Selasa, Mei 29, 2007

Ilham pagi Ahad

Hmm... Dalam kesibukan menulis posting sebelum ini untuk mengajak para pembaca sekalian agar turut terlibat sama mewar-warkan siri buku "Berpetualang ke Aceh", timbul pula rasa untuk mencoretkan bagaimana boleh timbul ilham untuk mencipta poster berkaitan. Untuk makluman, pada pagi Ahad yang berkat itu, saya bukan sahaja mendapat mendapat gerak membuat reka-bentuk tertentu sehingga berjaya menyiapkan poster itu malah turut mendapat ilham tak kunjung putus lalu dapat membuat name-card untuk diri saya juga kulit buku BKA III yang memiliki sub-title "Sirih pulang ke Gagang?"
Dari satu segi, ini tidak menghairankan kerana sudah sepatutnya saya mempunyai poster untuk mempromosi siri buku BKA memandangkan jilid pertama sudah pun berada di pasaran sejak hampir setahun lalu. Name-card sebagai pengenalan diri pula merupakan satu keperluan profesional terutama setelah menjadi penulis dan penerbit persendirian yang harus berinteraksi dengan pelbagai pihak terutama ketika membincangkan hal-hal berkaitan penjualan buku.
Begitu juga, kemunculan ilham untuk mengolah kulit buku BKA III bukanlah sesuatu yang memeranjatkan. Walaupun belum pasti bila ia akan diterbitkan, ramai yang mengenali saya sedia maklum, buku "Berpetualang ke Aceh" memang mempunyai 3 jilid yang pada saya wajib diselesaikan jika ingin kembali hidup normal seperti orang lain.
Oh... Yang dimaksudkan hidup normal adalah hidup berkeluarga beranak-pinak berumah-tangga tanpa perlu lagi selalu sangat mengembara mengikut gerak-hati sehingga ada yang menganggap saya sudah gila seperti yang berlaku beberapa tahun kebelakangan. Perihal BKA ini mempunyai 3 jilid ada diceritakan dalam bab penutup BKA I iaitu "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti". Jadi kenapa pula perlu ada buku tambahan?
Sebenarnya sudah lebih setahun saya mendapat ilham akan kemungkinan wujudnya buku ke empat atau BKA IV malah siap berserta sub-title nya sekali iaitu "Kembali ke Makam Nenda". Tetapi, saya cuma akan menulis buku ini jika diTakdirkan dapat membawa seseorang yang penting dalam hidup saya kembali ke Aceh terutama ke makam Sultan Malikus Salih. Jadi apa perlunya saya membuat kulit untuk sebuah buku yang belum tentu akan wujud?
Apapun, itu soal lain. Apa yang ingin diceritakan di sini ialah turutan peristiwa yang akhirnya membawa saya untuk berehat seorang diri di sebuah rumah keluarga di Kajang pagi Ahad lalu muncul ilham untuk melaksanakan beberapa perkara terutama mencipta poster promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh".
Adapun pada malam sebelumnya, 26 Mei 2007, saya telah pergi menghadiri majlis tahlil sempena 44 hari kembalinya almarhum Ustaz Wan Muhammad Saghir yang diadakan di Dewan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Taman Melewar, Gombak. Cerita mengenai majlis ini ada ada dinukilkan di Tahlil 44 hari almarhum Ustaz Wan Saghir.
Oleh kerana ia bermula jam 9 malam, saya perlu bersedia untuk tidur di masjid atau mana-mana tempat lain kerana penghuni rumah ibu saudara di Ampang tempat saya menumpang sekarang semuanya tidur awal. Sebelum jam 11 lagi mereka telah melelapkan mata dan masuk jam 12 sistem alarm pula mula beroperasi penuh. Maka sudah menjadi adat dan adab bagi saya yang sekadar hidup menumpang supaya tidak melanggar tatatertib hidup di rumah itu lalu saya akan tidur di luar kalau tidak dapat pulang dalam waktu yang munasabah.
Pada mulanya saya telah berkira-kira akan kembali ke sebuah rumah milik keluarga di Kajang sebaik sahaja majlis selesai tetapi ini akan membuat saya terburu-buru. Bayangkan, majlis tahlil bermula jam 9... Dengan ramai hadirin ingin memberikan hormat terhadap almarhum ustaz, sudah tentu tidak manis jika saya meninggalkan majlis (yang termasuk sesi, ucapan tetamu-tetamu kehormat, makan-minum dan sedikit berbual-bual) terlalu awal.
Telah diTakdirkan, majlis tamat selepas jam 11 malam. Sudah tentu saya yang mengharapkan pengangkutan awam tidak akan sempat mendapatkan keretapi komuter yang perlu diambil daripada pusat bandaraya Kuala Lumpur. Maka itu apabila pembantu almarhum, Ustaz Azrul bertanya ke manakah saya akan pergi malam itu, jawab saya ikut aje le gerak hati akan bawa ke mana, mungkin tidur masjid, mungkin berjalan ke tempat lain.
Daripada Dewan Sheikh Daud, saya terfikir samada akan berjalan kaki utara ke Taman Greenwood lalu pergi ke kedai makan Minang untuk menikmati sate padang atau pergi selatan menghala ke Sungai Mulia. Kebetulan, beberapa orang hadirin majlis sedang menuju ke kereta dan mereka menghala ke utara, lalu saya ditumpangkan ke Taman Greenwood.
Selesai menikmati sate padang, saya terus berjalan kaki ke kawasan Plaza Idaman, atau lebih dikenali sebagai Ong Tai Kim sempena nama sebuah supermarket di sana. Dalam perjalanan itu saya setakat berhenti untuk buang air besar serta mandi malam di sebuah masjid kemudian di Plaza Idaman, saya masuk ke sebuh Internet Cafe untuk menulis cerita mengenai majlis tahlil 44 hari almarhum Ustaz Wan Saghir di dalam blogspot ini.
Selesai kesemuanya, saya turun ke kedai makan untuk minum teh halia. Ketika itu waktu sudah melepasi jam 3 pagi. Jika mahu, saya boleh terus berehat di sekitar kawasan itu temasuk di masjid tetapi entah kenapa, timbul pula rasa untuk berjalan kaki sampai ke pusat bandaraya, Dipendekkan cerita, saya berjalan tanpa henti sampai ke Medan Tuanku, satu perjalanan hampir 10km (mungkin lebih?) dan sampai ke sana selepas jam 5!
Di sana, saya berehat sebentar untuk makan awal pagi, ada le sampai jam 6 kemudian mengambil monorail untuk ke KL Sentral. Selepas solat Subuh, saya terus mengambil keretapi komuter ke Kajang. Sebaik sahaja sampai ke rumah, saya terus tidur untuk menghilangkan penat-lelah.
Jam 11 pagi, saya terbangun lalu tergerak membuka komputer. Secara automatik, timbul gerak ilham untuk membuka program Photoshop lalu bermain-main dengan beberapa gambar berserta text berbagai ragam. Dalam keadaan itulah terbitnya poster untuk mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh", seterusnya name-card, diikuti rekabentuk kulit buku BKA III malah BKA IV sekali!
Subhanallah! Cukuplah gerak untuk saya bercerita tentang hal ini. Wassalam!

2 ulasan:

  1. salam...
    nice:-)
    syed ikhwan

    BalasPadam
  2. Wassalam!
    Jangan lupa 9 Jun kat Khazanah Fathaniyah di Chow Kit... :]

    BalasPadam