Rabu, November 16, 2016

Kali ke-3 ke Kelantan dalam tempoh 2 bulan - Akademi Nik Rashiddin dan legasi Tok Kenali



Pagi Ahad 30 Oktober 2016. Saya memandang keluar pintu daripada tempat menginap malam.


Di manakah tempat ini? Gambar seterusnya boleh menjawab.



Ini adalah rumah yang terletak di dalam kawasan Akademi Nik Rashiddin di Kandis, Bachok, Kelantan.


Di sini pernah diadakan satu acara HIKMAH lebih 3 tahun lalu. Lihat artikel Acara keempat HIKMAH di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Kami singgah untuk menziarahi pemilik rumah merangkap pengendali akademi. Rumah tempat kami menginap malam sebelumnya terletak cuma 10-20 meter di luar kawasan akademi.


Kalau hendak lebih selesa tentu kami boleh tidur di rumah ini. Malah pemilik rumah yang merupakan kawan baik kami sejak acara HIKMAH diadakan di tempatnya bertanya kenapa tak tidur sahaja di situ Jawab kami, tak pasti pun semalam hendak ke Kandis. Kalau ikut rancangan asal mahu terus ke sekolah pondok di Tumpat. 


Ikut rancangan asal esok lusa baru ke Kandis kerana isteri mahu menziarahi adik angkatnya yang menyewa rumah di sebelah Akademi Nik Rashiddin. Boleh ziarah sekali pemilik rumah dalam akademi yang kami panggil sebagai Kak Wati. Kalau saya sendiri tak perlu dah kerana sudah menziarahi 2 bulan sebelum itu. Lihat Beruzlah ke Pantai Timur - Mencari piramid Melayu. Bila mendapati kami menghampiri Kota Bahru pun sudah sangat lewat iaitu sekitar jam 3 pagi saya beritahu isteri eloklah kita ke Kandis bermalam di sana dahulu. Selepas itu baru bertolak ke Tumpat.


Kami berehat di rumah adik angkat sehingga tengah hari kemudian baru ke akademi. Selepas makan tengah hari juga solat jamak Zohor dan Asar baru meninggalkan Kandis lalu menuju ke arah Kota Bahru.


Kami mengambil jalan melalui pekan Gunung.





Singgah di rumah seorang saudara di Perol kemudian ke Nilam Puri untuk melawat Masjid Kampung Laut.


Seterusnya kami ke makam Tok Kenali di Kubang Kerian.


Saya sudah ziarah ke sini dalam perjalanan 2 bulan terdahulu. Lihat Beruzlah ke Pantai Timur - Sanad semutar dan ilmu keris/besi juga Masjid Brunei dan Tok Kenali. Tapi isteri dan anak-anak dah lama tak sampai. Kalau tak salah ingatan kali terakhir kami sama-sama berziarah adalah lebih 2 tahun lalu. Lihat Perjalanan kecil ke Kelantan : Tolak Kota Bahru untuk ke Rantau Panjang dan Perak.



Dari makam kami bergerak sekitar setengah kilometer ke Masjid Tok Kenali.



Kali terakhir saya sendiri bertandang ke sekitar ini kalau tak salah adalah sudah lebih 4 tahun lalu. Lihat Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan - Berposing dari Kuala Terengganu hingga ke Kota Bahru. Tengok-tengok sudah berdiri satu bangunan dewan yang menambah fungsi sekolah pondok dalam kawasan.



Dahulu saya biasa bermalam di masjid ini setiap kali datang ke Kota Bahru. Ah. Setelah meneliti lagi artikel-artikel lama nampaknya kali terakhir saya bermalam di masjid ini adalah pada awal tahun 2013. Lihat artikel Misi penganjuran HIKMAH IV - Mesyuarat di Kandis sebelum meredah hujan dan banjir ke Kuala Terengganu. Selepas itu memang tak ingat apakah ada bermalam lagi. 


Kelihatan dalam gambar doa untuk amalan ramai dipaparkan pada sisi masjid. Sesungguhnya masjid dan makam Tok Kenali tersemat dalam hati sebagai suatu yang penting dalam perjalanan hidup ini. Saya ada satu pengalaman unik tentang hal tersebut sehingga ia diabadikan menjadi sebahagian daripada cerita dalam buku kedua saya, "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal". Disebut dalam cerita bagaimana saya boleh pertama kali sampai ke sana sekitar tahun 2002 atau 2003, setelah bertemu seseorang yang kelihatan seperti wali Allah tersebut di Masjid India, Kuala Lumpur. Lihat Sedikit cerita berkaitan Tok Kenali.


Kami bergerak ke pusat bandar raya Kota Bahru selepas jam 5 petang.





Tetapi apabila difikirkan hari semakin suntuk tak jadi masuk ke pusat bandar raya. Sekadar lalu di pinggiran sebelum terus ke sekolah pondok di Tumpat.


Alhamdulillah, Sheikh yang memimpin sekolah ada di rumah, Kami pun masuk bertandang lalu mula bercerita macam-macam hal. Antara yang disampaikan, di hadapan isteri kali ini, adalah perempuan bagaimanakah harus dijadikan pilihan jika saya benar-benar ingin berkahwin lagi. Kedengaran macam gatal tetapi saya ada sebab tersendiri untuk memikirkan hal ini...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan