OK. Pergi pada hari kedua perjalanan. Bersambung daripada Jejak Langkasuka 2025 - Bagaimana ia bermula.
Pagi Rabu 25 Jun 2025 bersamaan 28 Zulhijjah 1446 Hijriah. Selepas bermalam di rumah kawan di Seberang Perai, bergerak selepas Subuh menuju ke sempadan.
Kawan memandu keretanya membawa isteri bersama. Saya dan isteri jadi penumpang.
Sampai di Padang Besar, Perlis van dari Thailand yang akan membawa kami berjalan sudah sedia menunggu.
Turut bersama satu lagi pasangan suami isteri yang datang dari Alor Setar menaiki kereta api.
Alhamdulillah urusan di sempadan lancar dan cepat, belum banyak kereta. Sebelum jam 10 pagi waktu Malaysia bersamaan jam 9 pagi waktu Thailand sudah selesai lalu berada di negara orang.
Kami mengambil sedikit masa di Padang Besar belah Thailand untuk kawan menyelesaikan urusan di cawangan syarikatnya belah sana. Kemudian bergerak ke arah timur lalu ke tenggara.
Lebih 230 km diliputi untuk sampai ke destinasi pertama kami di selatan Thailand iaitu Muzium Al-Quran di Pondok Sala Anak Ayam, Narathiwat. Sampai sebelum jam 1 waktu tempatan. Koleksi manuskrip dan barangan berkenaan peradaban Melayu Islam yang ada dengan seorang warga sekolah pondok bercerita panjang lebar membantu menerangkan arah tujuan perjalanan yang kami labelkan sebagai "Jejak Langkasuka" ini. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN :-
Di hadapan sekolah kelihatan kompleks baru muzium yang sudah siap seawal penghujung tahun 2022. Semua koleksi dari sekolah pondok mahu dialih ke bangunan muzium sebenar. Cuma menunggu masa raja Thailand berkenan datang untuk merasmikan.
Kemudian ke kompleks persendirian ini untuk makan tengah hari.
Ketika pertama kali sampai musim raya Aidil Fitri lalu kompleks baru beberapa bulan dibuka. Restoran pula hendak dibuka hari Sabtu sedangkan saya, isteri dan dua orang anak sampai hari Khamis kemudian perlu berkejar ke tempat lain. Jadi tak sempatlah merasa masakan. Lihat Raya Aidilfitri 2025 di selatan Thailand - "Last kopek" sebelum balik Malaysia.
Selepas makan ke masjid lama Wadi Hussein di Telok Manok.
Oh. Semasa di Muzium Al-Quran saya ada membeli sebilah keris tajong. Jadilah walau buatan baru. Ini adalah keris tajong pertama dimiliki.
Dari masjid yang berusia lebih 300 tahun pergi ke makam pengasas masjid. Lihat Lawatan baru (New visit to) Makam (Tomb of) Wan Hussein Senawi. Kali pertama sampai 7 tahun lalu saya, isteri dan anak-anak dibawa oleh seorang waris. Lihat artikel lama Jejak Wasilah Patani - Kerissana 2018, Wan Hussein Senawi dan Narathiwat. Dalam kalangan peserta perjalanan kali ini ada seorang waris Wan Hussein. Beliau yang menetap di Alor Setar, Kedah sudah banyak kali ke Telok Manok. Tapi baru kali ini ke makam moyang utama. Selama ini cuma ke makam nenek moyang terdekat di sebelah masjid.
Selepas itu terus ke bandar Saiburi atau nama lamanya Teluban. Tak sempat singgah rumah kawan di Bacco, waris Wan Hussein yang membawa kami ke makam tahun 2018.
Kami telah berjanji dengan seorang ahli kerabat diraja kerajaan Melayu Teluban akan datang menziarahi ke istana lama yang didudukinya bersama beberapa orang seawal jam 3 petang. Tetapi disebabkan mengambil masa di beberapa tempat selepas jam 5 baru sampai.
Mereka ini bersaudara dengan bonda Sultan Kelantan sekarang iaitu Tengku Anis. Kenalan kami, yang tersenyum kiri dalam gambar, adalah saudara dua pupu kepada ayahanda Tengku Anis. Kami berkenalan setelah terjumpa secara tidak sengaja di hadapan istana lagi satu pada musim raya Aidil Fitri. Lihat Raya Aidilfitri 2025 di selatan Thailand - Jejak raja-raja Patani dan pecahannya
Istana yang dimaksudkan adalah berwarna putih. Ia terletak di tepi jalan utama sedangkan istana yang diduduki kenalan terletak tersorok sedikit ke dalam. Ketika saya dan isteri pertama kali sampai ke Teluban bersama anak-anak dua setengah tahun lalu istana inilah yang dituju. Lihat Perjalanan selatan Thailand penghujung 2022 : 'Teguran Tok Pasai' sebelum meneruskan ke Narathiwat. Lawatan kali ini adalah yang ketiga, kali ini tanpa anak-anak.
Kali ini baru bersempatan masuk ke dalam. Lihat Masuk ke dalam istana putih Teluban (Going inside the white palace of Teluban). Untuk makluman istana yang sudah dijadikan seperti muzium ini asalnya adalah milik nenda kepada Tengku Anis. Di sinilah bonda kepada Sultan Kelantan itu dilahirkan, begitu juga beberapa orang adik beradik.
Kenalan yang sudah berusia lebih 70 tahun membawa hingga ke atas. Ternyata ia memberikan pemandangan sekeliling yang sangat menarik. Lihat artikel Views from the top balcony of the white palace of Teluban di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Selesai itu bergerak ke bandar Pattani di mana kami menginap di hotel kegemaran saya di sebelah satu liku teluk Sungai Patani. Gambar ini diambil dari sebuah restoran ke hilir sungai. Malam itu sudah masuk tarikh Islam 29 Zulhijjah. Kalendar menyatakan ia adalah hari terakhir bagi tahun 1446 Hijriah. Saya pula baru hendak memulakan bacaan Juzuk ke-30 Al Quran. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,686 di CATATAN SI MERAH SILU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan