Jumaat, Ogos 02, 2013

Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Pengeran Diponegoro dan Makassar hari akhir

Salam Jumaat buat kali ketiga berturut-turut. Setelah mempersembahkan 2 artikel siri pada hari Jumaat lepas dan Jumaat sebelumnya biar dilengkapkan 3 Jumaat bercerita yang semuanya jatuh pada bulan puasa. Adapun hari ini sudah 24 Ramadhan, tak sampai seminggu lagi kita akan menyambut 1 Syawal. Dengan itu biar ditamatkan penceritaan perjalanan 3-12 Mei ke bumi Makassar dan Bugis. Bersambung dari Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Dari Sayyid Jamaluddin Kubro ke La Madukelleng meluruskan beberapa aspek sejarah.


Pagi Ahad 12 Mei 2013. Setelah menyiapkan segala barangan dan mengucapkan selamat tinggal pada Ibu Nur juga anak angkatnya Syahril kami pun sedia untuk keluar.


Kami dijadualkan kembali ke Malaysia menaiki penerbangan petang. Sebelum itu biarlah ke kota Makassar berjalan-jalan.


Tempat pertama dituju adalah makam Pangeran Diponegoro, pejuang dari Pulau Jawa. Anak sulung Sultan Hamengkubuwono III iaitu pemerintah kerajaan Yogya ini memimpin perlawanan dengan Belanda tetapi ditangkap 1830 lalu diasingkan dan dipenjarakan di Makassar. Lihat artikel Makam (Tomb of) Pangeran Diponegoro di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)


Tempat dipenjarakan itu adalah satu ruang yang sangat dhaif di Fort Rotterdam. Lihat artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Fort Rotterdam dan 'gegaran' Muzium La Galigo yang dibuat sebulan lalu. Keluarga dan pengikut beliau turut ditangkap dan diasingkan tetapi mendapat ruang penjara yang lebih selasa. Dengan itu keturunannya mula menjadi orang Makassar termasuk pakcik yang menjaga makam.


Lakaran wajah sang pengeran...


Kami sempat berbual lama bertanyakan sejarah pejuang . Oh. Di tengah kelihatan kawan kami Kak Rosnina, orang Aceh yang sepatutnya sudah sampai ke Makassar petang Rabu bersama kawannya yang berbangsa Cina. Sepatutnya beliau ikut sama berjalan ke Wajo'. Tetapi disebabkan sedikit masalah beliau tidak dapat menaiki pesawat lalu cuma dapat datang hari Jumaat. Rujuk cerita Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Keluar dari Makassar selepas 3 hari berehat


Selepas itu kami melihat tempat-tempat lain di Makassar.


Antaranya adalah rumah peranginan atas laut dengan motif tradisional Bugis-Makassar. Lihat artikel A resort of Bugis and Makassar traditional houses di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

.


Rumah peranginan atau resort ini mengingatkan pada resort atas laut di Tanjung Piai, Pontian di mana saya dan isteri pernah membawa anak kami Rashid yang kini sudah berumur lebih 3 tahun. Ketika itu isteri tak sampai 40 hari melahirkan Rasyid. Tapi kami sudah mula keluar membuat satu pengembaraan pusing selatan. Lihat Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Pontian di siang hari.... Kawasan rumah peranginan ini luas sedangkan saya tidak dapat meneroka seperti biasa kerana kecederaan kaki. Nasib baik le ada kerusi roda yang dibawa dari Malaysia.


Seterusnya kami pergi ke satu kawasan yang agak terkenal, Jalan Sompa Opu. Pada artikel Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Fort Rotterdam dan 'gegaran' Muzium La Galigo telah ditunjukkan jalan ini sebagai tempat paling banyak kedai emas.


Ia juga memiliki beberapa kedai menjual buah tangan. Kami mahu mendapatkan sedikit barang kenangan dan hadiah untuk sanak saudara. Selain itu saya mahu membeli songkok Bugis...


Selepas membeli barangan kenangan Kak Rosnina dan kawannya diturunkan di sebuah kompleks membeli-belah. Kami pun menyambung perjalanan.








Kami mengambil laluan yang boleh membawa terus ke lebuh raya bertol, satu-satunya yang terdapat di Sulawesi kalau tak salah.


Ini membolehkan kami mengelak kesesakan lalu-lintas yang biasa melanda jalan utama ke utara Makassar.


Tak sampai 15 minit kami dah masuk kawasan lapangan terbang. Kalau ikut jalan biasa mahu sejam dihambat kesesakan...


Saya cuba mengambil lagi gambar patung Sultan Hasanuddin yang terletak di bulatan sebelum jalan ke bangunan lapangan terbang. Semasa sampai ke Makassar 3 Mei saya cuma mengambil dari belakang ketika matahari dah tenggelam. Kali ini kami lalu sekitar 1.30 petang, harus lebih terang. Tapi entah kenapa sekali lagi dapat gambar kabur...


Apapun kami sampai awal.


Penerbangan dijadualkan berlepas 5.40 petang. Nak check-in pun kena tunggu lebih sejam setengah.


Masa yang terluang digunakan untuk melihat-lihat lapangan terbang yang boleh tahan canggih.


Nasib baik ada pertunjukkan kebudayaan seperti silat.


Rasyid pun seronok nak ikut sama.


Selepas itu saya membawa Rasyid berjalan melihat-lihat kapal terbang.


Jam 5.15 gitu baru kami dibenarkan menaiki pesawat. Alhamdulillah, seperti halnya ketika datang ke Makassar 3 Mei terdapat banyak ruang kosong. Dapatlah saya diberikan satu barisan agar kaki yang cedera dengan simen di bawah menghadkan pergerakan dapat direhatkan di atas kerusi, satu tindakan yang perlu untuk mengurangkan bengkak dan kesakitan.


Kapal terbang berlepas mengikut jadual. Selamat tinggal Makassar dan Tanah Bugis. Terima kasih kepada Ibu Nur yang menjemput juga Syaril yang sudi melayan. Biar diberitahu Ibu Nur atau Profesor Dr Nurhayati Rahman adalah seorang tokoh budaya dan sastera yang agak terkenal dan penting di Sulawesi Selatan. Ramai pengkaji antarabangsa pernah menginap di rumah beliau, antaranya Christian Pelras, orang Peranchis yang menulis buku The Bugis, satu rujukan utama pengkaji luar untuk mengenali jiwa manusia Bugis.

Saya sendiri bercadang untuk melakukan sedikit kajian lapangan sekurang-kurangnya dalam rangka kerja untuk memahami dengan lebih terperinci salasilah keluarga belah Bugis. Saya sudah memikirkan mahu berjalan jauh hingga ke Palopo, pusat pentadbiran daerah Luwu, dahulunya kerajaan awal paling besar dalam dunia orang Bugis, kerajaan lama yang masih dianggap berprestij sehingga hampir semua raja-raja Bugis dikatakan berketurunan raja-raja Luwu. Letaknya 10 jam perjalanan dari Makassar dan fikir saya boleh juga singgah melihat kawasan perkuburan orang bukan Islam Toraja yang terkenal seantero dunia dengan keranda-keranda yang diletakkan pada lubang-lubang di muka bukit. Ia boleh dicapai dalam perjalanan ke Luwu atau kembali, sebab itu kami memilih untuk berada agak lama, 3-12 Mei.

Namun kecedaraan kaki yang berlaku 10 hari sebelum berlepas menyebabkan saya harus menghadkan perjalanan. Dapat sampai ke Wajo', 6 jam dari Makassar pun saya dah syukur amat. Allah sahaja tahu kesulitan dan kesakitan yang ditanggung dengan kaki bengkak teruk, nak berjalan sikit pun berhempas-pulas, nak buang air cukup seksa mendapatkan letak kedudukan.  Insyaallah lain kali kami akan datang dalam keadaan saya juga seluruh keluarga lebih sihat. Bolehlah kami berjalan lebih jauh mencari jejak leluhur sambil mengamati sejarah yang berkaitan. Amin... :]




Tiada ulasan:

Catat Ulasan