Isnin, November 14, 2016

Melatih bakal guru di UPSI sebelum bersembang melepasi langit ke-7 di Sarang Art Hub

Salam semua. Semalam punya cerita...


Pagi Ahad 13 Oktober 2016 bersamaan 13 Safar 1438 Hijriah saya pergi ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk satu program.


Saya bersama 2 orang rakan lama terlibat untuk melatih sejumlah siswa siwi, bakal para guru menyediakan diri bagi melatih pula pelajar-pelajar di beberapa sekolah menengah menjadi manusia yang lebih cemerlang.


Program sudah bermula hari Sabtu dengan satu kumpulan pengajar lain melatih mereka dalam beberapa modul melibatkan komunikasi dan sebagainya. Saya dan kawan-kawan mengajar untuk modul-modul hari Ahad.


Modul saya diberi nama "Komunikasi Alam Melayu". Inilah kali pertama saya terlibat mengajar seperti ini. Saya lebih biasa memberikan ceramah atau pembentangan ilmu.



Saya tidak pasti bagaimanakah harus melatih bakal-bakal guru ini mahupun menangani modul tersebut. Setelah memikirkan perkara buat beberapa hari (saya diundang untuk terlibat baru sekitar seminggu lalu) saya rasa harus memulakan dengan jati diri Melayu. Saya buka modul dengan memperkenalkan diri lalu menunjukkan sedikit gambar zaman saya ketika agak keBaratan lebih 20 tahun, antaranya seperti kelihatan dalam artikel Keratan akhbar lama dari United Kingdom - Kenangan lama mandi air pancut di Trafalgar Square, London! . Saya mahu mengajak siswa siswi untuk memikirkan apakah yang membuat saya berubah untuk mencari balik keMelayuan sehingga boleh jadi suka memakai busana tradisional Melayu ke majlis-majlis malah berjalan santai keluar rumah pun begitu kadangkalanya.

Selepas itu saya bercerita tentang takrif Melayu menurut genetik, perlembagaan dan sebagainya diikuti akal budi Melayu yang dapat ditangkap daripada puisi-puisi lama, Ini dibuat menggunakan ilmu malah gambar-gambar slaid yang diperolehi daripada seminar-seminar berkenaan yang pernah dihadiri saya. Di celah-celah itu saya mengajak semua dalam bilik latihan untuk membuat sedikit senaman pernafasan sambil meluruskan tulang belakang agar lebih cerah pemikiran. Untuk rujukan tentang takrif Melayu, dunia Melayu dan sebagainya boleh rujuk artikel-artikel lama berikut :-


Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Ke Arah Pencerahan yang Dinantikan..

Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Sudah terang lagi bersuluh!


Tentang hati budi Melayu sila lihat sini :-





Kawan-kawan saya menjalankan modul mengikut kepakaran masing-masing. Pada sebelah petang saya berkongsi sedikit pemerhatian tentang gerakan untuk memartabatkan kembali pemakaian busana tradisional Melayu. Ini tidak ada dalam rancangan asal program. Saya berbuat demikian kerana ada yang tertarik dengan cara pemakaian saya. Maka itu saya rasa harus diterangkan bagaimana gerakan telah berkembang ke merata Malaysia. Mana tau, kalau-kalau mereka berminat untuk mencuba. Sekurang-kurangnya ia tidaklah begitu janggal kerana ramai sebenarnya telah masuk dalam gerakan ini, cuma tak semua orang tahu...



Apa yang dikongsikan adalah serupa seperti dibentangkan pada acara terbaru HIKMAH yang selamat diadakan di Muzium Negara 23 hari lalu. Lihat artikel Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Memang slaid-slaid daripada pembentangan digunakan di UPSI. Ini boleh ditelaah melalui artikel-artikel berikut :-




.



Selepas itu diadakan satu simulasi tentang pengaruh media sosial seperti Facebook. Siswa siswi diminta 'menubuhkan parti' untuk pilihanraya universiti lalu menjalankan kempen bagi mendapatkan undi...



Ini diikuti sesi soal jawab bersama tenaga pengajar termasuk seorang daripada sesi hari Sabtu...



Bergambar beramai-ramai sebelum bersurai selepas jam 5 petang.



Selesai segala urusan di UPSI kami pergi ke Sarang Art Hub, satu pusat kesenian merangkap tempat makan minum yang diasaskan oleh direktor filem terkenal saudara Mamat Khalid menggunakan bangunan lama rest house atau rumah rehat pekan Tanjung Malim.



Gambar kawan-kawan diambil dengan kamera saya yang ada masalah fokus.



Disebabkan itu saya tidak dapat mengambil gambar lain-lain aktiviti. Misalnya hiburan muzik live oleh pelakon Sofi Jikan yang terkenal kerana sering memainkan watak gangster dalam filem tempatan berserta majlis pelancaran produk minyak wangi atas nama beliau.


Nasib baik ada gambar-gambar lebih jelas diambil oleh kawan-kawan. Inilah kali pertama mereka makan minum di sini. Saya sudah beberapa kali bertandang. Lihat misalnya artikel Kitab Dalail Khairat, majlis 'Kesultanan Melaka' dan konsert rock - Mukadimah sebelum ke Bukit Chandan?.



Sebetulnya malam sebelum itu saya ada bertandang ke sini bersama isteri dan anak-anak dengan membawa seorang kawan berserta isteri dan anak-anaknya. Ada perkara yang Mamat mahu bincang panjang lebar dengan saya tentang pembuatan filem tetapi tidak dapat dipanjangkan kerana saya harus bersedia untuk program di UPSI keesokan harinya. Maka perbincangan disambung apabila datang membawa kawan-kawan petang Ahad.

Kelihatan dalam gambar perbincangan yang berlanjutan selepas Isyak. Ketika gambar ini diambil sudah jam 9 lebih malam kalau tak salah ingatan. Kami meninggalkan Sarang selepas jam 11.



Banyak topik dibincangkan. Asalnya tentang projek-projek terbaru filem saudara Mamat (ya, ada dua projek serius diperkatakan. Sedangkan sahabat kami ini lebih dikenali dengan filem-filem lawak). Tapi bila dah ada kawan yang masing-masing suka bercerita panjang lebar pelbagai perkara dengan penuh semangat terus melarat masuk bermacam-macam topik yang pelik-pelik.



Bila kawan-kawan lama mencucuk dengan pelbagai topik di luar akal fikiran kebanyakan orang, fikiran saya yang sudah biasa malah memang sedia sarat dengan hal-hal sebegitu pun bertindak balas. Terpacullah beberapa perkara yang saya sendiri sudah lama tidak perkatakan kepada orang. Dahulu, zaman  memasuki umur 20an hingga awal 30an memang saya suka sangat bercerita hal-hal sebegitu. Kemudian saya lebih banyak menutup mulut. Cukuplah disimpan sekian banyak pengalaman dan pemikiran luar biasa untuk diri sendiri sahaja, tidak suka lagi memperkatakannya lagi pada khalayak umum. Apa yang dikongsikan atau diperkatakan melalui penulisan di blogspot dan sebagainya sejak itu cuma cebisan-cebisan daripada banyak perkara yang sebenarnya sudah bersarang dalam kepala saya sejak kecil lagi.

Sesungguhnya sudah lama saya tidak bersembang seperti yang keluar malam semalam., Terpacul cerita-cerita mengenai misi roket dan angkasawan Apollo  pergi ke bulan tahun 1969. Betulkah sampai ke bulan? Atau itu semuanya wayang akibat perlumbaan ingin menunjukkan kehebatan teknologi yang berlangsung antara Amerika Syarikat dengan Soviet Union. Apakah hakilat bulan dan bintang-bintang yang kita lihat di atas langit sana? Betulkah ia sebesar yang disebut para saintis. Sedangkan ada riwayat mengatakan Nabi Muhammad SAW pernah memanggil bulan turun ke bumi menjadi kecil sehingga boleh keluar masuk ke dalam jubah baginda. 

Betulkah bumi ini bulat? Atau ia sebenarnya hamparan seperti disebut dalam Al-Quran. Apakah yang dunia sains lihat? Apakah orang yang sudah mendalami dan mengalami hakikat Tasawuf lihat?

Bagaimana tentang hakikat kewujudan? Disambut pengalaman dan perkongsian oleh orang seperti Mamat boleh keluar bab pemikiran falsafah seperti seperti dinyatakan oleh Descartes : "I think therefore I am (aku berfikir maka aku wujud sebagaimana sedia ada), cubit sikit nama Jean Paul Sartre, cerita pula manusia yang katanya mati hidup balik mati hidup balik seperti Highlanders dalam cerita filem berkenaan, Tak cukup itu masuk pula hal tentang Allah SWT dikatakan bersemayam atas arash itu bagaimana, masuk bab Wahdatul Wujud, Wahdah, Wahdaniyah, Hakikat Nur Muhammad dan macam-macam. Cerita sudah melepas langit ke-7 gamaknya...

Apa yang dibincangkan tentang wujud alam itu boleh ditelaah melalui beberapa penulisan lama saya di blogspot ini. Misalnya, Dunia sebagai tempat "senda gurauan".... Hal ini ada disentuh panjang lebar dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" (terbit November 2007). Lihat Sinopsis BKA III.

Ah. Baru teringat. Turut dibincangkan adalah persepsi panjang pendek masa menurut zaman dan keadaan. Ini adalah untuk menyelarikan hal manusia moden paling awal, manusia yang dikenali sebagai Home Sapiens dikatakan wujud sejak 209,000 tahun yang lampau menurut sains sedangkan menurut kajian ulamak berdasarkan kitab manusia pertama kali wujud dengan turunnya Nabi Adam dari syurga ke muka bumi, paling awal pun sekitar 8,000 tahun lalu. Saya berkongsi sedikit tentang kira-kira yang dibuat untuk menjawab persoalan tersebut. Ini pernah dinyatakan melalui artikel Kira-kira masa sebenar berdasarkan maklumat orang 'lama' kemudian kira-kira diperbaiki melalui artikel Memperhalusi kira-kira masa sebenar berdasarkan beberapa maklumat baru. Cukup.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan