Isnin, Ogos 29, 2022

Misi keluarga Laksamana part IV - Dari Ipoh ke Batu Gajah membawa ke Kota Bharu Perak

OK. Masuk pada cerita hari ke-3 dan terakhir perjalanan di Perak 22-24 Ogos. Bersambung daripada artikel Misi keluarga Laksamana part IV - Bukit Engku Busu, Nakhoda Muhammad Taib dan Bukit Syamsul Bahrin.



Pagi Rabu 24 Ogos 2022. Keadaan di Kampung Manjoi berdekatan pusat bandar raya Ipoh.




Saya telah bermalam di sebuah homestay atau inap desa bersama beberapa orang saudara daripada keturunan Laksamana Raja Mahkota Perak di kampung itu. Lokasinya dekat dengan Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh di mana kami perlu hadir untuk mengikuti lagi perbicaraan melibatkan hal ehwal keluarga.




Tentang perbicaraan apakah itu ada diceritakan dalam artikel Misi keluarga Laksamana - Solidariti keturunan Orang Kaya Arshad dan adik seibu sebapanya Aminah hampir 2 bulan lalu.




Saya boleh sahaja menceritakan semua yang berlaku dalam perbicaraan kerana sebaik sahaja diperkatakan oleh peguam dan hakim dalam ruang umum perbicaraan ia sudah menjadi suatu public record atau rekod umum. Kecuali ada arahan jelas suatu itu tidak boleh dikongsikan di luar mahkamah.




Di sini cukuplah diberitahu bahawa perbicaraan kali ini melibatkan pembacaan tulisan pada batu nesan di dua buah makam oleh pakar. Satu dikatakan milik datuk kepada datuk saya Orang Kaya Muhammad Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Batak Rabit, satu lagi milik orang yang katanya anak Laksamana Muhammad Amin juga bernama Ahmad Sharif di Durian Sebatang. Cuma yang di Durian Sebatang itu tidak tertulis pun perkataan Laksamana. Yang ada sebenarnya nama yang dibaca sebagai Ayub Sharif bin Amin Muhammad dengan tarikh meninggal sahaja. Sehingga peguam lawan membawa persoalan apakah mungkin kedua-dua makam ini sebenarnya milik keturunan yang berlainan?



Ia seperti mengesahkan persoalan yang sudah lama bermain dalam fikiran kaum kerabat terdekat kami. Benarkah si fulan anak si fulan ini keturunan Laksamana Muhammad Amin? Sedangkan tindak tahu pihak beliau selama dua tahun bersama kami dalam perbicaraan kemudian disedari banyak meragukan. Nama Ahmad Sharif pun tidak pernah muncul dalam sejarah keluarga kami yang boleh dirujuk dalam catatan-catatan pegawai pentadbir British tahun 1870an dan 1880an kecuali setelah beberapa dekad kemudian. Rujuk kembali persoalan yang dilontarkan dalam artikel hari pertama perjalanan ini iaitu Misi keluarga Laksamana part IV - Antara Besout dan panggilan persekitaran Lumut.




Selesai perbicaraan di mahkamah saya bergerak ke Masjid Paloh ke barat bandar raya Ipoh untuk satu urusan yang tidak selesai. Dalam perjalanan sebelum ini (lihat Misi Keluarga Laksamana part III - Tasik-tasik di Lenggong membawa ke Ipoh diikuti Tapah) saya ada mencari satu makam seorang pembesar utama Perak yang kemudian didapati rapat dengan susur galur keluarga saya yang di belah Laksamana Kedah tetapi tak berjumpa. Dah balik rumah baru dapat disemak kembali lokasi lalu baru kini terjumpa. Lihat artikel Makam (Tomb of) Seri Adika Raja Wan Muhammad Salleh di blogspot  SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Sebetulnya saya pernah sampai ke makam tersebut tetapi secara tidak sengaja apabila dibawa bersolat Jumaat di situ sekitar 15 tahun lalu. Dari Masjid Paloh mengambil jalan ke Papan dan Lahat melalui kawasan sekitar Pengkalan Pegoh. Sambil berjalan itu fikiran cuba mengimbau pada zaman pertengahan abad ke-18 Masihi sehingga awal abad ke-19 yang mana aliran Sungai Kinta menjadi satu laluan utama untuk membawa hasil bijih timah ke luar Perak sebelum dieksport ke Eropah...




Saya mengambil laluan tersebut kerana perlu menghantar seorang bapa saudara ke Batu Gajah. Gambar ini diambil ketika menyeberang Sungai Kinta sebelum Batu Gajah.



Terlihat sebuah warung menjual nasi kandar di tepi jalan kami pun singgah untuk makan tengah hari.




Jam 1.30 sampailah ke bandar Batu Gajah...







Ambil jambatan kecil menyeberang lagi Sungai Kinta untuk menghantar bapa saudara ke rumah iparnya.




Dari situ saya main ikut sahaja satu jalan pendalaman yang nampaknya membawa ke arah selatan.




Ia melalui banyak bekas lombong kiri dan kanan...













Tengok-tengok keluar ke jalan besar menuju ke pekan kecil Kota Bahru. Teringat sebuah makam dekat-dekat situ yang belum pernah diziarahi kerana tidak diketahui lokasi tepat. Cuma katanya dalam kawasan lombong dekat tepi sungai. Saya pun cuba mencarinya. Lihat artikel Looking for the tomb of Syed Osman di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Selepas itu pergi menziarahi makam Raja Bendahara Alang Iskandar...







Turut diziarahi makam pembesar bernama Syed Jaafar.




Kedua-dua makam tersebut sudah banyak kali diziarahi kerana terletak betul-betul di tepi jalan menghala ke Malim Nawar dan Kampar.




Perjalanan diteruskan ke arah bandar Kampar.






Terlihat papan tanda menunjukkan arah ke sebuah air terjun saya pun pergi untuk bermandi manda menghilangkan rasa melengas badan seharian menghadapi panas terik matahari. Lihat The waterfalls of Batu Berangkai in Kampar.




Jam 5.08 petang sampai ke pekan Tapah.



Sampai ke Sungkai baru berhenti untuk pekena lagi nasi kandar...







Selepas Tanjung Malim baru mengambil Lebuh Raya Utara Selatan.




Keluar di Lembah Beringin dengan niat untuk mengambil satu jalan pendalaman ke sebuah empangan yang belum pernah disinggahi sebelum ini. Tengok-tengok jalan agak teruk sedangkan minyak dah tinggal sedikit. Saya pun kembali masuk ke lebuh raya sebelum keluar di Bukit Beruntung untuk mengisi minyak.



Jam 8.30 baru sampai rumah. Didapati perjalanan kali ini memakan jarak keseluruh 677 km.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan