Isnin, Mei 23, 2011

Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Menyusuri jejak Raja-raja Jembal dengan lebih teliti

OK. Setelah menyiapkan 13, ya 13 buah artikel sokongan di blogspots saya yang lain baru penceritaan dapat dibawa masuk ke bab Raja-raja Jembal. Bersambung dari Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Laluan pantai Tok Bali ke Bachok dan terus....


Masuk sahaja ke kawasan yang dipanggil Kota Jembal iaitu mendekati pekan Kedai Lalat saya terus mencari makam ini.

Ia tidak susah hendak ditemui kerana saya pernah sampai sekali di sini 3 tahun lalu. Cuma isteri dan anak-anak sahaja yang belum. Mereka pun seronok menziarahinya. Lihat artikel lama Menyusuri jejak Raja-raja Jembal....




Adapun artikel lama itu dibuat dalam dua keadaan yang menghambat kualiti penulisan. Satu saya sedang separa mogok akibat gangguan dari pihak tak bertanggungjawab yang sering mengecam peribadi dan penulisan saya tanpa alasan yang kukuh kecuali hendak membuat kacau. Lalu untuk perjalanan ke Pantai Timur ketika itu (Mac-April 2008) hampir semua artikel dibuat dengan sedikit perenggan penerangan diikuti gambar-gambar tanpa apa-apa lagi penerangan tambahan. Lihat koleksi berkaitan pada sidebar kiri tengah, di bawah tajuk "Siri pengembaraan setelah trilogi siri BKA siap disajikan...", tajuk kecil "Bahagian Timur (Pahang, Terengganu, Kelantan tapi bermula di Negeri Sembilan!)".

Kedua, ketika itu saya belum begitu berminat tentang sejarah Raja-raja Jembal. Walaupun ditunjukkan makam-makam misalnya makam ini yang katanya milik Raja Loyor, saya tidak tahu siapakah baginda kecuali disebut sebagai seorang daripada raja Dinasti Jembal iaitu mereka yang memerintah kerajaan Kelantan lama dari Kota Jembal.

Lama kemudian baru saya tahu Raja Loyor ini adalah pemerintah kedua dari Dinasti Jembal. Baginda adalah anakanda kepada Raja Sakti, orang yang dikatakan mengasas Dinasti Jembal awal abad ke 17 Masihi. Sebelum itu Kelantan pernah diperintah satu dinasti lain di mana sesetengah tulisan menyebut ia bermula dengan Raja K'umar tahun 1400, ada pula menyambungnya dengan pemerintahan lebih awal termasuk dari kerajaan Chermin yang berpusat di sekitar Danau Tok Uban tahun 1300an gitu. Namun umumnya dinasti lebih lama itu tamat dengan pemerintahan Cik Siti Wan Kembang tahun 1500an. Kemudian baru muncul Raja Sakti yang dikatakan anak angkat kepada Raja Bersiong dari Kedah.

Signifikannya Dinasti Jembal ini adalah apabila Raja Sakti dapat merajai Kelantan lalu mengalahkan Patani dan menjadikan ia negara bawahan kepada Kelantan, bukan sebaliknya. Difahamkan ketika itulah wujud kerajaan Patani Besar yang turut mengandungi Terengganu lalu Raja Sakti menjadi raja kepada semua. Kalau tak salah baginda berpindah ke Patani. Raja Loyor pun menjadi pemerintah kedua Kelantan dari Dinasti Jembal. Lihat artikel Makam (Tomb of) Raja Loyor di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Oh. Makam Raja Loyor itu terletak tidak jauh dari sekolah ini, Sekolah Raja Sakti. Untuk makluman, jalan yang diambil selepas beberapa batu meninggalkan Bachok (rujuk Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Laluan pantai Tok Bali ke Bachok dan terus...), jalan yang kemudian membelok ke barat untuk mengelakkan Sungai Pengkalan Datu dipanggil sebagai Jalan Raja Sakti. Lagi satu maklumat yang patut diketahui. Raja Loyor adalah ayahanda kepada Puteri Sa'adong yang sangat terkenal dalam sejarah Kelantan itu...

Perjalanan diteruskan ke pekan Kedai Lalat.




Di hadapan pintu masuk Sekolah Kota Jembal ada satu lagi makam Raja Jembal.




Kebanyakan rujukan menyebutnya sebagai makam Raja Udang, satu panggilan kepada seorang Raja Jembal bernama Sultan Omar. Tapi apabila diteliti balik fakta-fakta berkaitan, kemungkinan pula ini sebenarnya makam kepada kekanda Sultan Omar yang memerintah sebelumnya iaitu Raja Ekor @ Raja Bahar. Baca dahulu Makam (Tomb of) Raja Udang?.



Disebabkan kawasan sekeliling sedang dilanda banjir saya pun pergi seorang diri.




Isteri dan anak-anak menunggu sahaja di hadapan sekolah.



Seterusnya kami singgah di masjid sebelah utara sekolah. Lihat Masjid (Mosque of) Al-Khairat, Kota Jembal. Ketika itulah saya teringat ada satu lagi makam pernah dikunjungi 3 tahun lalu...




Perjalanan ke makam tersebut harus menyusuri balik Jalan Raja Sakti. Ketika hendak masuk ke simpang terlihat papantanda menunjukkan jalan besar di hadapan masjid dan sekolah bernama Jalan Raja Bahar. Adakah ini satu petunjuk bahawa makam berdekatan sekolah itu memang milik Raja Bahar, bukan Raja Udang @ Sultan Omar?

Kami menyusuri Jalan Raja Sakti melepasi simpang masuk ke makam Raja Loyor.




Berdasarkan sedikit ingatan dari perjalanan 3 tahun lalu berserta sebuah buku yang menyebut makam ini terletak di dalam Kampung Tok Ku sampailah kami ke tanah perkuburan ini.

Dalam lawatan lalu saya diberitahu ia makam Raja Sakti. Sebenarnya ini salah. Penduduk tempatan cuma mengenalinya sebagai makam Tok Ku. Tetapi ada ahli sejarah percaya Tok Ku ini ialah Tuan Besar Long Bahar, menantu Sultan Omar yang kemudian mengambil-alih pemerintahan di Jembal.

Lihat Makam (Tomb of) Tok Ku Long Bahar?. Di kawasan ini juga ada makam lain yang menarik perhatian tetapi saya tak tahu milik siapa. Lihat Satu kumpulan makam di Kampung Tok Ku (A group of tombs at Kampung Tok Ku)...




Buku yang dibawa menyebut ada satu lagi makam Raja Jembal berdekatan Kedai Lalat tapi saya belum pernah sampai. Saya pun cuba mencarinya dengan menghala kembali ke pekan.

Tengok-tengok tersilap jalan, terus terlajak ke Pulau Melaka. Saya pun mengambil peluang ini untuk melihat Masjid Tok Guru yang diberi-nama sempena Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Aziz. Lagipun beliau dikatakan seorang anak cucu keturunan Raja-raja Jembal juga. Lihat Masjid (Mosque of) Tok Guru, Pulau Melaka . Selain itu saya ingin meneliti rumah Tuan Guru. Betulkah ia rumah yang amat ringkas menunjukkan kerendahan diri pemiliknya? Atau dakwaan musuhnya benar bahawa di sebalik rumah ringkas ada bahagian seperti istana disorokkan dari penglihatan orang ramai? Lihat artikel Tuan Guru Nik Aziz's humble house and Maahad Darul Anwar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Ketika menuju kembali ke Kedai Lalat, saya terasa hendak singgah melihat bangunan kayu ini.



Binaannya nampak seperti istana lama. Letaknya bersebelahan Sungai Pengkalan Datu.




Saya pun melihat dahulu sungai. Rujuk artikel Sungai Pengkalan Datu from Pulau Melaka.



Kemudian baru masuk ke bangunan kayu seperti istana lama ini. Lihat 'Istana lama' di Pulau Melaka ('Old palace' at Pulau Melaka).



Sejurus sebelum masuk ke tengah pekan Kedai Lalat ada jalan membelok ke kanan.




Namanya Jalan Sultan Omar.



Tidak lama kemudian nampak sebuah masjid di tepi jalan. Saya pun singgah. Lihat Masjid (Mosque of) Haji Nik Omar, Kampung Senang.




Berpandukan buku dan pertanyaan kepada warga tempatan saya pun dapat menemui jalan ke makam yang belum pernah disinggahi.



Papantanda yang ada terang-terang menunjukkan arah ke makam Sultan Omar.




Biar diingatkan sekali lagi Sultan Omar inilah yang dikenali sebagai Raja Udang. Baginda dikatakan memerintah dari Jembal selepas kemangkatan Raja Bahar @ Raja Ekor tahun 1675 Masihi.


Namun peliknya kebanyakan rujukan yang saya temui di Internet malah buku yang saya bawa (tajuknya "Panduan ke tempat-tempat bersejarah" Kelantan tulisan Abdul Halim Nasir, cetakan Jabatan Muzium 1979) menyebut ini sebagai makam Raja Ekor. Kalau begitu kenapakah semua papantanda menyebutnya sebagai makam Sultan Omar @ Raja Udang malah jalan besar ke sini pun namanya Jalan Sultan Omar? Lihat Makam (Tomb of) Raja Ekor alias Raja Bahar?.




Melihat pada keadaan, besar kemungkinan memang yang tadi itu makam Sultan Omar bukan Raja Ekor @ Raja Bahar sedangkan yang di hadapan Sekolah Kota Jembal itulah makam Raja Ekor bukan Sultan Omar @ Raja Udang. Apapun perjalanan diteruskan dengan menyeberangi Sungai Pengkalan Datu di satu bahagian lebih hampir ke kuala. Lihat Sungai Pengkalan Datu about 2 km downriver from Pulau Melaka.


Ketika itu sudah hampir waktu Maghrib. Hari semakin gelap.





Alhamdulillah dengan petunjuk yang ada dalam buku berserta pertolongan seorang pakcik yang sanggup membawa motosikal menunjukkan jalan, dapatlah kami sampai ke makam ini. Katanya ia ada kaitan dengan Raja-raja Jembal juga. Istimewanya ialah satu-satunya makam berbatu nesan Aceh yang pernah saya temui di Kelantan. Lihat Makam (Tomb of) Nang Chayang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan