Rabu, Julai 06, 2022

Ilmu jiwa daripada sudut pandang Al-Ghazali - Kepentingan ilmu jiwa dan pendekatan terhadap kesihatan dalam Ihya Ulumiddin

Salam hari Rabu malam Khamis 7 Zulhijjah 1443 Hijriah. Merujuk pada artikel Ilmu jiwa daripada sudut pandang Al-Ghazali - Kefahaman Al-Ghazali tentang kesihatan dan penyakit jiwa yang dipersembahkan lebih 2 minggu lagi. Sekarang biar dikongsikan cerita tentang syarahan sambungannya iaitu yang ketiga dalam siri.



Seperti biasa syarahan dengan tajuk besar yang boleh diterjemahkan sebagai "Ilmu Jiwa Daripada Sudut Pandang Al-Ghazali" oleh guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar ini  dibuat pada hari Sabtu pertama suatu bulan pada jam 8.30 malam waktu Malaysia. Cuma kali ini, pada tarikh 2 Julai saya tidak dapat mengikutinya secara langsung kerana berada dalam majlis tahlil khas untuk seorang kawan dalam dunia persilatan. Lihat artikel Dari ISTAC ke KLCC ke Selayang untuk acara-acara keMelayuan.




Untuk mengikutinya saya harus menunggu pihak penganjur utama iaitu ISIP (International Students of Islamic Psychology - Penuntut Antarabangsa Ilmu Psikologi) menghantar pautan rakaman video melalui e-mail. Ini diterima tengah hari semalam tetapi baru hari ini ada kelapangan untuk mengikutinya. Selalunya slaid syarahan dihantar bersama dalam e-mail. Kali ini entah kenapa failnya ada tetapi isinya kosong. Terpaksalah ambil secara snip daripada rakaman video untuk melancarkan perkongsian.




Syarahan ketiga ini diberi tajuk kecil yang boleh diterjemahkan sebagai "Kepentingan Ilmu Jiwa dan Pendekatan terhadap Kesihatan dalam Ihya Ulumiddin".





Dengan itu kitab induk Imam Al-Ghazali itupun dirujuk. Diberikan pengenalan tentang kitab. Ia diatur kepada empat jilid seperti berikut :-


Jilid satu (suku pertama) - Perbuatan-perbuatan ibadah - Ada 10 buku.

Jilid dua (suku kedua) - Kegunaan-kegunaan hidup - 10 buku

Jilid tiga (suku ketiga) - Perkara-perkara yang membinasakan hidup - 10 buku

Jilid empat (suku keempat) - Perkara-perkara yang menyelamatkan hidup - 10 buku




Dengan itu kitab Ihya Ulumuddin mengandungi sejumlah 40 buah buku. Untuk jilid satu buku-bukunya adalah (terjemahan saya) :-


1. Tentang ilmu pengetahuan - Kerana semuanya bermula dengan ilmu pengetahuan

2. Asas rukun iman

3. Misteri kesucian - Kebersihan dan sebagainya

4. Misteri sembahyang/solat

5. Misteri zakat

6. Misteri puasa

7. Misteri menunaikan haji

8. Adab membaca Al-Quran

9. Tentang bacaan zikir dan doa

10. Tentang pengabdian yang berterusan





Untuk jilid dua buku-bukunya adalah tentang :-


1. Adab pemakanan

2. Adab perkahwinan

3. Adab mencari nafkah hidup

4. Tentang halal haram

5. Tentang adab bersahabat dan pergaulan dengan pelbagai jenis manusia

6. Tentang beruzlah

7. Adab mengembara

8. Tentang muzik dan kelazatan (dalam menghayati muzik)

9. Tentang amal makruf nahi munkar

10. Adab menjalani kehidupan seperti diteladani melalui akhlak Nabi




Jilid ketiga :-


1. Tentang keajaiban hati - Bagaimana hati ibarat raja dalam suatu kerajaan berhubung dengan lain-lain fakulti yang bertindak sebagai menteri dan rakyat dalam diri seorang manusia

2. Tentang mengendalikan nafsu

3. Tentang menundukkan dua shahwat - Shahwat perut dan shahwat kelamin

4. Bahaya lidah

5. Kutukan kemarahan, kebencian dan hasad dengki

6. Kejahatan dunia

7. Kejahatan kekayaan dan tamak

8. Kejahatan menunjuk-nunjuk dan kepura-puraan

9. Kejahatan bangga diri, bongkak dan puji diri sendiri

10. Kejahatan kesombongan dan terperdaya dengan khayalan




Jilid empat :-


1. Tentang taubat

2. Tentang sabar dan syukur

3. Tentang takut dan harap

4. Tentang kefakiran dan zuhud

5. Tentang tauhid dan tawakal

6. Tentang mahabah, pengharapan, keintiman (terhadap hadrat Ilahi) dan redha

7. Tentang niat, bersifat benar dan ikhlas

8. Tentang muraqabah dan musahabah (merenung dan memperkirakan diri - melihat salah silap)

9. Tentang tafakur

10. Tentang mengingat mati




Jadi apakah jenis karya kitab Ihya Ulumiddin ini? Menurut kata-kata Al-Ghazali sendiri ia adalah seperti berikut :-


1. "Sains perjalanan ke akhirat, yang mana nenek moyang kita telah melaluinya dan mengandungi apa yang difirmankan Allah dalam kitabNya sebagai undang-undang, hikmah, ilmu pengetahuan, pencerahan, cahaya, panduan, and kebenaran, yang telah hilang daripada kalangan manusia dan langsung dilupakan (pada zaman beliau)."

2. "Ini adalah bencana yang menimpa agama. Oleh itu saya mendapati adalah penting untuk terlibat dalam penulisan buku ini, untuk menghidupan kembali sains keagamaan (ulumiddin), untuk memberi pencerahan terhadap teladan daripada kehidupan imam-imam yang sudah meninggal dunia, untuk menunjukkan cabang-cabang ilmu pengetahuan yang mana para nabi dan nenek moyang yang berakhlak mulia mendapatinya berguna."




Kata Al-Ghazali lagi tentang bukunya :-


3. "Sains yang dengan mana kita mendekati akhirat dibahagikan kepada sains tentang praktikal agama dan sains 'pembukaan' (mukashafah). Dengan sains pembukaan saya maksudkan ilmu dan cuma ilmu. Dengan  sains praktikal agama saya maksudkan ilmu berserta tindakan yang selari dengan ilmu itu. Karya ini cuma akan menangani sains praktikal agama, dan tidak sains pembukaan."

4. "Sains praktikal agama terbahagi kepada sains luaran (ilmu zahir), yang mana maknanya adalah ilmu melalui fungsi dan aktiviti organ tubuh badan, dan sains dalaman (ilmu batin), yang mana maknanya adalah ilmu melalui fungsi dan aktiviti hati. Organ tubuh badan melakukan sama ada kerja-kerja ibadah atau kegunaan dalam kehidupan, sementara hati, disebabkan ia terpisah daripada deria dan dimiliki oleh alam malakut, adalah tertakluk kepada pengaruh-pengaruh yang terpuji atau terkeji."




5. "Sains luaran, yang terkait dengan organ tubuh badan, terbahagi kepada tindakan-tindakan untuk beribadah dan kegunaan dalam kehidupan; sains dalaman (batin), yang terkait dengan keadaan hati dan kualiti nafsu, terbahagi kepada perkara-perkara yang terpuji dan perkara-perkara yang boleh dipersoalkan.  Bersama ia membentuk empat bahagian dalam sains praktikal agama".

Kata Osman disebabkan itulah Ihya Ulumiddin dibahagikan kepada empat jilid. Ia terkait dengan empat bahagian yang disebut Al-Ghazali itu.




Berapa banyak ilmu jiwa dalam Ihya? Osman menyenaraikan begini lalu mengulas setiap perkara...


1. Ihya adalah karya pelbagai dan kesalingan disiplin. Ia termasuk pengajian Quran dan hadis, teologi, prinsip undang-undang, perubatan, sains kesihatan, ilmu jiwa, ilmu Sufi dan eskatologi (ilmu akhir zaman)

2. Ia adalah buku tentang keselamatan jiwa, yang tidak lain tidak bukan adalah ilmu jiwa amali dalam keadaan paling menyeluruh. Setiap jilid adalah terkait dengannya (jiwa).

3. Ia adalah buku tentang kesihatan bersepadu dan ubat bagi jiwa.

4. Jilid satu (tentang ibadah) melibatkan penggunaan epistemologi, asas kepercayaan yang benar, memperhalusi diri spiritual (melalui zikir, doa, qasidah). Ia adalah asas kehidupan yang sihat, dimensi pertama dalam perubatan pencegahan.

5. Jilid dua (tentang adat dan muamalat). Mengetahui seni kehidupan sihat di bumi yang dirahmati dan disucikan oleh langit, dimensi kedua dalam perubatan pencegahan. Keperluan untuk adab dan hukum, kehidupan sederhana dalam semua sepuluh bahagian hidup (rujuk kembali slaid tentang jilid dua).

6. Jilid tiga (al-muhlikat - Perkara-perkara yang membinasakan hidup) - Theodicy (ilmu tentang bagaimana Tuhan boleh wujud sedangkan terdapat banyak kejahatan di dunia) Islam menekankan tentang penyakit dan gangguan kesihatan, baik semulajadi atau disebabkan perbuatan manusia, adalah sebahagian daripada qada' dan qadar (rukun Iman yang keenam).


Merujuk pada perkara satu hingga tiga, kata Osman ada kesepaduan antara semua itu. Tambahnya, inilah ilmu jiwa praktikal yang sebenar, bukan sekadar apa yang kita faham hari ini tentang ilmu jiwa yang disebut sebagai psikologi oleh dunia moden. Masuk perkara enam beliau memaparkan kembali slaid berkenaan...




Ini adalah slaid yang menyenaraikan senarai 10 buku dalam jilid tiga. Penekanan diberikan kepada buku 3 yang mana perut juga alat kelamin boleh menjadi punya pelbagai permasalahan dan penyakit. Kemudian baru tentang keburukan lidah atau kata-kata yang tidak dijaga, tikam belakang dan sebagai lalu pergi pada buku-buku seterusnya.




Kembali pada berapa banyak ilmu jiwa dalam Ihya. Diulas sedikit tentang perkara ketujuh dan terakhir iaitu merujuk pada jilid empat dalam kitab Ihya Ulumuddin. 


7. Jilid empat (al-munajiyat - Perkara-perkara yang menyelamatkan hidup ) - Menghayati kehidupan spiritual yang makmur dan bermoral dan pegangan kukuh terhadap perkara-perkara yang menyelamatkan kita adalah kunci kepada keselamatan dan kebahagian.




Kata Osman, Al-Ghazali sangat menekankan adab dalam semua perkara. Termasuk dalam itu adalah perubatan pencegahan (preventive medicine) atau bahasa mudah Melayunya adalah menjaga pantang larang seperti tidak makan secara berlebihan. Kesemua ini membawa pada pendekatan untuk kesihatan dalam Ihya. Ia pun diringkaskan seperti berikut :-


1. Kitab menekankan ilmu jiwa yang bersepadu

2. Menekankan kesihatan bersepadu jasad, jiwa, fikiran (kepandaian) dan hati

3.Menekankan perubatan pencegahan (dengan berpantang), peranan sains-sains Syariah (kepercayaan yang benar dan perbuatan yang betul)

4. Sains-sains Syariah dilihat sebagai ubat kepada jiwa (tibb al-nufus)

5. Bertindak balas terhadap maksiat atau penyakit-penyakit jiwa dengan menyuburkan kebajikan, perubatan spiritual melalui aktiviti-aktiviti spiritual hati (membaca aurad, zikir dan berdakwah)

6. Akhir sekali, ubat paling mujarab adalah menyeru nama-nama Allah (seperti berzikir dengan Asma'ul Husna, 99 nama Tuhan yang indah)


Di celah-celah ulasan berkenaan Osman memberikan contoh bagaimana penyakit zahir atau fizikal boleh diubati oleh doktor yang cukup pakar asal sahaja kita memberikan kepercayaan penuh pada saranan perubatannya. Begitu juga penyakit spiritual atau batin (melibatkan hati). Kita perlukan pertolongan daripada mereka yang pakar dalam bidang, guru-guru spiritual...

Cukuplah perkongsian daripada saya. Rakaman penuh syarahan boleh diikuti di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan