Rabu, Januari 31, 2024

Membela maruah Laksamana dan bangsawan tradisional Melayu di UPSI

Salam semua. Sebelum masuk tarikh 1 Februari, sementara masih ada lagi sedikit masa sebelum habis tarikh 31 Januari biar dilepaskan artikel ini.



Merujuk pada artikel Bicara Laksamana di UPSI dan lain-lain acara 31 Januari yang dipersembahkan petang semalam. Sukacita dimaklumkan acara berkenaan iaitu bicara mengenai buku ke-14 saya "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai" telah selamat dilaksanakan pagi tadi di Perpustakaan Tuanku Bainun di UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris), Tanjung Malim.




Di sini tidak perlu diulas panjang apa yang dibicarakan.




Cukuplah dikatakan, lebih banyak telah diperkatakan tentang hal moyang kepada datuk saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan sejarah negeri Perak terutama sekitar berlakunya peristiwa Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, berbanding apa yang pernah dikongsikan dalam majlis-majlis sebelum itu. Lihat rakaman acara di sini 




Turut dinyatakan dalam artikel Bicara Laksamana di UPSI dan lain-lain acara 31 Januari bahawa terdapat lagi satu acara di tempat sama pada waktu petang. Alang-alang sudah berada di sana saya pun mengikutinya hingga selesai. Lihat rakaman di sini diikuti sini.




Dalam wacana tentang meluruskan sejarah ini saya mengambil peluang untuk menyatakan satu dua perkara semasa sesi soal jawab. Lihat sini. Paling utama adalah untuk menyatakan rasa tersinggung kaum kerabat saya lalu menjawab kenyataan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir kurang 2 minggu lalu. Dalam satu majlis di Putrajaya 20 Januari 2024 yang dibuat atas nama 150 tahun Perjanjian Pangkor beliau menuduh orang besar Perak berjuang menentang British bukan kerana bangsa tetapi kerana memikirkan perut sendiri sahaja. 

Untuk makluman, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin adalah salah seorang yang  menandatangan Perjanjian Pangkor. Perjanjian ditandatangani supaya Raja Muda Abdullah yang merupakan anak saudara beliau dapat dinaikkan dan diiktiraf sebagai Sultan Perak. Turut menandatangani adalah Menteri Ngah Ibrahim dan Syahbandar Uda Ma'amor. Kedua-dua adalah menantu Laksamana.

Daripada situ tuduhan nampaknya dipanjangkan dengan memberikan gambaran kononnya raja-raja dan orang besar tradisional tidak berguna kerana hampir menggadaikan Tanah Melayu apabila bersetuju dengan cadangan British bagi menerbitkan Malay Union pada tahun 1946. Maka naratif lapok parti politik UMNO (yang masih memakai singkatan tersebut iaitu daripada perkataan United Malays National Organisation, sedangkan ada singkatan PEKEMBAR bagi nama Melayunya iaitu Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu) diulang lagi. Bahawa rakyat (maksudnya UMNO) sahaja yang sibuk berjuang bagi mempertahankan Tanah Melayu malah raja-raja sehinggalah mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. 

Walhal yang sebenarnya menjadi para pemimpin utama UMNO malah kumpulan yang mula-mula membantah Malay Union itu sebenarnya ,bukan rakyat biasa. Mereka datang daripada keluarga bangsawan. Jadi masih terkait dengan pembesar tradisional yang diperkecilkan Mahathir itu. Untuk kata-kata saya bermula tentang raja dan pembesar Perak boleh terus ke minit 17.07 rakaman video.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan