solat Jumaat, pada tarikh berkat 1 Muharram, hari Ma'al Hijrah. Seingat saya ini adalah kali ke-3 sempat bersolat Jumaat di Thailand merangkap kali ke-2 di selatan Thailand. Pertama kali adalah di Ayuthia ke utara Bangkok. Lihat artikel  lama Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Jumaat di Ayutthaya dan kawasan menghadap kiblat diikuti Misi kedaulatan Singgora - Pertama kali sempat bersolat di Jumaat di selatan Thailand. Apakah yang tersirat?.




Perjalanan diteruskan ke satu bahagian pinggir bandar raya Songkhla.




Ziarah makam Sultan Sulaiman Singgora.




Melihat tinggalan kota yang dibina baginda 400 tahun lalu dari dalam van. Inilah kota Melayu Singgora yang asal. Selepas ditakluki Siam Thai ditukar nama menjadi Songkhla kemudian dialih kota ke daratan di seberang tasik berdekatan.




Ada belasan tinggalan kota boleh dijejaki tetapi ada yang memerlukan stamina tinggi untuk mendaki bukit. Ada yang boleh dicapai dengan mudah namun kesuntukan masa. Di tinggalan kota yang ini baru turun untuk melihat lebih dekat. Ini kerana cantik dan mudah dicapai. Lihat Lawatan baru (New visit to) kota no.9 (fort no. 9), Songkhla.



Yang ini pula perlu mendaki sedikit bukit. Namun amat berbaloi berpenat lelah kerana kedudukan cukup tinggi menghadap perairan dan daratan dapat memberikan gambaran baik tentang bagaimana keseluruhan kota lama Singgora berfungsi menangkis serangan musuh. Lihat  diikuti Lawatan baru (New visit to ) kota no.8 (fort no. 8), Songkhla.




Dari situ sangat dekat dengan jeti bagi menyeberang tasik Songkhla menaiki feri untuk ke bandar raya Songkhla.



Naik Bukit Tang Kuan lalu menikmati pemandangan. Dari atas sini dapat ditunjukkan keadaan muka bumi yang boleh membantu memahami sejarah kerajaan Singgora sehingga bertukar nama dan kedudukan kota menjadi Songkhla. Lihat artikel New visit to Tang Kuan Hill di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Dahulu pernah naik bersama keluarga. Tak ingat jika ada terperasan ada meriam lama di puncak bukit. Lihat Meriam lama di Bukit Tang Kuan (Old cannon at Tang Kuan Hill)
 .


Pergi pula ke kawasan Muslim dalam bandar lama Songkhla yang mula wujud selepas pengalihan kota dari bandar lebih awal di seberang tasik, bandar yang dilindungi sistem kota keliling bukit berkenaan.




Melepaskan dahaga.




Di pintu gerbang bandar lama berusia hampir 200 tahun. Dari persekitaran inilah bandar berkembang sehingga membentuk bandar raya Songkhla sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan