Khamis, September 21, 2017

Seminar 120 tahun Majlis Raja-raja Melayu - Memperkatakan Perkara 38 perlembagaan

Meneruskan gerak penceritaan sebelum  1 Muharram yang dimulakan dengan artikel Mengangkat ilmu persilatan menjadi bahan rujukan dan diskusi akademik negara pagi tadi. Pergi kita pada satu majlis lain ilmu yang berlangsung di tempat sama tetapi lebih baru iaitu pada 2 hari lepas.


Tidak lama selepas berlangsungnya wacana silat  oleh ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) saya diberitahu tentang satu majlis lain di lokasi sama yang mahu diadakan 6 hari kemudian. Ditunjukkan di sini poster tentang majlis berserta atur cara yang diwar-warkan melalui media sosial :-


------------------


SEMINAR 120 TAHUN MAJLIS RAJA-RAJA MELAYU 

19 September 2017 (Selasa) 
8.00 pagi - 4.30 petang 
Bilik Senat, Aras 5, UKM BANGI, Selangor 

8.00 pagi: Pendaftaran 
8.30 pagi: Lagu Negaraku, Bacaan Doa 

Ucapan Aluan oleh: 
YBhg. Tan Sri Omar Mohd Hashim 
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) 

Ucap Perasmian: 
YBhg. Prof Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali 
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia 

Minum Pagi 

9.30 pagi: Pembentangan Ucap Utama : 

YAB Tun Abdul Hamid Haji Mohamed 
Mantan Ketua Hakim Negara 
Tajuk: Kedudukan Majlis Raja-Raja dalam sebuah negara di Malaysia 
Moderator: YBhg Dato’ Jumat Dato Mohd Nor 
Persatuan Sejarah Malaysia 

11.00-12.45 tgh : Sesi Pembentangan 

1. YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria 
Universiti Malaya (UM) 
Tajuk: Institusi Raja Melayu dalam Lipatan Sejarah Malaysia: Penerusan dan Perubahan 

2. YBhg. Prof Madya Dr. Sham Rahayu 
Universiti Islam Antarabangsa (UIA) 
Tajuk: Peranan Majlis Raja Raja mengikut Perlembagaan Persekutuan 

3. YBhg. Prof. Susanto Zuhdi 
Universitas Indonesia (UI) 
Tajuk: Kerajaan Di Maluku Utara dan Negara Bangsa Suatu Perspektif 

Moderator : YBhg. Prof. Dr. Mohd Fuad Bin Mat Jali 
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) 

12.45-2.00 ptg: Rehat/Makan 

2.00- 4.00 ptg: Sesi Pembentangan 2 

1. YBhg. Dato’ Dr. Abdul Monir Yaacob 
Head of Administration Council of Islamic University Malaysia (UIM) 
Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya 
Tajuk: Institusi Raja di Tanah Melayu 

2. YBhg. Prof. Madya Dr. Mohd Bin Samsudin 
Pengarah Muzium Warisan Akademik, UKM / Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) 
Tajuk: Cabaran Institusi Raja-Raja Melayu dalam Zaman Pentadbiran British 

3. YBhg. Dato Haji Wan Abdul Wahid Bin Haji Wan Hassan 
Dato Seri Orang kaya Indera Pahlawan Negeri Pahang/ Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Pahang 
Tajuk: Peranan Sultan dan Raja Dalam Majlis Raja Raja Melayu 

Moderator: YBhg. Prof. Supyan Hussin 
Pengarah Institut Tamadun Alam Melayu (ATMA) 

4.00 ptg: Resolusi dan Sesi Perbincangan 
4.30 ptg: Minum petang & Bersurai

Untuk pertanyaan dan pendaftaran sila hubungi rusetia :

Emel: nurhananiyahya@ukm.edu.my / marinasofea@ukm.edu.my
No telefon: 03-8921 4233/3136/5916 atau 012 344 4886
Faks: 03-8921 3587


Majlis berupa seminar memakan masa satu hari penuh. Kelihatan begitu banyak perkara mahu dikongsikan tentang fungsi raja-raja Melayu. Isteri  sanggup mengambil cuti untuk mengikuti pembentangan sampai habis. Sampai masanya kami pun bergegas ke lokasi hampir 80 km dari rumah.


Terserempak dengan 3 orang ahli Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) cawangan Selangor lalu kami masuk ke bilik majlis bersama. Kami selalu bersua di majlis-majlis ilmu terutama yang melibatkan PSM sebagai penganjur atau  penganjur bersama. Suka saya untuk memberitahu bahawa salah seorang daripada mereka ini adalah cucu kepada Sultan ke-5 Selangor, Sultan Alaeddin Sulaiman Syah. Bapanya adik beradik dengan sultan seterusnya, Sultan Hisamuddin Alam Shah. Sultan Selangor sekarang, Sultan Idris Sharafuddin ibni Sultan Salahuddin ibni Sultan Hisamuddin adalah anak saudara beliau.

Suka saya menyebut hal ini kerana seminar adalah tentang raja-raja Melayu dan beliau tahu banyak cerita belakang tabir melibatkan istana Selangor. Lebih suka saya menyebutnya kerana mengenali beliau yang hampir sebaya ayahanda saya sebagai orang yang sangat merendah diri, tidak pernah berbangga apa lagi menyombong dengan nasab keturunannya. Bandingkan ini dengan sejumlah orang yang dijumpai di luar. Mereka-mereka ini sangat berbangga dengan keturunan walaupun sudah jauh dari istana... itupun kalau betul keturunan raja... entah-entah keturunan tukang kebun atau tukang masak istana sahaja. 

Pun begitu, berbangga dengan keturunan itu pada saya tidaklah menjadi hal sangat... saya sendiri bangga dengan nasab keturunan bangsawan belah ibu dan ayah. Yang menjadi masalah apabila mereka-mereka ini merasakan diri layak menaiki takhta lalu sering memberikan gambaran tentang 'hak' mereka kepada orang lain. Disebabkan wujud orang-orang sebeginilah boleh jatuh fitnah bahawa saya giat melaksanakan aktiviti terutama melalui HIKMAH (rujuk blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)) kerana berhajat ke atas takhta sebuah negeri. Kononnya saya menganjurkan majlis demi majlis untuk mengumpul pengikut dan pengaruh. Walhal orang lain yang sering berbuat begitu... saya pula yang kena...


Ah. saya sudah terlencong berkata-kata. Tetapi begitulah cara saya menulis, meluahkan perasan yang timbul akibat dicetus suatu perkara supaya dapat dikeluarkan ayat seterusnya yang lebih relevan dengan majlis dan perkara. Ketika kami masuk ke bilik rupa-rupanya baru habis sesi pembukaan seminar. PSM adalah penganjur bersama lalu pengerusinya Tan Sri Omar Hashim telah selesai memberikan ucapan aluan diikuti ucapan perasmian oleh naib canselor UKM Profesor Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali.


Hadirin pun diminta turun ke tingkat 2 untuk menikmati sarapan pagi. Isteri saya selesai dahulu sarapan lalu saya meminta beliau naik mendapatkan tempat duduk di bilik seminar untuk sesi seterusnya. Selepas menyelesaikan satu urusan saya masuk balik ke dewan makan kerana haus nak minum. Terjumpa Puan Zaharah Sulaiman yang terkenal dengan kajiannya berkenaan Melayu lalu kami berbual-bual. Tidak lama kemudian muncul pula Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria dari Universiti Malaya (UM) lalu kami berbual panjang. Ikut atur cara, Abdullah adalah pembentang pertama sesi perkongsian ilmu waktu pagi.


Cuma sesi dijadualkan bermula jam 11, masih belum masanya. Yang sedang berjalan ketika itu adalah ucaptama bertajuk "Kedudukan Majlis Raja-Raja dalam sebuah negara di Malaysia" oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamed dengan Dato’ Jumat Mohd Nor dari PSM menjadi moderator. Disebabkan berbual panjang dengan Prof Abdullah saya terlepas ucaptama. Ketika sampai ke bilik seminar ia baru sahaja selesai.


Yang sempat dilihat adalah isteri saya sedang berdiri bersama barisan kehormat di hadapan bilik. Selepas itu beliau mengiringi Tun Abdul Hamid keluar meninggalkan majlis bersama isterinya. Rupa-rupanya isteri saya itu mendapat tempat duduk berdekatan pentas. Apabila ucaptama tamat beliau meminta untuk bergambar dengan isteri Tun Hamid lalu diajak bergambar sekali dengan Tun. Selepas itu pula pihak PSM meminta isteri mengiringi tetamu kehormat pergi...


Selepas Tun meninggalkan dewan saya mengambil tempat duduk di hadapan berdekatan dengan isteri. Ketika gambar ini diambil sudah jam 11.12. Sesi pembentangan ilmu akan bermula bila-bila masa...


Walaupun tidak sempat mendengar ucaptama oleh Tun Hamid saya dapat mengikutinya melalui teks ucapan yang diberikan oleh UKM. Isinya agak teknikal kerana melibatkan huraian dan tafsiran terhadap beberapa perkara dalam perlembagaan negara atau Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Paling ditekankan adalah Perkara 38 iaitu satu-satunya perkara daripada 183 Perkara yang ada berserta 13 Jadual memberi peruntukan kepada Majlis Raja-raja. Perkara ini menetapkan bidang kuasa dan tugas serta fungsi majlis raja-raja dengan huraian disertakan melalui Jadual berkenaan.

Terkaitlah ia dengan beberapa Perkara lain, antaranya Perkara 152 yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga Perkara 159 di mana undang-undang dalam hal-hal tertentu tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-raja. Perkara 38 adalah perkara pokok yang memberikan legitimasi atau keabsahan bagi kewujudan majlis. Fasal 2 perkara menetapkan antara fungsi utama mereka adalah memilih Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan