Rabu, November 18, 2009

Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Menziarahi makam-malam lama seorang diri dalam kegelapan malam

OK. Setelah memakan roti dengan telur goreng dan keju yang disediakan isteri yang tiba-tiba terjaga (alhamdulillah, isteri sendiri sanggup buat malam-malam tanpa dipinta) diikuti secawan milo, baru saya bersedia untuk menutup sesi bercerita. Bersambung dari artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Bukit Keledang dan Pulau Duyong sebagai 'pusat' merancang cerita...


Selesai berbuka puasa di pantai, kami sekeluarga pun masuk ke Masjid Terapung...


Rukun Islam yang ini pun ditunaikan sebelum menyambung apa-apa perjalanan...


Ah! Kenapa pula gelap ini? Di mana ni? Takkan masjid black-out kot?


Sebenarnya gambar di atas dan yang ini diambil di sebalik kegelapan malam di tanah perkuburan Sheikh Ibrahim berhampiran bulatan Kampung Ladang (dahulunya ada patung penyu besar sebelum digantikan dengan replika gergasi Batu Bersurat Terengganu!). Seperti disebut dalam artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Bukit Keledang dan Pulau Duyong sebagai 'pusat' merancang cerita..., saya ingin menziarahi sebanyak makam utama yang boleh dan di kawasan ini terdapat banyak makam. Oh, makam Tok Pelam terletak di tanah perkuburan lain tidak jauh dari sini. Tanah perkuburan Sheikh Ibrahim pula mendapat nama sempena seorang ulamak sedangkan di tanah perkuburan itu terdapat mungkin beribu pusara lama dengan berpuluh daripadanya milik raja-raja dan kerabat serta para ulamak besar!




Antaranya ialah Tok Sheikh Duyong. Jika Tok Pelam mendapat nama itu kerana pernah bermastautin di Kampung Pelam, Hulu Terengganu. Tok Sheikh Duyong yang nama sebenarnya ialah Wan Abdullah bin Wan Muhammad Amin pula pernah duduk di Kampung Duyung Kechil, Pulau Duyung. Hmm... mana ejaan nak ikut ni? Duyung ke Duyong? Mana-mana aje lah. Asalkan boleh faham...



Ini pula adalah makam Sheikh Abdul Kadir Bukit Bayas, seorang lagi ulamak besar Terengganu yang sezaman iaitu abad ke 18 hingga ke 19.





Namun seluruh tanah perkuburan ini diberi nama sempena Sheikh Ibrahim (saya lebih suka ejaan Sheikh daripada Syeikh). Nampaknya nama beliau mengatasi nama Tok Sheikh Duyung, mahupun Sheikh Bukit Bayas malah beberapa orang Sultan Terengganu yang turut dimakamkan di sini...






Apakah keutamaan Sheikh Ibrahim sehingga namanya seolah-olah mengatasi kesemuanya? Persoalan ini pernah saya bangkitkan dalam artikel Kawasan pemakaman (the tomb area of) Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu... yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih setahun lalu...






Dalam artikel itu anda boleh melihat pemandangan tanah perkuburan ini waktu siang. Turut diketengahkan adalah pintu gerbang...






Sepanjang saya menziarahi makam-makam tadi, isteri dan anak-anak ditinggalkan di taman permainan kanak-kanak di Pantai Batu Buruk. Kemudian baru saya mengambil mereka, singgah sebentar di Losong untuk menikmati keropok lekor segar yang baru digoreng panas... lazat!




Seterusnya saya membawa mereka ke Masjid Tokku Paloh di Kampung Paloh. Di sinilah baru saya dapat solat Tarawikh bersendirian sebelum meneruskan proses mengkhatamkan Al-Quran...




Ini diikuti ziarah ke makam-makam ini di Jalan Makam Lama, Chabang Tiga. Sebenarnya sebelum itu saya sempat juga ke makam Tok Ku Paloh 500 meter dari masjidnya, juga makam ayahanda beliau Tok Ku Tuan Besar di sebuah masjid lain di Chabang Tiga. Kesemua makam-makam yang disebut ini saling berkait. Sila lihat artikel Keluarga besar Tokku Paloh, wali agung Terengganu abad ke 19 Masihi... yang dibuat tahun lepas.






Isteri dan anak-anak setakat menunggu sahaja dalam kereta sementara saya berjalan jauh seorang diri masuk ke tanah perkuburan untuk sampai ke makam-makam tersebut. Dengan ini baru saya rasa puas hati... yang tinggal cuma makam-makam diraja di sekitar Masjid Abidin yang juga dikenali sebagai Masjid Putih dan letaknya cuma sekitar 300 meter sahaja dari rumah penginapan yang kami duduk. InsyaAllah esoknya sempat berziarah... sebelum kami bergerak ke tempat lain lalu keluar meninggalkan Kuala Terengganu kerana anak-anak perlu dipulangkan ke Kelantan hari Isnin.

Selesai sudah penceritaan untuk sesi kali ini. Kalau tiada aral melintang cerita akan disambung siang nanti. Selamat malam, eh selamat pagi buta! :]


1 ulasan:

  1. Saya dari keturunan Tok Sheikh Abdul Qadir Bukit Bayas jg merupakan keturunan Tok Sheikh Duyong. Beberapa kitab2 tulisan tangan milik beliau, masih bersama saya. Saya juga dalam proses nak warwarkan sejarah tentang mereka berdua.

    BalasPadam