Isnin, Januari 03, 2022

Pantai Timur penghujung 2021 - Membawa bekalan bicara tinggi Tauhid hingga ke puncak Bukit Keluang

OK. Pergi kita pada penceritaan hari ke-5 perjalanan Pantai Timur. Bersambung daripada artikel Pantai Timur penghujung 2021 - Dari pantai ke pantai sebelum ke Pulau Manis.



Pagi Rabu 22 Disember 2021. Setelah berehat sejam dua di sebuah inap desa (homestay) di Pulau Manis saya membawa isteri dan anak-anak keluar ke satu tempat.




Kami mahu bertemu dengan seorang ulamak sufi yang dikenali sebagai Tokku Ibrahim.




Beliau yang berketurunan wali besar Terengganu abad ke-17 dan 18 iaitu Tok Pulau Manis telah mendirikan satu kawasan untuk beramal dan bersuluk. Lihat artikel Zawiyah Syeikh Abdul Malik, Kampung Pulau Manis, Terengganu di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Selepas berbual sedikit tentang beberapa perkara kami pergi  ke galeri dan makam. Lihat artikel Rupa baru galeri Tok Pulau Manis (New look of gallery of Tok Pulau Manis) diikuti Rupa baru makam Tok Pulau Manis (New look of tomb of Pulau Manis). Sebetulnya kami sudah mengunjungi beliau pada malam sebelumnya lalu berbual panjang tentang Tauhid, Hakikat Muhammad juga ilmu Martabat Tujuh. Lihat rakaman yang dibuat isteri saya di sini



Rakaman itu sendiri memakan masa lebih 50 minit sedangkan banyak lagi perkara diperbualkan tapi saya tak benarkan isteri merakam kerana ditakuti boleh menimbulkan fitnah. Lewat malam, kalau tak salah selepas jam 12 tengah malam baru kami meminta diri kerana tidak tahan penat. Tokku Ibrahim memberikan inap desa untuk bermalam tetapi saya memilih untuk menginap di makam. Ini kerana ia terasa begitu selesa. Selepas matahari muncul baru bersama isteri dan anak-anak di inap desa. Oh. Kami juga ada membuat rakaman video tentang galeri dan makam. Sila lihat sini.



Seterusnya kami ke satu tarikan pelancongan baru yang dikenali sebagai Kalang Warisan.




Letaknya sekitar 700 meter sahaja ke utara makam. Kata Tokku tempat ini dibuka setahun lebih lalu dengan tujuan agar orang ramai terpanggil untuk menziarahi makam lalu mengenali Tok Pulau Manis dan ajarannya. Lihat artikel The riverside attraction called Kalang Warisan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Saya dan anak-anak layan mandi sungai sebelum makan tengah hari di Kalang Warisan. Sekitar jam 1.40 petang baru menyambung perjalanan ke bandar raya Kuala Terengganu.




Ziarah sebentar ke makam Tokku Paloh, wali besar Terengganu abad ke-19 dan 20 di pinggir barat bandar raya...













Ziarah juga ke makam seorang lagi ulamak silam iaitu Tok Pelam dalam bandar raya...







Seterusnya kami singgah sebentar di Pasar Payang.







Selepas itu bergerak ke Seberang Takir melalui jambatan angkat...






Masuk ke kawasan kampung untuk menziarahi makam yang dipercayai menempatkan jasad seorang Laksamana agung empayar Johor-Riau-Lingga. Lihat Makam (Tomb of) Laksamana Tun Abdul Jamil?.




Perjalanan diteruskan dengan mengambil jalan terdekat pantai menuju ke arah utara. Singgah berehat di sebuah pantai. Lihat A stop at Pantai Penarik, Terengganu.




Seterusnye ke Jerteh untuk melawat sebuah masjid yang unik. 
.


Ia memiliki ciri rupa seperti sebuah bangunan bersejarah di Russia. Lihat Masjid Lapan Kubah (Eight domed mosque), Jerteh, Terengganu.




Selepas jam 6 perjalanan diteruskan untuk ke satu pantai di Besut.




Dekat jam 6.20 kelihatanlah bukit panjang yang menandakan kawasan pantai.




Selamat datang ke pantai Bukit Keluang. Kami sudah beberapa kali sampai. Lihat New visit to the beach of Bukit Keluang. Cuma kali ini kami mahu mendaki bukit di sebelah pantai hingga ke puncak. Saya sudah lama menyimpan hajat, setelah mendapat tahu ada denai ke atas telah dibuka kira-kira setahun setengah lalu. Isteri pula ingin mencuba kerana ada kawan sekerja yang sedikit lebih tua sudah sampai... ketika kembali bercuti ke kampung di Besut.



Kami pun berjalan kaki ke tempat permulaan denai. Ingatkan dekat rupa-rupa jauh ke penghujung selatan bukit. Adalah lebih mudah membawa kereta ke tempat permulaan tetapi takut rugi pula perjalanan. Ini kerana denai memiliki jalan keluar di penghujung utara bukit berdekatan pantai. Kalau naik kereta ke tempat permulaan kemudian keluar di sana tetap perlu berjalan kaki jauh ke kereta. Kalau berpatah balik, tidak keluar di utara bukit jadi rugi kerana tidak mengikuti keseluruhan laluan denai...



Setelah terasa jauh berjalan tetapi masih tak sampai-sampai ke tempat permulaan isteri membuat keputusan untuk berpatah balik membawa anak-anak. Tinggallah saya seorang diri meneruskan perjalanan. Sebetulnya ia bukan faktor penat berjalan semata tetapi mengejar masa lantaran hari semakin gelap. Sewaktu sampai ke tempat permulaan denai sudah jam 6.47 petang. Kalau sampai sejam lebih awal boleh mendaki santai seperti dilakukan kebanyakan orang lalu tidaklah terasa penat.




Nasib baik terserempak 2 orang anak muda yang turut mendaki lewat. 



Tetapi kelihatannya mereka kurang separuh umur saya lalu dapat bergerak lebih pantas. Saya pula harus akur sudah berumur 51 tahun dan tidaklah begitu pantas dan cergas lalu ditinggalkan seorang diri. Kalau semasa umur 20an dahulu insyaallah saya masih mampu berlari-lari anak mendaki bukit walau harus menggalas beg besar.




Pun begitu dapat juga sampai ke puncak pada jam 7.09.  Sebelum itu telah kedengaran azan Maghrib berkumandang dari bawah bukit. Alhamdulillah dapat menjaga nafas agar tidak tercungap-cungap lalu dapat keluar dari hutan bukit dengan selamat sekitar jam 8 melepasi laluan turun yang sangat curam. Lihat artikel Climbing up the hill that is Bukit Keluang diikuti On to the designated peak of Bukit Keluang.

Oh, satu perkara menarik. Artikel-artikel sokongan yang perlu dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) bagi menyempurnakan penceritaan kali ini memberikan jumlah 2,144 artikel bagi kedua-dua blogspot. Walaupun artikel terakhir di BERPETUALANG KE ACEH adalah tentang pendakian ke puncak Bukit Keluang sedangkan artikel terakhir di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) adalah tentang masjid 8 kubah harus ada kaitan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan