Khamis, Mei 27, 2010

Projek buku keretapi : Tumpat ke Kuala Lipis sebelum kembali menaiki bas

Selepas bermalam di sebuah rumah tumpangan di pinggir bandar Tumpat kami bangun awal untuk mengejar keretapi jam 6.


Kami sampai di stesyen sekitar 5 pagi. Kami terpaksa bersiap lebih awal kerana pemandu teksi yang membawa ke rumah tumpangan cuma dapat menghantar ke stesyen pada waktu itu, disebabkan dia juga bekerja sebagai jaga di sebuah sekolah. Itu yang membuat saya bermain-main duduk di dalam sampan sebelah stesyen untuk menghilangkan kebosanan.

Jadual keretapi tempatan. Keretapi seterusnya bertolak jam 10:45 tetapi setakat sampai ke Dabong. Keretapi selepasnya pula bertolak selepas jam 2 dan sampai setakat ke Gua Musang.


Inilah keretapi yang ingin dinaiki. Namanya ialah "Seri Lanang". Kami pun bergerak, berhenti di beberapa stesyen awal pagi.


Antara stesyen tempat kami berhenti ialah Bukit Panau. Menurut cerita orang lama Kelantan di bukit inilah Hang Tuah belajar ilmu persilatan. Lihat artikel Kelantan stations early morning di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Di stesyen Temangan kami berhenti lama untuk memberikan laluan kepada keretapi ekspress.


Seorang Mat Saleh yang naik dari Wakaf Baru ikut mengambil angin di luar. Rupa-rupanya dia dan isterinya datang dari Geneva, Switzerland, masuk ke Malaysia melalui Singapura. Mereka telah berjalan ke Pantai Timur dan kini menuju ke Taman Negara.






Di stesyen Manek Urai pen saya kehabisan dakwat. Nasib baik keretapi berhenti lama, maka saya boleh masuk ke kantin. Dapatlah meminta sebatang pensil untuk menyambung penulisan...




Itulah dia, cukup sebatang pensel budak-budak dengan sebuah buku latihan sekolah rendah untuk catatan. Untuk perjalanan keretapi saya malas hendak mengusung laptop.





Perjalanan melepasi Gunung Stong di mana letaknya air terjun Jelawang yang sayup-sayup tinggi...





Melihat nama stesyen kecil ini pula terus teringat perkhidmatan bas yang dahulu paling 'glamour' di Lembah Klang.





Setelah beberapa lama sampailah ke Gua Musang.







Dua gadis Peranchis yang ditemui di dalam keretapi melambai pergi. Mereka mahu menuju ke Cameron Highlands.





Dari Dabong ke Gua Musang malah lebih jauh sehingga menghampiri Kuala Lipis kelihatan banyak bukit batu kapur menarik perhatian. Lihat The limestone hills from Dabong towards Kuala Lipis.




Masuk jam 1:30 tengahari keretapi pun sampai ke Kuala Lipis dan kami turun di sini.




Selepas makan dan bersiar-siar sejenak kami menunaikan solat di masjid lama. Lihat Kuala Lipis train station and its cute old town. Namun untuk mendapatkan bas kembali ke Kuala Lumpur kami harus pergi ke bandar baru yang mula dibuka sekitar Januari. Lihat Kuala Lipis new town.




Bas ke KL berhenti mengambil penumpang di Raub.






Hmm. Agak lama saya tidak mengambil bas dari Pahang masuk ke Kuala Lumpur. Selepas memasuki Jalan Pahang untuk menghampiri bulatan baru saya tersedar kembali akan kewujudan sebuah masjid lama yang rasanya satu-satunya masjid di Lembah Klang yang bumbungnya terdapat ukiran motif kepala cicak (saya suka panggil lidah tergantung), satu bentuk yang biasanya cuma terdapat di sebahagian Perak juga sebahagian Kedah dan Pulau Pinang. Ini membuatkan saya kemudian pergi ke situ untuk mengambil gambar. Insyaallah akan diletakkan selepas ini di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .



Rabu, Mei 26, 2010

Projek buku keretapi : Perjalanan sebenar menaiki keretapi bermula... ke Pantai Timur

Assalamualaikum. Seperti ada disebut lebih awal artikel Projek buku keretapi : Stesyen-stesyen selatan hari Sabtu... satu permulaan dan Projek buku keretapi : Stesyen-stesyen selatan hari Ahad. Apa ada di Bekok? dibuat berdasarkan gambar-gambar yang diambil bulan Februari dalam satu perjalanan ke selatan... dengan menaiki kereta. Setelah 3 bulan baru perjalanan sebenar menaiki keretapi dapat dimulakan. Maklumlah, semua ini adalah untuk satu projek buku mengenai perjalanan dengan keretapi... takkanlah sekadar melihat dari luar ya tak? :]


Sabtu 15 Mei, saya dan isteri bangun tidur jam 3:30 pagi untuk mandi dan bersiap. Jarak rumah kami ke Kuala Lumpur lebih 40 km sedangkan ikut jadual saya harus menaiki keretapi di KL Sentral jam 4.50. Di atas adalah kawasan ruang membeli tiket keretapi di KL Sentral.


Jadual waktu perkhidmatan. Kami akan menaiki keretapi Ekspress Langkawi turun ke Gemas.



Dari Gemas baru kami boleh mendapatkan keretapi lain untuk ke Pantai Timur...


Ini pula jadual perkhidmatan shuttle ke Ipoh dan balik, satu perkhidmatan yang baru dimulakan semenjak projek double-tracking atau membuat dua landasan berkembar berjaya disiapkan hingga ke bandaraya Perak itu.



Ternyata keretapi kami sampai sekitar 5:05 pagi, selepas jam 5:30 baru berlepas. Oh, lupa hendak beritahu. Bersama saya adalah jurugambar Faliq dari syarikat penerbitan Karnadya. Isteri saya sudah meninggalkan KL Sentral bersama anak...




Oleh kerana waktu masih awal, saya mengambil peluang untuk berbaring dan berehat...





Tetapi tidaklah sampai terlelap. Setiap kali keretapi berhenti atau terlihat sesuatu yang menarik kami akan cuba mengambil gambar. Lihat artikel Early morning trip from KL Sentral di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.






Keretapi kami dijadualkan sampai ke Gemas jam 8:10. Namun ia terlewat lebih sejam! Lihat On to Gemas.





Nasib baik keretapi ke Pantai Timur yang dijadualkan bergerak dari Gemas jam 9:22 juga sampai lewat malah setengah jam lambat. Dapat juga menikmati makan pagi di stesyen dengan tenang.




Perjalanan diteruskan melewati Bahau...





Seperti biasa, setiap kali keretapi berhenti kami mengambil peluang untuk menangkap gambar. Lihat From Gemas to Jerantut.











Pada ketika ini keretapi sedang berada betul-betul di atas kuala Sungai Lipis. Untuk pengetahuan itulah asal-usul nama Kuala Lipis. Sungai ini mengalir masuk ke Sungai Jelai yang seterusnya membentuk Sungai Pahang. Lihat The scenic route after Batu Sembilan.






Di Kuala Lipis kami sempat berjalan sekeliling stesyen kerana keretapi berhenti agak lama.






Perjalanan diteruskan hingga ke Gua Musang. Lihat Kuala Lipis to Gua Musang....





Keretapi Lambaian Timur yang kami naiki sepatutnya berhenti terus di Gua Musang. Kami dijadualkan menyambung perjalanan dengan menaiki keretapi tempatan hingga ke Tumpat. Namun kelewatan telah mengubah rancangan. Keretapi Lambaian Timur sampai ketika keretapi tempatan dijadualkan berlepas... maka ia disambung fungsi menjadi keretapi tempatan...



Sebagai keretapi tempatan ia harus berhenti di stesyen-stesyen kecil sepanjang perjalanan.







Keretapi terus seperti Ekspress Wau tentu akan bergerak laju dari Gua Musang ke Dabong tanpa singgah di stesyen kecil. Sedangkan banyak juga perkara menarik boleh dilihat jika kita mengambil masa untuk singgah. Lihat Gua Musang to Dabong.






Perjalanan diteruskan dengan persinggahan dibuat di beberapa tempat terutama Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas. Ketika ini langit semakin kelam.


Peliknya keretapi yang berlepas dari Gemas lebih setengah jam lambat dapat membawa kami sampai ke destinasi terakhir di laluan iaitu Tumpat satu lebih awal dari yang dijadualkan. Lihat On to Tumpat, the furthest point on the East Coast route .


Isnin, Mei 24, 2010

Masjid Realiti Nagara


OK. Pada penghujung artikel Projek buku keretapi : Stesyen-stesyen selatan hari Ahad. Apa ada di Bekok? saya ada menyebut bahawa nanti akan disajikan cerita tentang perjalanan keretapi 1,000 km meliputi laluan Pantai Timur yang dibuat hujung minggu lalu. Untuk makluman hujung minggu baru ini saya telah berjalan menaiki keretapi lagi, baru siang tadi kembali. Perjalanan yang dimulakan tengahari Sabtu ini membawa hingga ke Hatyai, Thailand. Masuk perjalanan kembali ia memakan jarak sekitar 1,200 km.

Ertinya nanti saya akan membuat cerita perjalanan Pantai Timur kemudian perjalanan laluan utara. Tapi sebelum itu biar dilepaskan satu rasa cerita yang entah kenapa timbul sebaik sahaja sampai kembali ke Kuala Lumpur.

Ceritanya begini... ada satu masjid bernama Masjid Realiti Nagara. Menurut kitab undang-undang Sayyam Puasa, batu asasnya diletak pada tahun 1670 Masihi. Masjid inipun dibina dengan tekunnya. Salah satu model binaan yang dipilih adalah berdasarkan Masjid Makala yang telah wujud sejak tahun 1400 Masihi.

Masjid yang diberi nama Masjid Realiti Nagara ini siap dibina sepenuhnya 1809 Masihi. Ketika itu Masjid Makala sudah lama hancur. Seterusnya masjid ini dihias penuh dengan segala permaidani mewah, ukiran kayu dan sebagai sehinggalah ia dibuka kepada orang ramai. Kitab Sayyam Puasa menyebut ia dibuka pada tahun 832 Masihi.

Oleh kerana kitab ini dikira mutlak belaka (semua kitab lain semua pembohong sebab ditulis oleh kafir), maka kita mestilah menerima bahawa sebuah masjid yang batu asasnya diletak pada tahun 1670 sebelum siap tahun 1809 telah dibuka pada tahun 832 Masihi. Maka dengan penuh bangga dinyatakan bahawa Masjid Realiti Nagara telah berdiri sejak hampir 1,200 tahun lalu!

Bandingkan dengan Masjid Makala yang cuma wujud tahun 1400 Masihi. Maka Masjid Realiti Nagara mesti telah wujud lebih awal bukan sebab kitab Sayyam Puasa menyebut ia dibina tahun 832 Masihi? Ingat, semua kitab lain adalah bohong belaka... kitab Sayyam Puasa sahaja yang betul. Kalau anda tak percaya bermakna anda semua talibarut penjajah kaum Yakjuj Makjuj! Nak tak nak anda mesti percaya kerana isi kitab Sayyam Puasa telah diletakkan dan disahkan di Wikipedia oleh pihak kami...

Jadi kalau Masjid Realiti Nagara telah wujud lebih awal daripada Masjid Makala, siapakah yang tiru siapa? Atau Masjid Makala tidak pernah wujud kecuali khayalan penjajah kafir belaka? Kesimpulannya Masjid Realiti Nagara lah yang mutlak wujud. Tak percaya masjid yang diletakkan batu asasnya pada tahun 1670 boleh siap dibuka tahun 832? Apalah susah sangat nak percaya? Kan Sami Value ada sebut pasal Poslaju? Punyalah laju surat, hari ni hantar semalam boleh sampai!

Siapakah manusia yang mampu membina masjid yang mula dibuat hari ini tapi boleh siap beberapa abad kebelakangan? Tak lain tak bukan para penjaga masjid yang merupakan waris pemimpin mutlak negara! Jadi kita semua mestilah percaya sebab mereka semua keturunan Syaraf Yang Maha Mulia Bani Hasyam ibni Syah Alam Pasir Berdengung. Untuk mendaulatkan kembali Nusantara anda mesti mengangkat waris mutlak Syaraf sebagai raja. Kesian... eh.. sekian... :]