Ahad, Februari 19, 2017

Penganugerahan Felo Persatuan Sejarah Malaysia tahun 2017

Ini pula adalah daripada siang tadi.


Pagi Sabtu 18 Februari 2017 saya pergi ke bangunan Wisma Sejarah di Kuala Lumpur untuk satu majlis.


Ia adalah majlis penganugerahan Felo Persatuan Sejarah Malaysia untuk tahun 2017. Gelaran ini diberikan kepada mereka yang sudah berjasa besar dalam melestarikan ilmu sejarah atau kecintaan terhadap ilmu sejarah di tanah air kita.


Untuk pengetahuan PSM ialah persatuan induk dan paling utama menggabungkan para pengkaji juga pencinta sejarah di Malaysia baik daripada dunia akademik mahupun kesusteraan dan budaya.


Ramai ahli-ahli utamanya adalah mereka yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kementerian dan badan-badan kerajaan juga ahli akademik berwibawa.


Melalui buku cenderamata majlis saya dapat tahu anugerah ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 1989. Penerimanya adalah Tun Hamdan Sheikh Tahir, penyandang jawatan  Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang 1989-2001. Anugerah felo ini cuma dikeluarkan lagi pada tahun 2007. Penerimanya ketika itu adalah Tan Sri Omar Hashim, pengerusi jawatankuasa eksekutif PSM sejak beberapa lama (masih menyandang jawatan). Tahun 2008 menyaksikan 3 orang menerima anugerah felo, 2009 ada 2 orang begitu juga pada 2010. Tahun 2011, 2012 dan 2014 menyaksikan 3 orang menerima anugerah bagi setiap tahun tersebut. Tidak ada penerima pada tahun 2013. 

Selepas itu tiada anugerah dikeluarkan sehinggalah berlangsung majlis terbaru hari Sabtu. Tak payah diperincikan nama setiap penerima ya. Cukuplah diberitahu sebelum majlis semalam ada 18 penerima Felo PSM kesemuanya sejak ia diperkenalkan tahun 1989 iaitu 28 tahun lalu. Majlis terbaru menyaksikan 2 orang lagi penerima.


Saya datang ke majlis kerana diajak oleh Dato' Dr Othman Yatim (Prof Othman) supaya datang bersama. Saya merasa terpanggil kerana beliau mahu berbusana tradisional Melayu sedangkan saya menjangkakan tiada hadiran lain akan berbuat begitu. 


Sebagai seorang aktivis yang mahu mengangkat pemakaian busana tradisional Melayu ke peringkat lebih tinggi saya rasa harus hadir menunjukkan sokongan. Lagipun baju yang dipakai Othman baru sahaja ditempah daripada isteri saya khas untuk dipakai pada majlis. Rujuk artikel Busana Bona Fida di Sarang Art Hub dan majlis Persatuan Sejarah Malaysia di blogspot BONA FIDA. Othman yang merupakan seorang penerima Felo PSM tahun 2014 datang untuk bercerita tentang Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia bagi tahun 1972-1991 iaitu allahyarham Dato' Shahrum Yop. Ini kerana Othman pernah berkhidmat di bawah allahyarham pada tahun 80an. 


Kelihatan dalam gambar ini seorang anak allayarham memberikan sedikit kata-kata tentang bapanya. Ibunya yang merupakan seorang wanita Caucasian (Mat Saleh) berasal dari England turut berada dalam majlis. Allayarham baru meninggal dunia sekitar 2 bulan lalu. Ketika itu beliau sudah berumur hampir 83 tahun.


Seorang lagi penerimah anugerah Felo PSM tahun 2017 adalah tuan haji Md. Isa Zakaria. Beliau yang berumur hampir 71 tahun pernah memegang pelbagai jawatan dalam dunia pendidikan selain pernah menjadi setiausaha kehormat PSM. Alhamdulillah Isa dapat hadir memberikan sendiri sedikit kata-kata terutama tentang pengalaman beliau bersama PSM.

Selepas itu diadakan sesi penganugerahan apa yang dipanggil sebagai "Anugerah Pingat Emas" Persatuan Sejarah Malaysia. Ini adalah untuk para pelajar terbaik kursus sejarah daripada 5 buah universiti tempatan - Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sabah Malaysia (UMS).


Beginilah Prof Othman berpakaian semalam. Seingat saya beliau mula rajin berbusana tradisional Melayu semenjak setengah tahun lepas. Ini disebabkan kedudukan beliau sebagai penasihat PENGUKIR, satu persatuan untuk para pengukir kayu Malaysia. Semenjak mengadakan satu majlis berkaitan mereka rajin memakai begini ke tempat umum lalu Othman merasa selesa untuk turut bersama mereka berpakaian begini selalu.

Untuk makluman pengembaraan pertama saya tahun 2017 iaitu ke selatan Thailand juga ke utara Semenanjung 12-21 Januari adalah disebabkan penyertaan dalam majlis yang melibatkan Othman juga PENGUKIR. Rujuk artikel Misi jejak Aceh-Langkasuka : Forum Batu Aceh di Patani, asbab utama perjalanan dibuat. Setahu saya mereka mungkin kumpulan pertama di Malaysia rajin berpakaian begini tanpa mengatasnamakan gerakan silat atau aktiviti-aktiviti fizikal yang berkaitan. Sebaliknya mereka adalah pakar dalam satu bidang seni halus yang pada saya menghampiri ciri-ciri keintelektualan kebanggaan orang Melayu lama.


Semoga lebih ramai cerdik pandai kita sanggup berbusana tradisional Melayu di khalayak ramai tanpa merasa changgung ataupun segan. Semoga pemakaian sebegini tidak hanya dikatakan mahu pergi berkahwin atau membuat persembahan silat, seolah-olah itu sahaja yang mampu dibuat oleh mereka yang sayangkan budaya sehingga sanggup menzahirkan itu pada penampilan mereka secara istiqamah selagi ada kesempatan. Secara peribadi saya bergerak berpakaian begini dalam lingkungan dunia akademik dan institusi-institusi berkaitan untuk menghapuskan stigma buruk yang saya lihat terpapar pada sesetengah orang yang merasakan diri mereka terpelajar. Pada pengamatan saya, mereka ini menyangkakan orang yang suka berpakaian begini cuma orang yang kekampungan, cuma tahu bertempur secara fizikal, tidak mampu bertempur dalam dunia akal fikiran.

Kelihatan dalam gambar saya dan Othman mengapit dua orang kawan. Yang di sebelah Prof itu adalah tokoh budayawan Pahang, Dato' Aripin Said. Saya tahu di luar sana ada ramai yang mahu berbusana tradisional Melayu tapi risau jika cara pemakaian mereka boleh melanggar protokol istana. Pada saya lebih elok cuba pakai sambil membuat pembetulan daripada tak pakai-pakai akibat takut tersalah pakai. 

Sesungguhnya apa yang kita anggap salah berdasarkan teks-teks lama mahupun protokol istana yang kita tahu boleh sahaja berubah mengikut peredaran zaman. Misalnya saya pernah dengar seorang pengkaji yang dianggap hebat dalam dunia busana tradisional Melayu menyatakan kepada umum bahawa rakyat biasa tak boleh pakai songket, cuma kerabat diraja dan bangsawan sahaja yang boleh, Pada saya ini adalah kenyataan yang jumud. Zaman sekarang dah mudah nak dapatkan songket. Tapi tetap berbeza songket biasa yang mampu dibeli golongan marhain dengan songket berkualiti tinggi yang cuma mampu dibeli orang berduit. Cukup...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan