Selasa, November 15, 2016

Kali ke-3 ke Kelantan dalam tempoh 2 bulan - Merenung pelbagai perkara sepanjang perjalanan

Sampai masanya untuk bercerita tentang perjalanan yang dibuat ke Kelantan 10-13 Oktober, perjalanan ke-3 saya ke sana dalam tempoh 2 bulan. Tentang 2 perjalanan terdahulu boleh rujuk melalui artikel Beruzlah ke Pantai Timur - Memantapkan Tauhid dan Syahadah? diikuti Beruzlah ke Pantai Timur lagi - 10 Muharram, ilmu keris dan perjuangan kedaulatan Melayu Islam.


Petang Sabtu 29 Oktober 2016 saya bertolak lagi ke Kelantan untuk menimba ilmu di sana.


Pada perjalanan pertama dalam tempoh 2 bulan iaitu pada 30 Ogos hingga 5 September saya pergi dengan menaiki kereta kawan. Bila kembali melalui Terengganu baru memandu kereta sendiri yang dibawa ke Kuala Terengganu oleh isteri untuk menghadiri satu majlis. Lihat Beruzlah ke Pantai Timur - Hol almarhum Tokku Paloh dan Syahadah Tokku.


Pada perjalanan kedua 29 Oktober hingga 1 November, saya pergi balik Kelantan dengan menaiki kapal terbang. Asalnya perjalanan mahu dibuat dengan memandu sendirian. Tetapi muncul rentetan peristiwa yang menyaksikan perjalanan saya 'dipaksa' mengambil pesawat. Lihat Beruzlah ke Pantai Timur lagi - Dimudahkan segala urusan untuk sampai....



Kali ini saya pergi bersama isteri dan anak-anak. Perjalanan dibuat kerana harus mengambil kembali satu barangan milik saya di sana.


Barangan tersebut ditinggalkan atas permintaan Sheikh yang memimpin sekolah pondok sana. Ini berlaku dalam perjalanan kedua untuk menuntut ilmu tetapi hal tersebut tidak diceritakan dalam mana-mana artikel tentang perjalanan.


Kali ini saya turut mengambil peluang untuk membawa isteri dan anak-anak berjalan.


Asalnya kami ingin bertolak lebih awal iaitu pada pagi Sabtu. Tetapi disebabkan ibu bapa saya datang bertandang dari Muar pada malam Jumaat kami luangkan masa untuk mereka.


Alang-alang ibu bapa ada bersama kami pun mengajak mereka berjalan juga ke Kelantan. Ini pernah kami lakukan lebih 2 tahun lalu. Malah kami membawa mereka berjalan-jalan menaiki satu kereta meliputi hampir separuh Semenanjung. Lihat  artikel-artikel berikut :-





Pusing separuh Semenanjung bersama ibu bapa - Bersama menjejak leluhur di Perak



Cuma mereka datang ke rumah kami itu dengan meminjam kereta adik saya. Sebab datang itu pun kerana harus menghadiri majlis nikah seorang sepupu saya di Ampang, Kuala Lumpur. Kereta atau lebih tepat, van bapa ada sedikit masalah menyebabkan ia tidak boleh dibawa berjalan terlalu jauh. Dari Muar mereka singgah di rumah adik di Melaka lalu meminjam kereta untuk menghadiri majlis.

Saya pula langsung terlupa tentang pernikahan sepupu, bila bapa menelefon pagi Khamis barulah teringat lalu berjanji untuk menghadiri malam nanti. Ketika itu saya sudah berada di KL untuk menghadiri satu majlis ilmu di Dewan Bahasa dan Pustaka. Lihat Wacana politik dan pemerintahan kesultanan Melayu di DBP. Selepas majlis saya harus menghadiri mesyuarat melibatkan HIKMAH di Taman Tun. Selepas Isyak baru berkejar untuk menghadiri majlis nikah.

Dari Ampang saya mengajak ibu bapa pergi bermalam di rumah saya di Rawang. Kalau tidak disebabkan sudah berjanji dengan Sheikh untuk bertandang ke tempatnya paling lewat hari Ahad tentu saya akan membatalkan perjalanan bagi meluangkan lebih banyak masa bersama ibu bapa. Bapa sendiri perlu memulangkan kereta paling lewat hari Isnin untuk digunakan isteri adik apabila masuk hari bekerja Saya pula telah merancang untuk berjalan-jalan di Kelantan bersama isteri dan anak-anak hingga hari Selasa mengambil kesempatan atas cuti yang diberikan kerana sambutan perayaan Deepavali 29 Oktober. 

Tak mengapalah, Insyaallah akan ada kelapangan lain untuk meluangkan lebih banyak masa bersama ibu bapa. Selain sudah berjanji akan bertandang ke Kelantan selewatnya hari Ahad saya harus mengambil barangan yang ditinggalkan di sana seeloknya sebelum tamat bulan Muharram. Untuk makluman, Selasa 1 November sudah masuk bulan Safar. Kenapa elok mengambil barang sebelum bertukar bulan? Ini akan diceritakan nanti, insyaallah...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan