Rabu, November 25, 2020

Al-Farabi - Seorang pemikir universal

Dipersembahkan perkongsian daripada satu majlis ilmu petang semalam.

 


Majlis kali ini dianjurkan oleh tiga pihak - ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Kuala Lumpur, Kedutaan Kazakhstan di Malaysia dan Al-Farabi Kazakh National University di Kazakhstan. Negara Kazakhstan yang pernah menjadi sebahagian daripada Kesatuan Russia (USSR) terlibat kerana majlis adalah tentang seorang tokoh silam yang berasal dari Farab, satu wilayah yang kini berada dalam Kazakhstan. Tokoh yang hidup pada abad ke-9 Masihi itu dikenali sebagai Al-Farabi.

Majlis dalam format Webinar itu memiliki tajuk besar yang boleh diterjemahkan sebagai "Al-Farabi - Seorang Pemikir Universal". Tajuk kecilnya pula boleh diterjemahkan sebagai "Membincangkan Buku Osman Bakar Tentang Kehidupan, Pemikiran dan Kepentingan Al-Farabi". Ini kerana Osman (Profesor Datuk Dr Emeritus) daripada ISTAC pernah menulis buku dengan tajuk berkenaan dalam bahasa Inggeris. 



Majlis dibuat seiring dengan sambutan 1,150 tahun lahirnya Al-Farabi ke muka bumi iaitu pada tahun 870 Masihi. Ketika menyertai majlis sedikit lewat Duta Kazakhstan ke Malaysia, Bolat Imanbayev baru sahaja selesai memberikan kata-kata aluan. Kelihatan dalam gambar Rektor Al-Farabi Kazakh National University iaitu Profesor Dr. Mukhambetkali Burkitbayev pula memberikan kata-kata pengenalan. Paparan dalam komputer kemudian dihadkan untuk menunjukkan beberapa orang. Mereka yang sedang bercakap ditanda dengan kotak berwarna kuning...









Setelah beberapa lama sampai giliran Osman untuk membincangkan perkara. Beliau membuka dengan terus memperkatakan sifat Al-Farabi sebagai seorang pemikir universal. Ini boleh dilihat melalui latar belakang tokoh dan pelbagai perkara berlainan dalam alam fikirnyanya. Farabi dilahirkan di Farab kemudian ke Merv (dalam Turkmenistan sekarang) untuk belajar ilmu logik Aristotle (Aristotelian logic) dan falsafah. Beliau juga belajar muzik kemudian pergi ke Baghdad untuk mempelajari bahasa. 

Tambah Osman, Al-Farabi sangat menyayangi bidang ini lalu boleh bertutur dalam banyak bahasa. Beliau seterusnya pergi ke Constantinople (kemudian dikenali sebagai Istanbul) untuk belajar ilmu falsafah dalam bahasa Greek ataupun Yunani. Kata Osman menyayangi bahasa selain bahasa ibunda adalah tanda seorang yang bijaksana, ada pemikiran universal. Al-Farabi juga dikenali sebagai seorang ahli teori muzik pada zaman pertengahan (middle ages, merujuk pada abad ke-5 hingga ke-15 dalam konteks sejarah dunia menurut kaca mata Eropah) dan seorang komposer. Lagu-lagu ciptaannya masih dimainkan oleh kumpulan Tariqat Mevlevi (yang terkenal dengan tarian Sufi pusingnya di Turki). 

Pemikiran universal beliau boleh dilihat daripada cara membuat klasifikasi ilmu pengetahuan dan sains (yang mana Osman ada mengarang buku khas tentang perkara). Al-Farabi meletakkan penguasaan bahasa sebagai keperluan awal dalam menuntut ilmu. Selepas itu adalah ilmu logik ataupun mantiq kerana ia adalah seni dalam pemikiran. Beliau telah menulis 40 buah buku tentang logik dan ini termasuk apa yang kita panggil hari ini sebagai pemikiran kreatif. 

Seterusnya adalah sains matematik. Kata Farabi matematik adalah subjek paling mudah untuk dipelajari semasa muda. Matematik bersifat universal, bukan sectarian (bersifat prejudis menurut mana-mana sistem fikir atau sistem nilai). Kata Osman, Al-Farabi adalah manusia pertama yang memperakui ilmu Algebra sebagai satu cabang tersendiri dalam bidang matematik. Sebelum itu dunia mengenali empat sahaja cabang matematik iaitu Aritmetik, Geometri, Astronomi dan Muzik (pada zaman sila muzik termasuk dalam ilmu matematik). Farabi menambah Trigonometri, Algebra dan Kejuruteraan Mekanikal untuk menjadikan 7 cabang matematik yang tersendiri.

Al-Farabi juga menulis 15 tajuk dalam ilmu Metafizik. Ini termasuk bidang Epistemologi. Sekitar sedozen hasil kerjanya adalah tentang sains politik. Pemikir besar silam seperti Ibnu Rushd dan Maimonides adalah peminat Al-Farabi 

Beliau juga menulis tentang Ilmu Kalam dan banyak lagi bidang. Lebih 100 buku telah dihasilkannya dan sebahagian telah hilang. Kata Osman hasil kerjanya bersifat abadi dan sentiasa terpakai (perennial). Secara rata Al-Farabi adalah seorang pemikir yang kerana beliau menuntut ilmu secara universal (dalam pelbagai bidang). Buah fikirnya adalah untuk semua orang, bukan untuk satu agama tertentu sahaja. Disebut juga tentang  bagaimana Al-Farabi melihat politik (ilmu siasah) sebagai jalan untuk mencipta kebahagian. Ketamadunan harus bertujuan untuk mencapai kebahagian itu.



Panelis kedua Prof Dr Aliya Massalimova daripada Al-Farabi Kazakh National University membuka daripada perspektif sejarah Kazakhstan. Disebutlah tentang sumbangan-sumbangan Al-Farabi dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, bagaimana beliau telah membuat terjemahan hasil-hasil kerja oleh para pemikir besar Yunani seperti Aristotle dan Plato serta ramai lagi ke dalam bahasa Arab. Kemudian Al-Farabi membuat penulisan yang menyatukan pelbagai sudut fikir yang kelihatan berlainan. Hasil kerja beliau mempengaruhi pemikir-pemikir besar Barat seperti Thomas Aquinas dan Dante. 



Panelis ketiga Profesor Dr Hazim Shah daripada Universiti Utara Malaysia mengenengahkan kritikan Imam Al-Ghazali terhadap Al-Farabi juga Ibn Sina (yang lahir lebih seabad kemudian). Walaupun beliau tidak menyatakan ini ramai faham yang dimaksudkan adalah Al-Ghazali yang hidup pada abad ke-11 Masihi tidak menggemari pemikiran falsafah Yunani yang dibawa oleh kedua-dua tokoh. Namun jika melihat pada situasi zaman harus difahamkan bahawa umat Islam zaman itu adalah bersifat lebih kosmopolitan. Perkembangan Islam telah membawa kepada pertembungan dengan peradaban-peradaban besar yang telah wujud lebih awal lalu berlakulah penyerapan fikiran.

Apapun, Al-Ghazali tidak boleh mengkritik cara hidup Al-Farabi yang bersifat keSufian berbanding Ibnu Sina yang diketahui lebih keduniaan. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Al-Farabi dan perkara-perkara berkaitan boleh lihat penulisan-penulisan lama saya berdasarkan syarahan-syarahan Osman seperti berikut :-









9. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Apabila syarahan ke-10 dijenamakan kembali menjadi syarahan ke-3


10. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tentang wahyu lebah dan antropologi spiritual


11. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan


12. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Socrates... nabi atau hukamah?


13. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Pengembaraan jauh mencari kebenaran yang memungkinkan sintesis pelbagai faham


14. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Aku, persoalan wujud diri dan kaitan dengan Tuhan juga alam


15. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hierarki yang wujud dalam semua peringkat kejadian dan tahap cahaya yang bertingkat-tingkat


16. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Keunggulan ilmu metafizik dan 'pampasan' Ilahi bagi masyarakat kini


17. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Penulisan tesis sebagai pembuktian dakwaan yang diyakini benar


18. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Antara fakulti universiti dan fakulti yang wujud dalam diri manusia





2 ulasan: