Selasa, April 09, 2024

Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Menyambut hari lahir Islam ke-55 di masjid keluarga

Cuma beberapa jam lagi sahaja kita akan dapat kepastian sama ada akan menyambut Hari Raya pada esok hari Rabu atau lusa hari Khamis. Sebelum itu biar disambung cerita daripada artikel Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Menyusur kerajaan lama Beruas.



Pagi Ahad 7 April 2024 bersamaan 27 Ramadan 1445 Hijriah. Saya telah beriktikaf dan menginap di masjid warisan keluarga Laksamana Raja Mahkota di Batak Rabit, Teluk Intan.



Pada tarikh Hijriah itu iaitu pada jam 11.04 waktu malam genaplah umur saya 55 tahun menurut kiraan Islam. Saya mengambil masa untuk berehat lama di masjid. Sempatlah menulis artikel Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Kuale-Tepen-Beruas sebelum bergerak keluar jam 12 tengah hari.



Singgah sebentar ke rumah ibu saudara sekitar 300 meter dari masjid. Sebetulnya tayar kanan hadapan kereta pancit seperti berlalu beberapa hari sebelum itu di Janda Baik. Lihat Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Asbab tayar pancit.


Kali ini tak tukar tayar spare. Bergerak terus dengan tayar pancit untuk membayar tempat yang boleh pam tayar...




Setelah 5 km gitu iaitu sampai ke bandar Teluk Intan baru dapat mengepam sehingga penuh. Berjalan-jalanlah di sekitar...




Ziarah ke makam Sultan ke-22 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Syah I (bertakhta 1851-1857) di Durian Sebatang...






Kemudian ke makam Keramat Kuala Bidor dekat Kampung Bahagia.




Iktikaf sebentar di masjid sana juga untuk menjamakkan solat Zohor dan Asar. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Kampung Bahagia, Teluk Intan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Terlihat jam masjid menunjukkan waktu 1.31 terus terasa sampai masa untuk bergerak terus balik ke rumah. Untuk makluman nombor 131 membawa makna home sweet home atau "rumahku syurgaku" buat saya.



Menariknya sampai bertembung dengan kereta yang pletnya pun ada nombor 131 apabila masuk ke jalan besar dari masjid Kampung Bahagia. Kali ini tidak ada singgah ke mana-mana lagi kecuali untuk mengisi minyak. Jumpa sahaja susur masuk Lebuh Raya Utara Selatan terdekat iaitu di Sungkai terus ambil sehingga susur keluar berdekatan rumah iaitu di Tol Sungai Buaya



Apabila sampai rumah didapati saya telah memandu sejauh 907.7 km sejak memulakan proses pemusafiran fasa satu pagi Sabtu 30 Mac bersamaan 19 Ramadan. Lihat artikel Musafir akhir Ramadan 1445 Hijriah - Membuka dengan wacana Imam Ghazali di ISTAC. Apabila hendak menyemak maklumat berkenaan didapati gambar ini diambil tepat pada jam 3.13 petang. 



Pada saya nombor 313 melambangkan perjuangan bagi meninggikan syiar agama. Selepas jam 5.30 keluar lagi. Kali ini membawa isteri dan anak-anak.



Saya mahu menunaikan janji membawa mereka berbuka puasa di Dataran Merdeka. Petang itu adalah hari terakhir acara terbuka umum ini dibuat bagi Ramadan 1445 Hijriah.




Kalau tidak kerana janji besar kemungkinan saya masih beriktikaf di masjid keluarga di Batak Rabit. Ini kerana diberitahu bahawa ada majlis khatam Al-Quran malam itu. Saya sebagai ahli waris sangat dialu-alukan untuk memeriahkannya. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,494 di CATATAN SI MERAH SILU. Sekian cerita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan