Jumaat, Ogos 17, 2007

Apa ada di Sikh, Kedah?

Ya! Apa ada di Sikh, Kedah? Yang pasti, tiada hotel murah Cina, tidak seperti di kebanyakan bandar dan pekan di Malaysia. Maka biar disambung cerita terus daripada artikel Sejenak di Baling, Kedah.
Seperti disebut pada akhir artikel itu, saya hendak meninggalkan Baling. Rancangnya mahu ke Alor Setar. Saya sampai ke stesyen bas selepas jam 6 petang sementara bas seterusnya ke Alor Setar yang merupakan bas terakhir ke sana akan bertolak jam 7.30 petang.
Dalam pada itu, saya sedang menunaikan puasa 1 Rejab. Terfikir juga, kalau naik bas 7.30 itu, apakah sempat berbuka puasa atau saya akan terkejar-kejar?
Tidak lama kemudian sampai pula bas ke Sikh jam 6.30 petang. Saya sudah malas menunggu lama dan terasa ingin menerukan perjalanan walau ke mana. Lagipun daripada Sikh boleh juga ke Alor Setar. Apalagi saya pun terus naik bas itu...

Saya sampai ke Sikh sejurus sebelum masuk waktu Maghrib. Ternampak pula sebuah pasar malam...

Gambar di atas diambil ketika langit hampir gelap tapi entah kenapa ia boleh kelihatan terang pula dalam kamera. Yang pasti, ketika itu saya sedang mencari hotel murah yang boleh dijadikan tempat penginapan. Kemudian sempatlah berbuka puasa secara ringan dengan sekotak minuman...
Adapun kali terakhir (dan rasanya kali pertama) saya menjejakkan kaki di Sikh adalah pada tahun 1997, semasa mengembara seorang diri menaiki motosikal besar keliling Semenanjung Malaysia. Ketika itu saya sedang menghala ke Tasik Pedu lalu singgah ke Sikh yang terletak dalam perjalanan. Memandangkan semasa itu saya cuma singgah tidak sampai sejam, elok juga kali ini saya bermalam... Tapi bermalam di mana ya? Kalau boleh saya mahu berehat panjang tanpa diganggu orang...

Ternyata di Sikh tidak ada hotel Cina murah yang boleh disewa pada kadar sekitar RM20 satu malam. Yang ada cuma rest house dengan kadar sewa RM60-RM70 (menurut kata orang lah, saya pun tak singgah tapi saya pasti begitulah kadarnya. Nak check sendiri, perlu berjalan kaki jauh lagi)... Maka, mahu tak mahu saya harus mencari masjid juga...

Walaupun memang saya biasa tidur masjid ketika mengembara, ada kalanya saya begitu kepenatan dan tidak mahu diganggu kerana kalau tidur di masjid, saya kena bangun seawal jam 5 pagi. Ini kerana siak, bilal atau pembantu masjid datang awal kerana perlu bersedia untuk solat berjemaah Subuh... Lainlah di hotel, sukahati nak bangun pukul berapa.


Dalam pada berjalan-jalan melihat sekitar kawasan Masjid Jamek Baling pada pagi keesokannya itu, saya ternampak lagi sudut yang sesuai untuk menggantung poster promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh"...


Adapun masjid itu terletak di tepi jalan utama menghala ke beberapa tempat termasuk Tasik Pedu... Maka poster itu boleh dilihat oleh ramai orang.


Melihatkan sebuah poster di tepi kolam wudhuk masjid mengatakan "merokok adalah haram", teringat usaha saya sendiri untuk berhenti rokok. Cerita susah-payahnya pernah saya nukilkan dalam sebuah forum lalu dikumpulkan bahagian yang relevan untuk dijadikan satu artikel dalam blogspot ini Disember lalu... Tajuknya ialah Bukan senang woo nak berhenti rokok!

Untuk makluman, setakat ini saya masih bertahan tidak merokok walaupun senafas setelah usaha berhenti serta-merta dimulakan sejak Ramadhan lalu. Tetapi saya masih tidak berani mengaku berjaya berhenti merokok kerana ada ketikanya saya masih terasa mahu menarik senafas dua asap rokok setakat untuk memuaskan rasa gian yang kadangkala muncul menganggu. Maklumlah hati kita ini boleh dibolak-balikkan Tuhan begitu sahaja...

Cukuplah kita berusaha sebaik mungkin dan mengharap agar Allah merestui usaha kita. Kalau kita berbangga kerana berjaya melawan godaan berhenti rokok, mungkin Tuhan akan marah lalu menimbulkan rasa gian yang tak terlawan... Mungkin sebagai peringatan bahawa kita ini cuma makhluk yang lemah. Jangan pandai-pandai mengaku boleh berbuat itu dan ini atas kekuatan diri sendiri...

Ingat! Segala-galanya berlaku atas rahmat Nya jua... Begitu juga kita mampu bersolat kerana Allah memberi kita Qudrat dan Iradat untuk bersolat. Kalau tidak, mungkin kita menjadi lemah badan untuk bersolat atau badan kita kuat tetapi kita dilalaikan. Masyaallah!


Ini pula adalah gambar yang diambil sebelum saya meninggalkan pekan Sikh. Oh... Sebelum itu, saya ke Internet Cafe lagi untuk melihat perkembangan terbaru di dunia siber. Sempat menggantung poster promosi BKA di hadapan stesyen bas Sikh seperti yang terpapar di bawah... :]




Tiada ulasan:

Catat Ulasan