Rabu, Jun 10, 2015

Jejak Kalimantan Barat - Sejenak di Pontianak kemudian di Mempawah

Pada penghujung artikel Daulah Melayu - Memohon restu Sultan Alauddin di Pagoh ada disebut saya tidak dapat mengikut tim recce "Daulah Melayu" menyambung perjalanan ke utara kerana sudah dijadualkan akan membuat perjalanan lain ke Kalimantan meliputi tapak-tapak kerajaan lama Pontianak, Mempawah dan Sambas dalam masa terdekat. Sukacita dimaklumkan saya kini sedang berehat di Sambas, setelah 2 hari membuat perjalanan yang dimaksudkan. Sejak memulakan perjalanan tengah hari Isnin baru malam ini dapat menggunakan Wi-Fi, di sebuah hotel yang cukup selesa, tidak jauh daripada pusat kerajaan. Jadi sementara ada peluang biar dikongsikan cerita hari pertama perjalanan... 



Pagi Isnin 8 Jun 2015 setelah dua jam menaiki kereta api komuter daripada Rawang ke KL Sentral diikuti bas ke KLIA2 sampailah saya ke lapangan terbang untuk memulakan pengembaraan baru...


Turut bersama adalah Ustaz Hasan Yusof dari Melaka. Beliau pernah bersama saya dan beberapa orang anak muda berjalan-jalan di Aceh awal bulan Februari. Lihat Kompilasi artikel perjalanan ke-7 di Aceh. Kali ini kami mahu melihat tempat-tempat bersejarah di Kalimantan Barat, masuk melalui kota Pontianak menggunakan perkhidmatan Air Asia ke sana yang baru bermula sekitar 2 bulan lalu. Asalnya ada seorang anak muda mahu pergi bersama tapi tak dapat kerana tiba-tiba mendapat tugasan di Eropah.


OK. Biar dimaklumkan saya membuat cerita ini dalam keadaan amat kepenatan setelah 2 hari berterusan asyik berjalan ke sana ke mari sejak sampai ke Kalimantan. Sedangkan perjalanan terbaru ini dibuat setelah 6 hari mengikut tim recce Daulah Melayu pusing Terengganu, Johor dan Pahang, sebelum itu pula 3 hari mengikuti acara di Pasir Salak (rujuk beberapa artikel kebelakangan). Untuk dapat mempersembahkan artikel ini dengan baik saya harus terlebih dahulu menyediakan 4 artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH, 5 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Jadi di sini tak perlulah saya bercerita panjang lebar ya. Tentang perjalanan naik kapal terbang lihat apa yang sudah dipersembahkan dalam artikel Flight to Pontianak.


Sampai sahaja ke lapangan terbang Pontianak saya lihat burung enggang menjadi satu macam lambang.


Kami kemudian dibawa pusing kota Pontianak menaiki kereta sewa. Ini ada ditunjukkan dalam artikel On to Pontianak city and across....


Tapi kami tidak lama di kota kerana mahu pergi lebih jauh ke utara. Rancangnya sebelum kembali ke Malaysia petang Jumaat baru kami betul-betul melihat Pontianak. Dalam perjalanan ke utara itu kami harus mengambil satu jalan yang menghala ke barat terlebih dahulu lalu kelihatan pintu gerbang jalan masuk ke kawasan pemakaman Kesultanan Pontianak. Kami pun singgahlah. Baru dapat tahu berdekatan situlah berlaku peristiwa pontianak menyerang Sultan Sharif Abdurrahman al-Qadri lalu baginda membalas dengan tembakan meriam. Hal ini membawa kepada pengasasan kesultanan hampir 250 tahun lalu. Lihat artikel-artikel berikut :-







Oh, Baru teringat. Sebelum ke makam kami singgah dahulu di satu tempat di mana yang dikatakan terletak di atas laluan tepat garisan Khatulistiwa yang membelah bumi kepada 2 bahagian - hemisfera utara dan hemisfera selatan. Lihat Tugu Khatulistiwa (Equator monument). Selepas itu saya dapati kawasan yang dilalui bernama Wajok Hulu diikuti Wajok Hilir. Ini mengingatkan pada kerajaan Bugis Wajo' (disebut Wajok) di Sulawesi Selatan lalu saya cuba mengambil gambar menunjukkan perkataan Wajok itu tanpa menganggu perjalanan kereta. Entah kenapa dapat yang ini paling terang...


Ikut rancangan kami mahu ke Sambas sekitar 6 jam perjalanan lalu bermalam di sana. Sambas pernah memiliki sebuah kesultanan yang diasaskan oleh anak cucu keturunan Sultan Brunei, letak pusatnya kira-kira 2 jam perjalanan daripada sempadan Malaysia iaitu di barat Sarawak...





Perjalanan ini memerlukan kami lalu di kabupaten atau daerah Mempawah, satu lagi wilayah yang pernah memiliki raja-raja sendiri.


Fikir kami selepas menginap satu malam di Sambas baru singgah dan bermalam di Mempawah iaitu dalam perjalanan kembali ke Pontianak.



Tetapi timbul rasa untuk singgah di kawasan istana Mempawah terlebih dahulu lalu apabila melihat ada peluang kami masuk ke istana kemudian ke masjid berdekatan istana. Di istana kami dilayan baik oleh menantu raja terakhir Mempawah lalu ditunjukkan segala macam barangan yang ada di dalam bangunan. Di masjid kami berkenalan dengan ramai anak tempatan selain dapat melihat pemandangan cantik di tepian Sungai Mempawah.

Di sini tak perlulah ditunjukkan gambar-gambar yang memperincikan keadaan mahupun diulas. Cukuplah apa yang sudah dikongsikan melalui artikel-artikel berikut :-



Masjid istana Mempawah (Mosque of the palace of Mempawah)




Disebabkan kami sampai ke masjid pun dah senja, kami menunggu sehingga masuk waktu Maghrib untuk solat berjemaah. Menyedari bahawa banyak lagi tempat boleh dan mahu dikunjungi di Mempawah dan kami tak mahu menunggu beberapa hari lagi baru boleh bertandang, kami membuat keputusan untuk mencari tempat penginapan berdekatan. Lagipun dari Mempawah masih memerlukan hampir 5 jam perjalanan, mungkin lebih untuk sampai ke Sambas. Buat apa bersusah-payah berpenat-lelah meredah kegelapan malam untuk berjalan begitu jauh? Kan rugi tak dapat melihat pemandangan sepanjang jalan? Maka rancangan untuk bermalam pertama di Sambas bertukar jadi bermalam di Mempawah. Keesokan malamnya iaitu malam ini, barulah sampai di Sambas di mana saya sedang menulis ayat ini dalam sebuah hotel selesa yang ada Wi-Fi.

Cukuplah ya. Saya harus berehat kerana perjalanan masih jauh. Ketika ini sudah jam 2,22 waktu Malaysia seperti kelihatan pada laptop saya. Di Kalimantan Barat pula sudah jam 1.22. Tapi sebelum jam 5 sudah masuk waktu Subuh. Selamat malam. :]



4 ulasan:

  1. Mempawah sama dengan perkataan kelantan mempawah/pawoh.apa maksudnya mempawah kat kabupaten sana?

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum Radzie... aku Hari (Indonesia) apakah Radzie tahu letak makam Haji Saman bin Pengarah Saad? beliau adalah penasihat dari Sultan Omar Ali Saifuddien II Brunei, Haji Saman juga merupakan keturunan raja-raja Siak yang juga cukup terkenal di Malaysia

    BalasPadam
  3. Salam. Saya selalu ikut blog ni. Kalau tak salah bermula masa srikandi tengah hot dulu. Lama dah rasanya... blog ni sangat santai dan kerap update. Cara penulisan membuatkan seperti saya ikut sekali dlm setiap perjalanan disamping gambar2 sempoi dan sekali-sekala menceritakn kisah hidup peribadi penulis. Teruskan usaha dan semoga mencapai kejayaan...

    BalasPadam
  4. Syarif abd rahman hussin alkadri beristeri anak saudara sultan banjar dianugerah pengeran sultan pontianak.syarif omar keturunan jamadil qubra dari kelantan beristeri kerabat kesultanan banjar dianugerah pengeran serta kesultanan berunai.raja sambas sultan adil keturunan kerajaan tua banjar radin tengah beekahwin dgn opu daeng kemasi akhirnya mewaris kesultanan sambas..mempawah daeng kelola terdsmpar dipukul ombak kemempawah membentuk keturunan daeng mempawah berkahwin dgn kerabat puteri2 kesultanan banjar dari susur ini ramai dtg ketanah melayu

    BalasPadam