Selasa, April 16, 2019

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Kehidupan awal al-Farabi... antara ketenteraan dan kesarjanaan

Merujuk kepada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mula memperincikan al-Farabi yang dipersembahkan Selasa lalu. Biar dikongsikan sambungannya, syarahan ke-5 dalam siri berkenaan iaitu tentang buku "Classification of Knowledge in Islam" oleh Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.


Syarahan ke-5 ini diadakan pagi Isnin semalam 15 April 2009 di bilik lain ISTAC.


Bilik lebih kecil digunakan kerana kerusi meja dalam bilik biasa yang lebih besar belum sempat dikembalikan setelah digunakan untuk satu majlis anjuran pihak luar yang menyewa dewan besar institut.


Seperti biasa Osman yang memegang jawatan Sheikhul Qulliyah ISTAC juga pemegang Kerusi Al-Ghazzali membuka dengan bertanya jika ada apa-apa mahu ditanyakan tentang syarahan terdahulu iaitu syarahan ke-4 tentang buku pagi Isnin lepas. Kali ini tiada pertanyaan. Osman pun meneruskan dengan menyebut sanad atau salasilah ilmu tokoh ilmuwan silam yang sedang dibincangkan iaitu al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi). Kelihatan ini merujuk kepada ayat terakhir dikupas dalam syarahan lalu. Terletak dalam muka surat 10 buku ia adalah sambungan daripada perenggan terakhir muka surat 9. Lihat  Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mula memperincikan al-Farabi.


Sambil itu kehadiran bertambah lalu mula memenuhi bilik kecil syarahan. Ayat tersebut menyebut bagaimana ilmu falsafah yang diterima al-Farabi boleh sampai ke Baghdad. Sudah disebut beberapa kali bahawa sanad ilmu ini bermula daripada tokoh ilmuwan silam terkenal Yunani abad ke-4 Sebelum Masihi iaitu Aristotle. Kali ini ditambah bahawa tokoh ini juga ramai ilmuwan Yunani sebenarnya mendapat ilmu daripada Mesir purba. 


Ilmuwan Islam pula mendapat ilmu tersebut melalui beberapa jalur, antaranya para sarjana Yahudi. Ilmuwan Barat di Eropah zaman pertengahan (abad ke-14 dan kemudian) pula mendapat faedah daripada ilmuwan silam Islam. Hingga dikatakan hendak mengkaji falsafah agama Yahudi pun perlu merujuk kepada falsafah Islam terlebih dahulu. Kalau tidak tak boleh faham.


Setelah beberapa lama  baru syarahan disambung dengan kupasan perenggan kedua muka surat 10 buku. Maka diceritakanlah tentang catatan yang dibuat tentang kehidupan al-Farabi merujuk kepada tesis Osman tahun 1980an yang kemudian dijadikan buku. Beliau harus menggunakan biografi-biografi tradisional yang ditulis sarjana Islam dan sejarawan berabad selepas al-Farabi meninggal dunia. Ini disebabkan seperti disebut dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mula memperincikan al-Farabi susah hendak menemui biografi yang ditulis semasa al-Farabi masih hidup. 




Nota 4 dalam bab berkenaan pun dirujuk. Tersebutlah nama Ibn Ahmad al-Andalusi (hidup 1029-1070M dalam wilayah Sepanyol sekarang) sebagai antara ilmuwan silam yang telah menulis tentang al-Farabi. Menurut Osman, al-Andalusi adalah ulamak tentang sejarah dunia pemikiran (history of ideas). Beliau menulis kitab bertajuk Tabaqat al-umam yang membawa maksud kelas-kelas pelbagai ummah. 

Ini merujuk kepada ummah atau masyarakat daripada pelbagai zaman, bukan sahaja setelah Nabi Muhammad SAW dilahirkan 1,400 tahun lalu. Cetakan moden kitab ada dibuat di Najaf (Iraq) tahun 1967. al-Andalusi menulis tentang al-Farabi selain banyak perkara dalam kitab. Kata Osman pemikiran umat Islam dahulukala sangat universal. Mereka selalu mengkaji suatu perkara jauh melangkaui masa. Bila bercakap tentang sejarah misalnya mereka tidak akan terus bermula pada zaman mereka atau zaman Islam bermula. Sebaliknya mereka akan cuba menyorot sejauh mungkin ke belakang lalu bercakap tentang kejadian alam membawa kepada penciptaan manusia kemudian munculnya kerajaan-kerajaan.

Turut ada menulis tentang al-Farabi adalah Ibn Khallikan (1211-1282), Ibn Abi Usaibi'ah (1203-1270), al-Bayhaqi (994-1066) dan al-Qifti (1172-1248). Dua kitab al-Bayhaqi dirujuk iaitu Tarikh hukama al-Islam (cetakan moden dibuat di Damascus atau Damsyik di Syria 1946), Tatimmat suwan-hikmah (Lahore di Pakistan 1935). al-Qifti yang merupakan ulamak dari Mesir menulis dalam kitab bertajuk Tarikh al-hukama yang membawa maksud sejarah ahli hikmah (orang bijak pandai). Menariknya cetakan moden diterbitkan di Leipzig iaitu di Jerman pada tahun 1903. Osman pun memberitahu bahawa kota itu adalah tempat utama percetakan kitab-kitab bermutu ke dalam beberapa bahasa Eropah.

Terkeluar pula cerita tentang tokoh perubatan terkenal Ibn Sina (980-1037) yang hidup di Bukhara tetapi juga terkenal di Sepanyol (merujuk kepada Andalusia) pada zamannya. Kata beliau itu sesuatu yang hebat. Harus dibuat kajian bagaimana namanya boleh jadi begitu terkenal dan ilmunya tersebar meliputi jangkauan geografi yang begitu luas pada zaman yang tidak ada kemudahan telekomunikasi moden seperti sekarang .

Disebut pula tentang penyampaian ilmu dan dengan itu pentingnya bahasa. Disebut tentang makna, tentang perkataan boleh mengalami corruption itu rosak makna. Kata Osman antara banyak-banyak bahasa di dunia bahasa Arab adalah yang paling kurang mengalami kerosakan lalu dapat menyimpan makna-makna yang murni lagi asal. Kerosakan selalu berlaku di kota-kota. Bahasa adalah lebih murni di desa-desa dan dalam kes bahasa Arab orang Badwi membawa versi yang terbaik.

Disebabkan kemurnian bahasa Arab yang terpelihara maka kitab Al-Quran diturunkan dalam bahasa itu. Ah. Saya dah mula keliru melihat nota syarahan yang dibuat bertulisan tangan. Bukan keliru kerana tak faham tetapi kerana terlupa hendak menandakan pada peringkat atau ayat mana buku dikupas lalu dipanjangkan sehingga timbul pelbagai hal yang berkaitan. Kalau harus berkongsi semua jenuhlah saya menulis panjang lalu banyak perkara lain boleh jadi tersangkut atau tergantung. Maka eloklah masuk kepada ayat kedua perenggan kedua muka surat 10...



Ayat menyebut, untuk melengkapkan lagi kajian tentang hidup dan hasil kerja al-Farabi  terdapat tulisan beberapa sarjana moden boleh dirujuk. Nota berkenaan, nota 5 memberikan nama-nama berikut :- 


1. M. Steinscheneider dengan buku bertajuk al-Farabi, Des Arabischen Philosophen Leben und Schriffen (bahasa Jerman), diterbitkan di Saint Petersburg tahun 1869

2. I. (Ibrahim)  Madkour - "al-Farabi" dalam himpunan makalah A History of Muslim Philosophy diterbitkan di Wiesbaden 1963

3. R. Walzer - "al-Farabi" dalam Encyclopaedia of Islam edisi kedua, Leiden-London 1960 dan kemudian.

4. M. Mahdi - disebut op. cit. di sini. Maaf. Saya masih belum cukup faham kata-kata singkatan untuk rujukan akademik. Kalau tak salah yang ini merujuk kepada ensaiklopaedia sama seperti pada penama nombor 3.

5. A. Abd al-Wahid Wafi - "al-Farabi", Turath al-insaniyah, Mesir (tidak disebut tahun)


Semua sarjana yang disebut ini cuba memahami pelbagai aspek kehidupan al-Farabi sambil memperbaiki lagi biografi-biografi tradisional yang sudah disebut awal (tulisan al-Andalusi dan sebagainya). Ini dilakukan sejak pertengahan kedua abad ke-19 Masihi dan dalam proses itu mereka cuba menyelesaikan beberapa percanggahan pendapat yang wujud antara mereka. Mereka juga telah menambah maklumat-maklumat baru. Penulisan atau tesis Osman merancakkan lagi penggalian maklumat dan perkongsian ilmu.




Masuk subtopik dua dalam bab berkenaan iaitu bab 1 - Latar belakang pelajaran Al-Farabi dan kehidupan sebagai sarjana. Disebutlah nama penuh tokoh sebagai Abu Nasr Muhammad ibn Muhammad ibn Tarkhan ibn Awzalagh al-Farabi. Nota 6 menyebut sumber-sumber tradisi tidak sependapat tentang garis nasab al-Farabi. Namun Osman memilih penerangan oleh Ibn Khallikan yang diterima secara meluas oleh sarjana moden sebagai sahih. Apapun baik nama Tarkhan mahupun Awzalagh muncul dalam kebanyakan sumber. 

Sumber tradisi Islam lebih mengenali al-Farabi sebagai Abu Nasr. Beliau disebut sebagai wakil kedua menonjol daripada aliran atau mazhab pemikiran Mashshai (Peripatetic Islam) selepas al-Kindi (801-873M). Tentang apakah aliran ini rujuk artikel pertama dan pengenalan siri iaitu  Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan. Pemikir terkemuka moden Islam, Seyyed Hossein Nasr menyatakan ia sebagai satu sekolah saintis-falsafah (nota 7). 

al-Farabi dilahirkan di Wasij, sebuah kampung kecil dalam lingkungan daerah kota Farab di wilayah Transoxiana, Turkestan pada tahun 890M. Nota 8 menyatakan kebanyakan pengkaji baik tradisional mahupun moden meletakkan lokasi tersebut di kota moden Otrar, dalam kawasan Transoxiana. Namun ada seorang menyatakan tempat lahir al-Farabi itu merujuk kepada Fariyab di Khurasan. Tahun lahir disebut sebagai 257 Hijrah bersamaan 890 namun nota 9 menyatakan ia tidak dapat dipastikan dengan tepat sepenuhnya. Yang diketahui dan diterima ramai adalah tahun meninggal dunia di Damsyik 339H/950M pada umur melebihi 80 tahun. Tolak tahun tersebut dengan umur 80 tahun dapatlah anggaran tahun lahir.

Di sini saya terlihat satu kesilapan. 950M - 80 = 870M bukan 890M seperti disebut dalam teks.  339H - 80 = 259 H dijadikan 257 H masih boleh diterima kerana jangka hidup al-Farabi adalah melebih 80 tahun, bukan 80 tepat. Itupun 80 tahun itu harus dalam kiraan Hijriah. Maka ia akan jadi 77.5 (80 x 354/365.25) tahun Gregorian (kalendar Barat) kerana 1 tahun Hijriah mengandungi 354 hari, 1 tahun Gregorian 365.25.

Mungkin tahun lahir 890 Masihi itu kesilapan taip? Biar disemak begini. Jika jelas diterima ramai bahawa tahun meninggal dunia adalah 339H dan umur beliau lebih 80 (kalau daripada sumber tradisi ia harus dalam kiraan Hijriah), maka tahun lahir adalah paling lewat 339H - 80 = 259 H. Formula mudah menukar kepada Gregorian adalah (259 x 354 / 365.25) + 623 (peristiwa Hijrah dari Mekah ke Madinah dikatakan berlaku pada satu tarikh dalam tahun 622. Tapi saya tambah 1 tahun menjadi 623 kerana mendapati hasil kiraan lebih mendekati kebenaran). Hasil kira-kira tadi memberikan jawaban 874. Mengambil kira bahawa al-Farabi hidup selama lebih 80 tahun, bukan 80 tepat nombor ini boleh dibulatkan menjadi 870.

Sebetulnya tarikh lahir 870M ada disebut pada awal buku. Inilah yang diletakkan pada permulaan artikel ini seperti berikut - al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi). Apapun tempat lahir al-Farabi belum termasuk di dalam lingkungan kerajaan Islam tiga dekad sebelum kelahirannya itu. Oleh itu kemungkinan besar datuk beliau adalah seorang mualaf. Ini kerana wilayah Isbijab yang mengandungi Farab ditakluki dan diIslamkan oleh Nuh ibn Asad, seorang ahli keluarga Samanid, pada tahun 225H/839-840M. Ini merujuk kepada kerajaan Islam Samanid yang memerintah sebahagian besar Parsi dan Khurasan 819-99M sambil tetap menyatakan kesetiaan kepada kekhalifahan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad.



Perenggan kedua subtopik menyatakan sumber-sumber tertentu menyebut bapa al-Farabi sebagai berketurunan bangsawan Parsi namun keluarganya secara umum dianggap berbangsa Turki. Mereka tidak sahaja tahu berbahasa Sogdian atau suatu dialek Turki, adab dan budaya kebiasaan mereka juga adalah menurut cara Turki. Nota 10 menyebut hal ini dinyatakan oleh M. Mahdi. Seorang pengkaji lain, D.M. Dunlop menekankan bahawa ia harus satu keluarga yang terhormat jika tidak pun kaya. Nota 10 menyebut ini dinyatakan Dunlop dalam bukunya, Arab Civilization up to 1500 AD (Beirut, London, 1971).

Pandangan beliau dibuat berdasarkan nama datuk al-Farabi adalah Tarkhan. Dalam bahasa Turki ia bukan sahaja menandakan kedudukan sebagai pegawai tentera malah terkait juga dengan kelebihan-kelebihan tertentu bangsawan. Kalau ini benar keluarga ini harus ada tradisi cemerlang turun temurun menjadi tentera (sambung ke muka surat sebelah iaitu muka surat 11). Maka al-Farabi yang diberi kepintaran tinggi semulajadi telah meninggalkan tradisi tersebut untuk memilih kehidupan sarjana. Ayah beliau juga seorang pegawai tentera seperti disebut oleh Ibn Abi Usaibi'ah.




Kemungkinan besar ayah al-Farabi berkhidmat dengan para pemerintah Samanid yang pada ketika itu mentadbir sebahagian besar Transoxiana. Bermula tahun 260H/874M mereka mentadbir seluruh wilayah secara otonomi sebagai sebahagian daripada kekhalifahan Abbasiyah. R. Walzer berpendapat ayahnya itu mungkin termasuk pengawal peribadi Turki bagi khalifah. Tetapi Osman merasakan tiada sebab untuk menerima pendapat tersebut. Ini kerana kalau ia benar tentu al-Farabi menghabiskan usia awalnya di Baghdad kerana mengikut bapanya berkhidmat. 

Cadangan Walzer menimbulkan lebih banyak tanda tanya berbanding jawaban dan penyelesaian. Kata Osman apa-apa laporan tentang kehidupan awal al-Farabi yang didapati bercanggah boleh diselesaikan dengan meneliti manakah yang paling konsisten atau selari dengan kehidupan beliau secara keseluruhan...


Syarahan ditamatkan dengan meneliti nota-nota berkenaan pada muka surat 31 membawa ke muka surat 32. Sudah disebut awal tadi bagaimana nota 4 menyenaraikan nama beberapa ulamak silam Islam yang ada menulis tentang al-Farabi. Sekarang biar ditambah bahawa semua rujukan berkenaan yang digunakan Osman boleh didapati dalam satu buku ataupun kitab. Rujukan yang asalnya berselerak itu telah dikumpulkan oleh H.A. Mahfuz, seorang profesor kajian Oriental di Universiti Baghdad dalam buku bertajuk al-Farabi fi'l-maraje al-arabiyah (Baghdad, 1975). Osman telah mengkajinya dalam bahasa Arab.

Disebut juga lagi tentang pengkaji-pengkaji moden yang ada menulis tentang al-Farabi. Saya sudah sebut awal tadi lalu tidak perlu diulang. Beberapa hal lagi dipanjangkan daripada nota. Tetapi cukuplah perkongsian. Saya telah menulis sejak Zuhur tadi sambil diselang-selikan beberapa hal seperti mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah dan mengaji Al-Quran.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan