Khamis, September 21, 2017

Mengangkat ilmu persilatan menjadi bahan rujukan dan diskusi akademik negara

Salam pagi Khamis 30 Zulhijjah, hari terakhir tahun 1438 Hijriah. Ada beberapa cerita mahu dikongsikan sebelum tahun baru Islam atau Ma'al Hijrah menjelang masuk waktu Maghrib kurang 10 jam lagi daripada sekarang. Saya mulakan dengan ya ini dahulu. Ia adalah cerita berkenaan perkembangan dunia silat tanah air yang boleh dikira menyambung mood penulisan artikel Apabila kawan-kawan persilatan bergerak ke hadapan dalam dunia seni lakonan... 3-4 hari lalu.



Sekitar 2 minggu lepas saya diberitahu tentang satu majlis ilmu melibatkan silat mahu diadakan di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM), Bangi. Dilaksanakan dalam bentuk wacana saya difahamkan ia adalah julungkali ilmu persilatan mahu dibincangkan secara ilmiah di mana-mana universiti atau menara gading/institusi pengajian tinggi di Malaysia. Berikut dikongsikan penerangan berkenaan majlis daripada pihak ATMA...


--------------


Sinopsis

Seni Silat Melayu adalah salah satu perlambangan Akal Budi Melayu yang di dalamnya mencerminkan falsafah, pemikiran, perlakuan, emosi dan gaya hidup orang Melayu di Nusantara. Seni Silat Melayu mempunyai asas ilmunya yang tersendiri digabungkan dalam lima aspek iaitu fizikal, mental, emosi, spiritual dan sosial yang perlu diselami dan dikupas secara ilmiah agar ilmu Seni Silat Melayu dapat dihargai dan menjadi relevan sepanjang zaman. Kelompangan dalam dokumentasi Seni Silat Melayu menyukarkan para penyelidik dan peminat silat menjalankan penyelidikan. mengenai Seni Silat Melayu.

Wacana ini bertujuan menghimpunkan organisasi Silat Melayu untuk berkongsi maklumat dan ilmu mengenai falsafah dan sejarah organisasi dan silat mereka dan berbincang secara ilmiah akan seni dalam pergerakan silat yang dimanifestasikan dalam bunga silat, buah silat, dan pelbagai teknik dalam mengelak, menepis, menangkis, mengunci, mematah, dan melumpuhkan musuh. Wacana ini juga akan memfokus kepada aspek akhlak dan produktiviti pesilat dalam proses pembangunan modal insan dan jati diri negara bangsa.

Wacana ATMA Seni Silat Melayu ini akan dijalankan secara bersiri selama 3 tahun dan menjemput sebanyak mungkin organisasi Silat di Malaysia, disusuli dengan organisasi Silat dari Indonesia, Singapura, Brunei dan Selatan Thai yang merupakan Rumpun Melayu di atas pentas Sunda. 

Adalah dharapkan keberhasilan wacana ini akan dapat dijelmakan dalam bentuk dokumentasi yang terdiri daripada teks, foto, audio dan video yang akan dimuatkan dalam pangkalan data di dalam Portal Pengajian Alam yang boleh dicapai di malaycivilization.com.my untuk tujuan rujukan dan aktiviti penyelidikan sebagaimana yang digariskan dalam perancangan strategi ATMA yang beriltizam menjadi pusat rujukan tersohor dalam pengajian Alam Melayu di dunia ini.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my

Pra pendaftaran: https://goo.gl/forms/z5Ihcd3sJNhUm83s2




Sayangnya apabila sampai masanya pagi Rabu 13 September saya tidak dapat hadir kerana kurang sihat dan tidak berkelapangan. Nasib baik ada Facebook ATMA (klik sini) boleh dijadikan rujukan. Dapatlah sedikit sebanyak mengikuti apa yang berlaku juga mendapatkan gambar-gambar...


Selepas pengenalan oleh pengarah  ATMA, Profesor Dr. Supyan Hussin ahli panel pertama Dato'(Dr) Engku Ansaruddin Agus pun bercerita panjang lebar tentang sejarah dan asal usul juga falsafah silat. Terkenal sebagai seorang ahli perubatan Islam yang gigih menangani masalah serangan sihir beliau bercakap berdasarkan pengalaman berkecimpung dalam dunia persilatan sejak berumur 9 tahun menuntut di bawah 20 orang guru daripada lain-lain aliran. Ditunjukkan dalam gambar ini ahli panel kedua, guru Ruzaidi Abdul Rahman sedang membuat demonstrasi. Pernah memenangi kejuaraan silat sedunia buat beberapa kali beliau kemudian lebih terkenal sebagai antara berapa kerat pelakon tanah air yang betul-betul mahir dalam ilmu persilatan.


Dengan Ruzaidi atau lebih dikenali sebagai Wak Didi ni saya dah agak biasa sejak mengenali beliau pada sesi rakaman Akademi Silat Pendekar Muda di mana beliau menjadi pengetua. Lihat artikel-artikel lama berikut :-



2. Membawa Daulah Melayu dan HIKMAH ke Akademi Silat

3, Siaran langsung episod akhir Akademi Silat Pendekar Muda - Gegaran para pesilat dan aktivis busana Melayu

4. Siaran langsung episod akhir Akademi Silat Pendekar Muda - Ganjaran RM100,000 memilih tuan

5. Siaran langsung episod akhir Akademi Silat Pendekar Muda - Suasana pesta berterusan ke tengah malam


Tentang Engku Ansaruddin yang mesra disapa sebagai Pak Engku saya mula tertanya-tanya siapakah hamba Allah ini. Bila dah lihat muka dan gaya cakap (nanti diberitahu bagaimana saya melihatnya) juga Google nama baru perasan ada juga beberapa kali pernah terlihat muka beliau muncul dalam kaca televisyen. Rupa-rupanya bukan sahaja itu. Kemahiran dan pengetahuan beliau dalam silat diakui tinggi sehingga Wak Didi sendiri pun pernah menjadi seorang anak murid beliau.





Kelihatan dalam gambar Prof Supyan bersalam dengan budayawan terkenal Dr Ibrahim Ghaffar. Saya pun tak pasti siapa bagi siapa barangan seperti cenderahati yang kelihatan dalam gambar. Untuk makluman Ibrahim adalah antara sedikit pesilat yang diketahui memiliki nama dan kedudukan dalam dunia akademik dan intelektual. Namun ini tidak bermakna tidak ada ahli akademik lain yang pandai bersilat seperti beliau. Saya tahu ramai yang sekurang-kurangnya pernah belajar silat semasa zaman muda terutama mereka yang membesar di kampung. Cuma mungkin tidak lagi aktif atau tidak mahu menonjolkan diri dalam dunia persilatan kerana lebih giat dan mahu dikenali dalam bidang-bidang lain.


Bergambar beramai-ramai. Kelihatan Pak Engku Ansaruddin memakai baju ungu berdiri antara Supyan dan Ibrahim.


Melihat pada sikap dan cara berdiri Supyan saya percaya beliau harus sekurang-kurangnya memiliki asas dalam langkah pergerakan silat. Perkara-perkara yang diutarakan dalam pembukaan wacana juga menjurus ke arah telahan itu. Ini disokong oleh perkongsian ilmu Pak Engku yang mengajak para pesilat supaya bergerak melepasi tahap zahir persilatan yang lebih suka menonjolkan kekuatan dan kelincahan fizikal beralih ke arah dimensi yang lebih intelektual juga spiritual untuk menggapai keredhaan Ilahi. Lihat rakaman video wacana yang diambil daripada FB ATMA...



OK. Adapun rakaman daripada ATMA ni sebenarnya adalah separuh daripada isi wacana. Untuk rakaman penuh tetapi diambil daripada sudut yang sedikit jauh lihat video bawah...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan