Selasa, Julai 27, 2010

Jalan-jalan Perak sebelah barat : Atlantis Gangganegara?

Istimewa sempena hari ini Nisfu Syaaban...



Ini adalah kulit luar sebuah majalah tabloid bernama Kencana terbitan Mac tahun 2007. Nampak tak tajuk besar yang ingin diketengahkan? "Kota Atlantis muncul di Segari Perak"!


Pada mukasurat ini pula ada penerangan tentang subjek yang diperkatakan. Kelihatan sejumlah anak muda termasuk saya sedang duduk menonton sesuatu. Sila buka gambar di windows baru. Gambar boleh dibesarkan untuk membaca apa yang tertulis...



Sebenarnya apa yang berlaku adalah susulan dari sebuah perjumpaan yang diadakan di Manjung, Perak. Perjumpaan diadakan untuk menemukan ahli-ahli sebuah forum yang selama ini sering berinteraksi malah bertikam lidah di Internet. Boleh kata rata-rata ahli forum adalah peminat dunia perubatan tradisional Melayu, persilatan dan Tasawuf. Boleh kata semuanya meminati perkara-perkara yang bersangkutan dengan alam ghaib...




Saya sudah lupa tarikh perjumpaan tetapi masih ingat bagaimana saya berkejar turun dari Gunung Jerai di Kedah untuk ke Ipoh, Perak seterusnya Manjung demi perjumpaan ini. Semasa itu saya sedang dalam satu siri perkelanaan solo berjalan kaki, menaiki kenderaan awam juga hitchike atau menumpang kenderaan orang keliling Semenanjung. Walaupun perjalanan yang dibuat dalam masa 2 bulan itu meliputi begitu banyak tempat malah sebelum turun dari Gunung Jerai saya telah naik hingga ke puncak dengan berjalan kaki dari jam 6 petang hingga 9 malam, entah kenapa saya tidak membuat ceritanya di blogspot ini. Sebaliknya pengalaman cuma dilepaskan dalam blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH.

Kedatangan saya ke Manjung menandakan siri perkelanaan itu semakin tamat. Lihat sidebar kanan bahagian bawah blogspot ini, di bawah tajuk "Perjalanan dua bulan Pantai Timur, Selatan lalu ke Utara pula...". Hmm... biar dicopy and paste penerangan...

Satu perjalanan yang dimulakan dengan niat mahu menghadiri majlis perkahwinan seorang sepupu di Kuala Terengganu tetapi boleh terlajak bas sampai ke Kota Bahru. Kemudian saya diserang sakit beguk pula lalu rancangan perjalanan terpaksa diubah... Asalnya dari Kelantan mahu ke Kedah tetapi ditukar turun ke Pahang sebelum kembali ke Johor lalu pergi menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan keluarga di Muar. Setelah itu barulah dapat berjalan lama di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis sebelum ke Perak... Sempat mendaki Gunung Jerai seorang diri pada satu malam Jumaat...

Oh... anda juga boleh mengekori cerita melalui link-link yang telah dikumpulkan dalam artikel Mengenang kembali pengembaraan 2 bulan Disember 2006-Februari 2007, dibuat Oktober 2007. Silalah... :]

Namun cerita tentang perjumpaan di Manjung tidak pernah disampaikan dalam mana-mana blogspot saya. Kalau ada pun ia cuma disebut sepintas lalu. Kiranya inilah artikel pertama yang ada menyebut panjang-lebar tentang perjumpaan ini. Adalah suatu perkara yang menarik juga melucukan apabila melihat cerita perjumpaan diletakkan di dalam sebuah majalah tabloid yang pernah memiliki pembaca dari seluruh Malaysia. Lebih menarik lagi apabila gambar saya bergurau membuat aksi pertapaan ketika berada di Pulau Pangkor pun boleh dijadikan satu tajuk yang agak serius...




Oh... selepas perjumpaan, beberapa orang ahli forum telah mengikut saya berjalan ke Pulau Pangkor. Ini ada disentuh dalam artikel bertajuk Pulau Pangkor dalam kenangan. Kami telah pergi ke beberapa tempat termasuk Kota Belanda, juga apa yang disebut sebagai Batu Bersurat Pangkor. Kami juga sempat menziarahi makam Kulop Mentok seorang panglima Bugis yang agak terkenal kerana berjaya mengalahkan dan menghalau Belanda dari Pulau Pangkor abad ke 17 Masihi.

Sebenarnya majalah tabloid Kencana dikelolakan oleh seorang ahli forum yang turut ikut ke Pulau Pangkor. Mungkin ahli forum yang dikenali sebagai AbnormalSuam ini sedang kekurangan bahan, mungkin juga kerana terlalu seronok. Beliau pun memaparkan beberapa cerita tentang perjumpaan juga apa yang berlaku dan dapat dikumpul di Pulau Pangkor. Rasanya inilah satu-satunya majalah peringkat nasional yang ada memaparkan cerita perkumpulan kawan-kawan secara suka-suka!



Saya juga turut menyumbangkan artikel untuk majalah Kencana. Ini bermula selepas saya menghadiri majlis pengembalian jasad moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke makam diraja Perak. Lihat Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan.... Atas permintaan AbnormalSuam yang terasa ada perkara menarik boleh dikongsikan kepada orang-ramai, satu siri baru pun dimulakan di Kencana...


Adapun 3 edisi Kencana sebelum yang ini memaparkan cerita-cerita berkaitan pengembalian jasad Laksamana dengan sejarah negeri Perak. Masuk edisi ini pula saya beralih pada cerita-cerita lain bermula dengan daerah kelahiran saya, Muar.


Sekarang barulah kita boleh kembali kepada siri penceritaan yang sedang berjalan di blogspot ini, bersambung daripada artikel Jalan-jalan Perak sebelah barat : Makam Puteri Bunian, jejak kegemilangan Beruas Gangganegara. Ia tetap ada kena-mengena dengan isi yang dipaparkan dari majalah Kencana... kerana selepas melihat pohon Beruas di hutan simpan, saya pun bergegas membawa anak dan isteri untuk melihat lokasi yang dikatakan terdapatnya pusat kerajaan Atlantis yang amat misteri itu...




Lokasi itu terletak di sebalik bukit-bukit Segari. Nah... ini harus dapat menjawab di manakah letaknya lokasi dalam artikel Medan elektrostatik Atlantis? yang dibuat 2 bulan lalu. Semasa itu saya mahu pembaca meneka di manakah tempat yang tertera. Sekarang biarlah didedahkannya...





Ia terletak berhampiran stesyen janakuasa...











Di perairan yang kelihatan inilah letaknya pusat kerajaan Atlantis (atau seperti Atlantis) yang ditunjukkan dalam majalah Kencana. Lihat balik video klip pada artikel Medan elektrostatik Atlantis?. Hmm... saya letak di sini juga ya...


Keadaan rambut saya di tempat itu. Lihat video klip di bawah...






Oh... ini adalah artikel ke 707 di blogspot ini. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat kembali sihat dan bekerja kepada sahabat saya, saudara AbnormalSuam yang baru sahaja menjalani pembedahan jantung 2 minggu lalu. Bila melihat balik tajuk artikel ini pula baru saya teringat... kenapa disebut "Atlantis Gangganegara"? Sebab lokasi 'Atlantis' ini terletak di sebalik bukit-bukit Segari yang pada saya terasa seperti pusat kerajaan Gangganegara. Mungkin Gangganegara itu sendiri adalah warisan dari 'Atlantis'? :]


3 ulasan: