Jumaat, November 20, 2020

Islam sebagai satu jalan ilmu

Salam pagi Jumaat. Satu perkongsian daripada 3 hari lalu. 



Selasa malam Rabu 17 November 2020 berlangsung satu majlis ilmu dalam format Webinar anjuran ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Ia merupakan edisi pertama daripada satu siri baru syarahan penglibatan masyarakat oleh ISTAC. Seperti kebiasaan di institut syarahan diadakan dalam bahasa Inggeris. Tajuk edisi pertama ini boleh diterjemahkan menjadi "Islam Sebagai Satu Jalan Ilmu".



Memberikan syarahan adalah guru dan penyelia tesis saya  di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Ia adalah syarahan ketiga beliau saya ikuti dalam format Webinar tetapi pertama atas nama ISTAC. Syarahan Webinar pertama beliau saya ikuti adalah anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) pada 9 Oktober. Lihat Al-Ghazali dan Ibnu Rushdi : Dua bintang dalam galaksi intelektual Islam. Ia adalah syarahan Webinar pertama saya hadiri seumur hidup dan ini berlaku setelah hampir 7 bulan tidak menyertai apa-apa majlis rasmi ilmu.



Syarahan kedua adalah anjuran Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia (PPFPM) dan dua pihak lain pada 24 Oktober. Lihat Peranan Saling Melengkapi Falsafah dan Agama Dalam Pembinaan Peradaban. Esoknya saya mengadakan majlis ilmu pertama anjuran sendiri dalam format Webinar. Lihat Trial Run Bicara Perjuangan HIKMAH 25 Oktober dan rancangan untuk acara sebenar 31 Okt. Ia diadakan sebagai persediaan bagi satu majlis yang mahu dianjurkan 31 Oktober di rumah melibatkan ramai hadirin tetapi harus ditukar format kepada Webinar disebabkan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya 14 hingga 27 Oktober dilanjutkan lagi 2 minggu. Alhamdulillah majlis tersebut sudah selamat diadakan dengan jayanya. Lihat Malaysia Tanpa Ahli Politik? Jelas sudah pendirian berdasarkan realiti semasa, bukan angan-angan semata.



Selepas itu PKPB dilanjutkan lagi sehingga 6 Disember. Ramai yang percaya ia akan dipanjangkan lagi sehingga tamat tahun 2020. OK. Sebetulnya otak saya sedang lembap untuk memberikan perkongsian terbaik tentang syarahan 3 hari lalu. Walaupun sudah menyerap isi seperti halnya menyerap zat makanan saya tidak dapat memberikan penerangan terbaik tentang rupa makanan sebelum dikunyah lumat lalu ditelan. 

Cukuplah disebut bahawa Osman memulakan tentang menerangkan dahulu apa itu Islam. Takrifan bahasa Inggeris "submission" yang membawa makna penyerahan dihuraikan panjang lebar kemudian diterangkan bahawa Nabi-nabi terdahulu semua membawa maksud agama yang sama, cuma cara mengamalkan agama sahaja boleh jadi berlainan (itulah yang dikenali sebagai Syariat). Namun semua menekankan kepentingan ilmu kerana Islam itu tidak dapat dikenali mahu diamalkan dengan baik tanpa ilmu.

Untuk melebarkan penerangan beliau mengulangi beberapa perkara yang pernah didengar dalam syarahan-syarahan beliau yang terdahulu. Antaranya adalah bagaimana wahyu pertama yang turun kepada Nabi Muhammad SAW iaitu 5 ayat pertama (dalam Surah Al-Alaq) bermula dengan perkataan Iqra' itu menyuruh manusia mencari ilmu. Rujuk penerangan berkenaan dalam artikel lama  Iqra' sebagai asas ketamadunan Islam. Turut disebut bagaimana alam boleh dibaca sebagai sumber ilmu. Sila rujuk penerangan dalam artikel lama Pesanan keTuhanan dalam Buku Alam Semulajadi : Penciptaan sebagai Wahyu. Menurut Osman itulah 'buku pertama dibaca' oleh Nabi Adam AS (manusia pertama menurut ajaran Islam).



Menjadi moderator atau pemudah cara adalah Profesor Dr Imtiyaz Yusuf, juga dari ISTAC. Allah. Terasa rindu sungguh sudah 8 bulan tidak menjejakkan kaki ke bangunan utama institut di Bukit Tunku, Kuala Lumpur akibat segala macam bentuk PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sejak ia dilaksanakan 18 Mac untuk menangani masalah penyebaran wabak virus COVID-19.



Jangankan pelajar, pensyarah pun tidak dapat masuk ke dalam bangunan malah halaman tanpa kebenaran bertulis daripada pihak pengurusan UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), badan yang menaungi ISTAC. Yang boleh keluar masuk sejak PKP cuma segelintir kakitangan dan mereka yang duduk di apartment dalam kawasan ISTAC. 

Maaf ya saya kurang bercerita tentang syarahan tetapi lebih banyak melepaskan rasa tentang keadaan. Syarahan boleh diikuti sepenuhnya melalui rakaman di sini.


2 ulasan:

  1. Assalamualaikum tuan Radzi Sapiee, saya harap tuan dapat lengkap kan kronologi atau urutan senarai kerajaan Islam terawal di alam Melayu Nusantara mengikut ilmu yang ada pada tuan.

    1. Kerajaan Perlak
    2. ?
    3. ?
    4. ?
    5. ?

    BalasPadam
  2. Wassalam. Maaf. Tidak dapat saya memikirkan buat masa ini untuk menjawab. Kepala off tune.

    BalasPadam