Rabu, November 18, 2009

Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Bukit Keledang dan Pulau Duyong sebagai 'pusat' merancang cerita...

Setelah berjam-jam bersengkang mata untuk menerbitkan artikel-artikel baru di blogspots
BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) demi menyokong penceritaan di sini, baru saya boleh menyambung dari artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Buka puasa di Pantai Batu Buruk dan solat tarawikh di Masjid Kristal . Ish... dah lewat malam sangat ni. Apa boleh buat? Gerak kerja harus diteruskan hingga tamat...


Pagi Sabtu hari ke 8 berpuasa bulan Ramadhan. Sampai masa untuk meneroka lagi Kuala Terengganu. Kelihatan dalam gambar padang di hadapan rumah penginapan... terdapat beberapa buah kubur lama sedangkan di sisi kiri terdapat pula stesyen teksi utama...





Kami membuka hari dengan berjalan kaki ke kedai-kedai sekitar stesyen bas utama...




Kemudian melihat kedai-kedai yang terdapat di bahagian atas stesyen.





Selepas itu baru saya mengambil kereta untuk berjalan. Sekali lagi kami melalui kawasan Kampung Cina...

Dari situ sudah dekat ke Bukit Keledang...

Apa yang terdapat di bukit ini? Kita naik dahulu. Lihat isteri saya cukup bersemangat menaiki tangga walaupun sedang mengandung 8 bulan. Anak-anak juga turut bersemangat walaupun semuanya sedang berpuasa dan hari sedang panas...




Agak-agak dah tahu tak apakah yang terdapat di sini? Sssshhh... siapa yang dah tahu duduk diam-diam.. Biar yang lain terus berteka-teki...




Di sini saya dan isteri mendapat satu ilham baru sebagai aktiviti untuk anak-anak...






Di sini, di hadapan makam Sultan pertama Terengganu dari dinasti sekarang yang berketurunan Bendahara Melaka dan Johor, Sultan Zainal Abidin I yang memerintah awal abad ke 18, anak-anak diminta mula mencatit butir-butir perjalanan yang telah dibuat dan bakal dilalui, untuk melatih mereka agar pandai menulis sendiri...





Oh. Tidak jauh dari makam Sultan Zainal Abidin, terdapat sebuah makam lama yang dipercayai milik Megat Panji Alam, seorang pahlawan Terengganu yang disebut terbunuh akibat berlawan dengan Hang Tuah lima bersaudara.






Dari Bukit Keledang kami terus ke jambatan utama menyeberangi Sungai Terengganu...






Destinasi kami ialah Pulau Duyong di mana terdapat sebuah kota lama. Lihat artikel Kota Lama (Old fort of) Duyong yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih awal tadi.




Selain itu kami juga ingin menikmati pemandangan yang boleh dilihat dari Pulau Duyong...





Kami turut mengambil peluang menaiki bot menyeberangi Sungai Terengganu. Kiranya sambil menyelam minum air le gitu walaupun kami cuma naik bot bukannya kapal selam... :]





Bukan apa, selain dapat membawa isteri dan anak-anak berjalan, kami juga dapat mengatasi masalah letak kereta. Sebenarnya sebelum ke Kampung Cina kami telah melalui tepian Bukit Puteri dan Pasar Payang... ternyata persekitaran ketika itu amat sibuk sekali. Sedangkan perjalanan ke Pulau Duyong yang berlaku tanpa dirancang, perjalanan yang sebenarnya dibuat akibat tidak dapat meletakkan kereta di sekitar Pasir Payang membuka satu kemungkinan baru...




Dengan meninggalkan kereta di Pulau Duyong, kami dapat menaiki bot menyeberangi sungai lalu turun betul-betul di sebelah Pasar Payang. Jeti tempat kami turun menghadap terus ke Bukit Puteri lalu dapatlah kami melihat pemandangan di atas selain menziarahi makam Sayyid Yassin yang kelihatan ini, moyang utama keluarga Al Yahya atau Ben Yahya bagi seluruh Malaysia...





Itulah juga kali pertama saya naik ke Bukit Puteri melalui pusat membeli-belah cantik yang baru dibuka di kaki bukit. Dalam perjalanan-perjalanan lalu, pusat membeli-belah ini belum ada dan kemudian masih dalam pembinaan pula.





Bagi isteri dan anak-anak inilah kali pertama mereka sampai di sekitar ini...





Kami pun berjalan-jalan melihat jualan di Pasar Payang. Sekitar 2 jam kemudian baru kembali ke Pulau Duyong, maklumlah perlu mengambil kereta kami di sana. Sila lihat artikel-artikel yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Ia memaparkan sejumlah gambar-gambar di Pulau Duyong, Bukit Puteri juga dalam perjalanan menaiki bot pergi dan balik...

Views from Pulau Duyong, Kuala Terengganu
Seterusnya kami kembali ke bandaraya Kuala Terengganu untuk berehat di hotel atau rumah penginapan...


Oh. Saya sudah lupa bila pula ke sini, ke makam Tok Pelam yang terletak di tanah perkuburan berhampiran bulatan jalan di Kampung Ladang, apakah sebelum kembali ke tempat menginap atau kemudian. Apapun, saya cuba menggunakan segala keluangan waktu yang ada untuk menziarahi sebanyak mana makam utama yang boleh, salah satunya makam yang kelihatan amat terserlah ini. Lihat artikel baru Makam (Tomb of) Tok Pelam di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Yang pasti, petang itu selepas mandi kami sekeluarga pergi ke Masjid Tengku Zaharah atau Masjid Terapung di Kuala Ibai.




Di kawasan tempat letak keretanya terdapat sebuah bazar Ramadhan... lupa pula hendak mengambil gambar. Di sini kami membeli juadah untuk berbuka puasa, salah satunya adalah hidangan gulai kawah yang amat menyelerakan...




Kami berbuka puasa di tepian pantai berdekatan masjid. Hmm... dah terasa lapar sangat pula ni. Biar saya makan dahulu ya. InsyaAllah, selepas ini akan dibuat satu cerita untuk menutup aktiviti hari itu. Nanti...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan