Selamat tahun baru 2025. Dah lewat malam aaa baru nak menulis. Bersambung cerita daripada artikel Perjalanan selatan penghujung 2024 - Ke Port Dickson membawa ke Masjid Tanah dan Muar.
Pagi Selasa 24 Disember 2024. Hmm. Tarikh cantik tu. 24-12-24. Kami membawa ibu bapa keluar berjalan-jalan ke bandar Muar.
Makan nasi beringin kegemaran dekat stesyen bas lama tepian Sungai Muar.
Boleh kata setiap kali balik Muar memang mesti singgah. Anak saya Rasyid yang belajar dan duduk asrama tahfiz di Cheras sahaja yang dah lama tak dibawa makan.
Seperti biasa pusing-pusing di berapa tempat.
Sekadar berkongsi. Kedua-dua ibu bapa saya sudah berumur 82 tahun. Tahun 2025 ni masuk 83. Semoga panjang umur dan sihat walafiat. Bapa masih kuat boleh berjalan, ibu yang dah kurang.
Petang itu saya keluar lagi. Tapi sekadar membawa bersama Rasyid yang berumur 15 tahun, tahun baru ni masuk 16 tahun. Isteri dan seorang lagi anak duduk rumah.
Pergi ke makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja, Pagoh. Ia adalah satu-satunya makam Sultan Melaka yang diketahui masih wujud, lain sudah hilang dibongkar tanda dan batu nesan oleh penjajah lalu tidak dapat dipastikan kedudukan.
Selalunya bila balik Muar saya akan berusaha untuk ziarah. Kedudukannya cuma sekitar 24 km ke timur rumah ibu bapa. Tapi dalam beberapa kali balik kebelakangan termasuk Raya Aidilfitri dan Raya Haji tak bersempatan kerana sibuk dengan hal keluarga. Kali terakhir seperti ada direkodkan dalam CATATAN SI MERAH SILU adalah pada Mei 2023. Lihat Pulau Besar tahun 2023 atas asbab jengok ibu bapa di Muar
Masjid di sebelah makam. Katanya berdiri atas tapak istana singgah kesultanan Melaka yang pernah wujud lebih 500 tahun lalu. Teringat pernah mengadakan satu majlis ilmu atas nama HIKMAH (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman) 10 tahun lalu. Lihat Aturan komponen perjuangan demi kedaulatan Melayu dan Islam yang diilhamkan oleh Sultan Alauddin Melaka. Ketika itu kali pertama kereta terpakai KIA Caren yang dibeli September 2014 dibawa berjalan jauh. Sekarang sudah dilupuskan untuk digantikan dengan kereta keluarga sekarang. Lihat artikel Penghormatan terakhir untuk KIA Caren WKA248 yang dipersembahkan kurang 2 bulan lalu..
Saya tanda dan catatkan ini kereta gantinya (dalam gambar atas tadi, sama juga 7-seater tapi lebih kecil cc dan lebih jimat minyak) dianggap pertama kali berjalan jauh dalam perjalanan selatan ini. Walaupun sudah dibawa ke Muar seawal 2 hari dimiliki saya tidak menganggap sebagai perjalanan jauh pertama kerana dihadkan ke rumah ibu bapa lalu membawa mereka berjalan sekeliling sahaja walau ada sampai ke Panchor. Lihat Antara urusan keluarga, rumah dan kereta.
Oh. Saya dan anak ada masuk ke masjid untuk menunaikan solat sunat tahiyatul masjid. Tiba-tiba terdengar bunyi hentaman berdegum berdegam beberapa kali. Rupa-rupanya ada 2 ekor burung enggang cuba masuk ikut tingkap kaca yang tertutup. Selepas itu naik ke menara masjid.
Dari makam Sultan Alauddin mengambil satu jalan menyusuri Sungai Muar melepasi kuala Sungai Pagoh.
Dari jalan itu boleh sampai ke pekan Panchor.
Pemandangan Sungai Muar di situ sangat menarik. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,599 di CATATAN SI MERAH SILU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan