Khamis, September 21, 2017

Seminar 120 tahun Majlis Raja-raja Melayu - Sumbangan raja-raja dalam sosio-politik negara dan undang-undang berkenaan

Masuk pada sesi pembentangan ilmu pagi. Bersambung daripada artikel Seminar 120 tahun Majlis Raja-raja Melayu - Memperkatakan Perkara 38 perlembagaan.


Sesi dibuka sekitar jam 11.12 (waktu pada kamera saya) dengan kata-kata pengenalan oleh moderator sesi, Profesor Dr. Mohd Fuad Mat Jali, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Jam 11.18 pembentang pertama, Dato' Wan Abdul Wahid bin Wan Hassan, pemegang jawatan pembesar istana Dato Seri Orang Kaya Indera Pahlawan Negeri Pahang memulakan bicara. Beliau yang juga merupakan/ Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Pahang membawa tajuk "Peranan Sultan dan Raja Dalam Majlis Raja Raja Melayu".


Menurut atur cara beliau adalah pembentang terakhir keseluruhan seminar. Sesi sepatutnya dibuka oleh  Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria dari Universiti Malaya (UM). Namun atas sebab tertentu mereka telah bersetuju untuk bertukar giliran. Wan Wahid memberikan latar belakang tajuk dengan membacakan teks dalam komputer riba.


Teks sama turut dipaparkan ke skrin atau layar yang ditonton umum. Kami boleh melihat teks discroll (saya tahu apa terjemahan perkataan scroll dalam bahasa Melayu) sambil beliau membaca bahagian-bahagian tertentu kemudian menambah apa yang patut secara spontan.


Sejarah penubuhan Majlis Raja-raja Melayu, juga dikenali sebagai Durbar (perkataan Urdu-Parsi yang dipilih British membawa makna pertemuan) yang bermula tahun 1897 dihuraikan berserta peranan. Secara rata beliau hendak menyatakan bahawa raja-raja Melayu sangat berperanan dalam membentuk keadaan sosio-politik negara juga menerbitkan perlembagaan. Tanpa pandangan dan maklum balas daripada mereka mungkin keadaan kita akan lebih parah berkiblatkan Barat kerana itulah yang dikehendaki kuasa penjajah. Tanpa desakan raja-raja tidak akan ada keistimewaan orang Melayu juga kedudukan tinggi Islam diperuntukkan dalam perlembagaan.






Ditunjukkan struktur pemerintahan negara berserta nombor-nombor Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memberikan peruntukan berkenaan.


Tugas-tugas Majlis Raja-raja yang diperuntukkan pun diceritakan diikuti gambar-gambar dan rajah yang berkenaan dengan pembentukan majlis. Disorot sejarah pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang kemudian digabungkan dengan Negeri-negeri Tidak Bersekutu dan sebagainya sehinggalah terbentuk Malaysia yang kita kenali hari ini. 









Pembentang kedua Profesor Madya Dr. Sham Rahayu dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kemudian membawa tajuk "Peranan Majlis Raja Raja mengikut Perlembagaan Persekutuan". 


Bercakap tanpa bantuan slaid beliau menerangkan isi kertas kerja berkenaan yang telah diterima oleh sejumlah hadirin. Oleh kerana tetamu kehormat, Tun Abdul Hamid Mohamed iaitu mantan Ketua Hakim Negara telah menyentuh tentang Perkara 38 perlembagaan pada ucaptama beliau (rujuk Seminar 120 tahun Majlis Raja-raja Melayu - Memperkatakan Perkara 38 perlembagaan) Sham Rahayu memulakan dengan itu. Daripada satu-satunya perkara yang jelas menyokong kewujudan Majlis Raja-raja Melayu itu baru dipanjangkan tentang bidang kuasa dan had menurut konsep raja berpelembagaan yang dijalankan seiring dengan sistem demokrasi berparlimen Malaysia. 


Pembentang ketiga, Profesor Susanto Zuhdi dari Universitas Indonesia (UI) d Jakarta kelihatan keluar daripada tema pokok seminar apabila naik ke pentas membawa tajuk "Kerajaan Banggai dan Pemekaran Wilayah Dalam Perspektif Sejarah Maritim". 


Kalau ikut atur cara awal yang saya terima seminggu lalu tajuk yang mahu dibawanya adalah "Kerajaan Di Maluku Utara dan Negara Bangsa Suatu Perspektif". Ia kedengaran tetap terkeluar daripada tema seminar. Kami para hadirin pun menunggu apakah ada keterkaitan mahu diperkatakan...


Menariknya buat pertama saya dapat tahu tentang kewujudan sebuah kerajaan maritim di Sulawesi yang dipanggil Banggai.





Sejarah dan asal-usul kerajaan diketengahkan. Oleh kerana ia melibatkan cerita raja-raja maka ada le juga sedikit kaitan dengan tema utama seminar iaitu Majlis Raja-raja Melayu...























Paling menarik perhatian ramai adalah perkongsian tentang adat menghantar telur sejenis burung ke istana,


Burung ini katanya besar sedikit sahaja daripada ayam biasa. Namun setiap telurnya 6-7 kali ganda besar telur ayam menyebabkan ia pengsan setiap kali bertelur!









Ini adalah gambar saya ketika sesi soal jawab, diambil oleh pembantu Prof Susanto, seorang bergelar Dr (PhD) yang duduk di sebelah saya. Tiga orang hadirin sempat bersuara, yang pertama menyatakan rasa tidak puas hati kenapa tajuk seminar menyebut 120 tahun Majlis Raja-raja Melayu sedangkan raja-raja Melayu sudah wujud sejak ratusan malah ribuan tahun yang lampau. Hadirin kedua pula meminta penjelasan siapakah yang boleh mengisytiharkan darurat. Ini dijawab dengan menyatakan peruntukan dalam perlembagaan yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong berbuat begitu jika ada alasan yang difikirkan patut. 

Saya mengambil peluang untuk berkongsi tentang apa yang diberitahu oleh kawan-kawan yang mengambil jurusan perundangan di United Kingdom bahawa di sana tidak wujud perlembagaan bertulis kerana perlembagaan difahami menurut konvesyen atau kebiasaan berlatarbelakangkan sejarah hubungan raja dan rakyat di England sejak ratusan tahun. Undang-undang di Malaysia rata-rata mengikut model sana jadi kenapa kita dipaksa agar memiliki perlembagaan bertulis? Pada saya ia adalah alasan untuk mengekang kuasa raja-raja atas slogan kuasa rakyat untuk semua. Penjelasan yang saya terima berbunyi lebih kurang begini : Absolute power absolutely corrupts - Kuasa mutlak menyebabkan korupsi atau penyalahgunaan kuasa berlaku secara mutlak. 

Mahu sahaja saya bersyarah tentang konsep raja berdasarkan tingkatan nafsu dalam ilmu Tasawuf yang meletakkan seorang raja sejati lain langsung cara pemikiran dan motivasinya berbanding rakyat biasa lalu tidak akan sesekali menyalahgunakan kuasa. Tapi itu kalau raja-raja sejati le, bukan raja yang tingkatan nafsunya sama sahaja dengan rakyat. Tapi masa tidak mengizinkan dan saya fikir susah untuk orang ramai menerima tanpa penerangan sesuai dengan segala macam latar belakang sejarah yang boleh memakan masa berjam-jam. Maka cukuplah tentang sesi pagi seminar. Selepas ini masih ada cerita sesi petang untuk dikongsikan, harap-harap sempat sebelum Maghrib... 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan