Ahad, Jun 07, 2015

Daulah Melayu - Memohon restu Sultan Alauddin di Pagoh

Salam semua. Sampailah masa untuk menutup siri cerita tentang recce atau tinjauan ini. Bersambung daripada Daulah Melayu -Sekitar Kota Tinggi dan Johor Lama.


Pagi Ahad 6 Jun 2015, hari ke-6 perjalanan kami mengorak langkah meninggalkan bandar Kota Tinggi.


Sambil menyeberang Sungai Johor yang mengecil di sekitar ini (di Johor Lama lebarnya sekitar 2-3 km!) timbul rasa lega kerana perjalanan menghampiri penghujungnya. Maklumlah dah penat 5 hari kebelakangan mengembara...


Destinasi seterusnya adalah di Pagoh, Muar. Kami memilih untuk menghala ke Johor Bahru agar dapat mengambil Lebuh Raya Senai-Desaru lalu daripada situ masuk Lebuh Raya PLUS menghala ke Muar.





Sekitar 12.15 sampailah ke destinasi iaitu Kampung Raja.


Ziarah ke makam Sultan Alauddin Riayat Syah I, satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih terpelihara di Malaysia.


Kebetulan hari itu, 6 Jun adalah hari rasmi keputeraan DYMM Yang di-Pertuan Agong. Tepatlah sungguh kami sampai pada hari itu. Selain ziarah dan buat kerja recce bolehlah dikatakan kami, tak pun saya seorang, memohon restu roh almarhum Sultan yang bertaraf wali ini agar mendapat keberkatan daripada Allah SWT dalam meneruskan usaha besar menjayakan dokumentari "Daulah Melayu".


Sambil itu teringat bagaimana satu acara HIKMAH telah diadakan di sini berserta apa yang mungkin adalah sambutan hol almarhum Sultan Alauddin yang pertama dalam tempoh 500 tahun di mana-mana. Lihat artikel Acara kesebelas HIKMAH di masjid dan makam Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka), Pagoh, Muar 8 Nov 2014 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Selesai hal di makam kami makan tengah hari di pekan kecil Panchor yang terletak berdekatan.



Special ni, mee bandung udang galah...


Jam 1.40 baru meninggalkan pekan kecil di tepian Sungai Muar ini.





Kami masuk kembali ke Lebuh Raya plus melalui tol Bukit Gambir. Ketika ini saya cuba mengambil gambar Gunung Ledang yang menghiasi latar belakang pemandangan tetapi nampaknya kurang terang...



Sampai di Seremban sekitar 3.15 petang kelihatan kesesakan teruk menghala ke selatan. Nasib baik kami bergerak melawan arah. Apapun ini cerita semalam. Hari ini tim recce "Daulah Melayu" telah bergerak ke Kedah untuk meninjau kompleks arkeologi Sungai Batu di Sungai Petani juga naik Gunung Jerai. Mereka berehat dahulu di Kuala Lumpur sebelum ke Kedah sedangkan saya sendiri kembali ke rumah. Saya tidak dapat mengikut mereka ke utara kerana sudah dijadualkan akan membuat perjalanan lain ke Kalimantan meliputi tapak-tapak kerajaan lama Pontianak, Mempawah dan Sambas dalam masa terdekat.

Di sini biar dimaklumkan perjalanan recce kami dikira tamat selepas tempat-tempat yang disebut di Kedah itu diliputi 2-3 hari ini. Tetapi akan ada banyak lagi perjalanan lain dibuat dalam masa beberapa bulan akan datang termasuk untuk menemuramah beberapa orang cendekiawan dalam bulan puasa, perjalanan pusing Semenanjung selepas raya juga perjalanan-perjalanan ke luar negara seperti ke Aceh, Jawa dan Champa. Awal tahun hadapan kami dijangka akan meliputi tempat-tempat di United Kingdom, Belanda dan Turki. Insyaallah saya akan menceritakan apa yang boleh dikongsi di blogspot ini ya. Doakan kami semua dilindungi dan dibantu agar dapar menjayakan "Daulah Melayu". Amin... :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan