Isnin, Ogos 15, 2022

Misi Keluarga Laksamana part III - Menyambung penyelidikan seorang diri sebelum berkejar ke Kota Raja Bersiong

Masuk pula kita pada cerita hari ke-4 perjalanan. Bersambung daripada artikel Misi Keluarga Laksamana part III - Mengkaji di USM sebelum pusing pulau.



Awal pagi Rabu 10 Ogos 2022. Setelah bermalam di sebelah kolam wuduk masjid Lebuh Aceh baru dapat masuk ke dalam dewan solat apabila ia dibuka jam 5.30 pagi. Saya pun mengambil kesempatan menyambung pembacaan al-Quran untuk dikhatamkan bagi bulan Muharram tahun 1444 Hijriah. Ketika itu, pada tarikh yang bersamaan 12 Muharram saya baru mencapai juzuk ke-14.



Selepas solat Subuh berjemaah dan sedikit wirid saya meninggalkan pusat bandar raya Pulau Pinang melalui Jalan Dato' Keramat. Ketika itulah tersedar kasut plastik saya ada dikencing oleh kucing, harus di masjid Lebuh Aceh.




Saya berhenti di masjid pertama dapat dilihat dari tepi jalan untuk membasuh kaki dan kencing kucing. Atas asbab itu sampailah ke masjid yang memiliki sejarah yang tersendiri.



Sebelum ini pernah sampai tahun 2014. Lihat Misi HIKMAH Pulau Pinang - 24 jam menuju ke acara. Sebelum itu mungkin pernah sekali. Kali ini baru tahu sejarah sebenar masjid dan penempatan di sekitar dan kaitannya dengan Aceh, tempat asal nenek moyang saya sebelah bapa 300 tahun lalu. Maka beriktikaflah buat beberapa lama selain menziarahi makam-makam lama di sebelah. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot  SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).







Adapun destinasi sebenar saya adalah ke Universiti Sains Malaysia bagi menyambung kajian di perpustakaan sana. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Misi Keluarga Laksamana part III - Mengkaji di USM sebelum pusing pulau. Sebetulnya terdapat jalan lebih mudah dan dekat melalui persisiran pantai untuk ke USM. Tetapi saya mengambil laluan ini kerana mahu melihat satu bahagian jalan baru di Pulau Pinang yang katanya kini memiliki jejantas tertinggi di Malaysia.



Saya adalah orang yang sukakan struktur-struktur menarik buatan manusia selain pemandangan semulajadi alam. Dahulu jejantas tertinggi adalah di laluan baru Seremban ke Kuala Pilah dekat Bukit Putus, saya dah lalu banyak kali. Kemudian jalan pintas atau bypass Rawang dibina lalu di situlah berdirinya jejantas tertinggi di Malaysia. Ini lagi banyak kali sudah lalu kerana dekat dengan rumah, sudah jadi laluan biasa saya dan keluarga untuk ke Kuala Lumpur. Tapi yang di Pulau Pinang ini belum lagi, sejak ia siap lalu dibuka setahun dua lalu. Maka atas asbab mahu ke jejantas terbaru laluan berkenaan diambil diikuti asbab kencing kucing pada kasut saya singgah di masjid tadi. Ke hadapan sedikit singgah pula makan nasi kandar di kedai bawah pokok Cheri untuk bersarapan nasi kandar telur ikan ini.



Perjalanan diteruskan itu ke jejantas tertinggi itu.



Lalu bahagian ini yang cukup tinggi. Tetapi bukan yang tertinggi kerana rupa-rupanya harus membelok ke arah Balik Pulau untuk itu. Sedangkan saya sudah harus berkejar ke USM.




Sampai ke perpustakaan jam 8.43 pagi.




Pegawai perpustakaan sudah sedia untuk membantu keperluan...




Hari ini tumpuan diberikan terhadapan dokumen-dokumen lama British atas nama CO273. Tidak seperti pada hari sebelumnya saya harus melakukannya seorang diri kerana semua saudara mara ada hal lalu harus pulang ke tempat masing-masing.




Tak mengapa. Sebagai seorang yang suka dikenali sebagai pemikir saya memang sudah bersedia untuk mengorbankan masa dan tenaga untuk itu. Sejak menyambung kembali pengajian ke peringkat pasca-siswazah di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) September 2018 saya memang selalu membaca buku-buku dan tesis ratusan muka surat. Malah sebetulnya saya sudah biasa berbuat begitu sejak sebelum masuk sekolah rendah tahun 1977 lagi kerana suka membaca ensaiklopedia. Cuma apabila masuk umur 20an saya dilekakan dengan perkara-perkara lain lalu sudah kurang membaca. 

Dalam tempoh sebulan kebelakangan saya telah membiasakan diri untuk membuat scanning iaitu membaca pantas tanpa perlu mencerna semua maklumat kerana cuma mahu menuju pada kata-kata kunci tertentu sahaja sehingga lebih 1,000 muka surat  dokumen dalam sekali duduk. Lihat ceritanya dalam artikel-artikel berikut :-






Cuma kajian kali ini lebih mencabar kerana harus meneliti banyak dokumen bertulisan tangan. Tulisannya pula masyaallah... ala peninglah, ala peninglah...




Yang bertaip cuma sebahagian sahaja. Kalau pada hari sebelumnya juga sebelum itu rata-rata bertaip.




Nasib baik saya sudah lebih awal memuat turun senarai katalog dokumen-dokumen berkenaan yang pernah dibuat oleh Arkib Negara pada tahun 1990. Menggunakan katalog saya dapat melihat dokumen manakah yang tidak relevan bagi pencarian lalu boleh diketepikan, dokumen mana yang mungkin relevan lalu isinya harus dibaca dengan teliti perkataan demi perkataan.



Jam 1 bahagian berkenaan iaitu tempat di mana disimpan mikrofilem ditutup untuk rehat waktu tengah hari sebelum dibuka kembali jam 2. Saya telah berjanji dengan seorang kawan lama zaman kolej yang merupakan seorang Profesor di USM untuk keluar makan tengah hari.



Asalnya beliau mahu membawa ke restoran makanan Barat dalam kampus. Tetapi apabila mendengar cerita saya ada mencari jejantas tertinggi di Malaysia beliau pun membawa lalu ke sana.







Alang-alang melihat jejantas terus ke restoran makanan Melayu tradisional di Balik Pulau. Di situ saya makan lagi telur ikan sambil kami bercerita macam-macam.




Selepas jam 2.30 baru bergerak untuk kembali ke perpustakaan. Singgah sebentar di tempat perhentian tinggi ini untuk mengambil gambar. Lihat artikel A vantage point near Balik Pulau di  blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Selepas perpustakaan tutup jam 4.30 saya mengorak langkah untuk meninggalkan kawasan pulau melalui jambatan kedua Pulau Pinang.
 





Terus berkejar ke arah Serdang dan Selama memasuki negeri Kedah kemudian Perak.



Di pekan Selama baru berhenti untuk buang air dan beli air minum.




Saya sampai ke destinasi yang mahu dikejar iaitu Kampung Kota Raja Bersiong dekat jam 6.30 petang.




Alhamdulillah akhirnya dapat melihat dengan jelas tempat misteri yang dikatakan pernah menjadi tempat watak terkenal dalam sejarah lama negeri Kedah itu Raja Bersiong berlindung buat suatu masa. Lihat Kota Raja Bersiong waktu siang (Fort of Raja Bersiong during daytime).




Di atas batu-batuan di Kota Raja Bersiong saya menyambung bacaan Al-Quran lagi. Kalau tidak kerana ada lagi tempat mahu dilihat sebelum gelap tentu akan dibaca lebih banyak muka surat. Lihat artikel Masjid Toh Paduka waktu siang (The mosque of Toh Paduka during daytime) diikuti Makam Wan Abu Bakar waktu siang (Tomb of Wan Abu Bakar during daytime).



Pada jam 7.19 iaitu hampir waktu Maghrib baru perjalanan disambung lagi dengan menuju ke laluan rentas gunung membawa ke Lenggong.



Kali ini baru dapat melihat dua air terjun tinggi cantik dengan jelas lalu boleh dicapai dari laluan.




Dahulu, ketika pertama kali sampai ke Kota Raja Bersiong bulan Februari iaitu setengah tahun lalu bersama keluarga saya tidak dapat melihat semua ini kerana sampai ketika hari sudah gelap. Lihat Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Dari Kota Kuala Kedah membawa ke Kerian membawa ke Ijok.



Kalau tidak kerana hampir masuk waktu Maghrib tentu akan singgah bermandi manda juga berusaha untuk mencapai bahagian paling tinggi air terjun. Perjalanan masih agak jauh untuk merentas kawasan pergunungan dalam keadaan masih ada cahaya untuk melihat keadaan. Sampai ke sebelah sana pergunungan menghampiri Lenggong singgah untuk bersolat Maghrib seraya menjamakkan Isyak di masjid di suatu tempat bernama Sumpitan. Terlihat satu makam yang seperti hendak memberitahu sesuatu tentang moyang, atau lebih tepat, datuk kepada datuk saya Orang Kaya Muhammad Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Lihat Makam (Tomb of) Penghulu Meor Alwi, Sumpitan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan