Isnin, Jun 16, 2014

Perjalanan kecil ke Kelantan : Tolak Kota Bahru untuk ke Rantau Panjang dan Perak



Pagi Ahad 1 Jun 2014. Memandang  ke luar rumah tempat kami menginap.


Sekitar 20 meter dari rumah ada tempat membela kuda milik orang kampung.


Sekitar 20 meter ke arah yang berlawanan pula terdapat sebuah institusi seni yang dipanggil Akademi Nik Rashiddin (ANR), diasaskan oleh pengukir kayu terkenal, arwah Nik Rashiddin.


Tempat ini pernah menjadi lokasi acara ke-4 HIKMAH lebih setahun lalu. Lihat artikel Acara keempat HIKMAH di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Ia dijaga oleh balu kepada arwah, Puan Rosnawati yang merupakan seorang pensyarah seni. Beliau sempat menghadiahkan kami sekeping ukiran kayu. Itulah yang kemudian saya dan isteri gantung pada dinding rumah. Lihat artikel Penambahan hiasan rumahku syurga.


Selepas itu kami mencuba jalan baru yang terletak berdekatan rumah. Jalan yang terletak berhampiran pantai ini masih dalam pembuatan semasa kami mengadakan acara HIKMAH itu.


Ke selatan ia membawa ke pekan Tok Bali. Kami pun singgah sebentar.


Kemudian menghala kembali ke ANR, singgah sebentar di Pantai Kandis yang terletak cuma 300 meter gitu dari institusi. Kami sempat mendapatkan beberapa lagi barangan yang boleh digunakan untuk menghias rumah. Ini turut diceritakan dalam artikel Penambahan hiasan rumahku syurga.


Kami singgah di ANR lagi untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Puan Rosna juga kenalan yang rumahnya kami tumpang bermalam. Kami mahu ke Kota Bahru, ambil jalan melalui Kedai Lalat naik ke Pulau Melaka semata-mata untuk melihat bangunan ini.


Ia adalah sebuah restoran yang dibina mengunakan bahan daripada rumah-rumah lama. Ini ada diulas pada artikel 'Istana lama' di Pulau Melaka ('Old palace' at Pulau Melaka) yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) 3 tahun lalu.


Dari situ kami ke Kubang Kerian untuk menziarahi makam wali Allah terkenal, Tok Kenali.


Ikut rancangan asal selepas itu kami mahu berjalan-jalan di pusat bandar raya Kota Bahru. Sudah lebih setahun saya tidak ke situ dan saya memang gemarkan suasananya. Cuma yang tak gemar adalah kesesakan lalu lintas yang sering teruk menuju ke pusat. Dan hari itu kami harus menempuh kesesakan teruk ketika hendak ke Pulau Melaka dan Kubang Kerian yang terletak di pinggir kota, belum lagi ke pusat. 

Memikirkan bahawa tujuan utama kami ke Kelantan adalah untuk mengambil anak yang bersekolah di sana kembali bercuti di Rawang saya pun melupakan hajat untuk berjalan-jalan di Kota Bahru. Sebaliknya kami terus ke Rantau Panjang melalui jalan ke Pasir Mas. Anak tersebut pun meminta agar kami singgah ke "Masjid Beijing". Lihat artikel The "Beijing" mosque di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ada sesuatu yang menarik tentang pekan yang terletak di sempadan ke negara Thailand ini. Ada "feel koboi (cowboy)", maklumlah, memang orang kata pekan koboi...


Sempat melihat aliran Sungai Golok yang menjadi sempadan antara dua negara. Di seberang kelihatan sebahagian dari bandar Golok di selatan Thailand.


Dari Rantau Panjang kami menuju ke Jeli untuk masuk ke negeri Perak. Hampir ke Banjaran Titiwangsa kelihatan bukit lagenda.yang dipanggil Gunung Reng. Ada satu pemandangan sangat menarik di situ. Lihat artikel Pergau River and Gunung Reng.


Ketika mendaki banjaran menghala ke timur hujan mula turun. Jalan rata-rata berkabus.


Sampai di tasik buatan besar yang dipanggil Tasik Banding kami lalu sahaja tanpa berhenti untuk menikmati pemandangan seperti biasa dibuat apabila sampai.


Perjalanan diteruskan melepasi bandar Grik, Perak. Sampai di Lawin baru berhenti untuk menziarahi makam seorang tokoh lama.


Beliau ialah Tun Saban, seorang pahlawan yang pernah memerintah Hulu Perak 500 tahun lalu. Untuk mengetahui cerita lebih lanjut sila teliti isi siri kecil ini...


Misi makam Tun Saban : Menjalankan misi sebelum ke Taiping dan Bukit Gantang

Misi makam Tun Saban : Dari Temong, pusing kuale lalu ke Parit


Tiada ulasan:

Catat Ulasan