Rabu, Disember 01, 2010

Akhirnya... bentuk 'lidah terjulur' yang masih wujud di Aceh

Setelah 5 hari membiarkan 'aura' 777 berkumandang (rujuk artikel 777, umur 40 dan tawaran terhad buku), baru saya terbuka untuk berkata-kata lagi di sini. Sebenarnya saya belum bersedia untuk membuat artikel baru yang menurut perancangannya akan menghuraikan mengenai perjalanan ke Singapura menaiki keretapi tengah bulan lalu. Tetapi melihat satu perkembangan tertentu saya terasa harus menyatakan sesuatu.




OK. Tepat 9 bulan lepas iaitu pada 1 Mac 2010 saya telah membuat sebuah artikel bertajuk Dah jumpa dah di Aceh! Bentuk "lidah terjulur" yang mengaitkannya dengan Perak.... Bacalah apa yang sudah disebut di situ. Saya begitu teruja dengan apa yang ditemui ketika itu walaupun bentuk 'lidah terjulur' atau panggilan formalnya papan kepala cicak yang ada cuma dilihat pada sebuah pintu gerbang hotel di Idi.

Semalam saya telah membuka Facebook lalu mendapati gambar sebuah masjid lama di Aceh yang masih memiliki ukiran itu telah ditag atau disambungkan ke akaun saya. Alhamdulillah, setelah beberapa lama mencari, inilah kali pertama saya melihat bentuk tersebut pada masjid yang masih wujud di sana. Terimakasih kepada saudari Harleny yang meletakkan gambar itu. Untuk pengetahuan beliau adalah seorang pengkaji yang sudah beberapa kali ke Aceh dan baru ini pergi lagi, baru sahaja kembali Isnin 2 hari lalu.

Kata Harleny yang pernah mengkaji senibina masjid-masjid lama di seluruh Semenanjung Malaysia hingga ke Patani di Selatan Thailand juga Tanah Bugis di Pulau Sulawesi selain beberapa tempat di Sumatera seperti Aceh, Rawa dan Tanah Minangkabau itulah kali kedua dia terjumpa bentuk ukiran yang saya suka panggil sebagai 'lidah terjulur' itu di Aceh. Alhamdulillah. Saya sendiri belum terjumpanya, mungkin terlepas pandang atau tidak tahu di manakah harus mencari. Lebih menarik lagi masjid yang tertera di atas ini memiliki kaitan sangat rapat dengan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, seorang raja yang dianggap pemerintah teragung Aceh. Dipanggil Masjid Poteu Meureuhom sempena panggilan hormat selepas baginda mangkat, ia memiliki mimbar berserta tongkat yang pernah digunakan Iskandar Muda semasa memberi khutbah 400 tahun lalu.

Saya rasa cukuplah meluahkan rasa tentang ini. Kalau nak tahu lebih lanjut kena tunggu Harleny sendiri bercerita di dalam websitenya Jejak Mihrab & Mimbar . Selain itu biar diletakkan links beberapa artikel lama yang mungkin ada kaitan dengan penemuan bentuk 'lidah terjulur' ini. Semoga ada pencerahan yang dapat membuka lebih jauh pengetahuan yang perlu untuk menangani cabaran akhir zaman.