Selasa, Mei 29, 2007

Confirm! Pelancaran BKA di Khazanah Fathaniyah Sabtu 9 Jun!

Buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II telah berada di kedai Khazanah Fathaniyah sejak Rabu 16 Mei 2007. Untuk makluman, ia adalah KEDAI PERTAMA DI MALAYSIA yang ada menjual buku ini!

Pengumuman! Sukacita dimaklumkan, semua pihak yang terlibat menyelenggarakan kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit termasuk para pembantu kanan almarhum Ustaz Wan Saghir serta waris kanan almarhum telah bersetuju agar pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh" diadakan di situ, Sabtu 9 Jun selepas Zuhur, lebih tepat lagi jam 2.30 petang. Maka itu saya menjemput para pembaca sekalian, saudara dan saudari, kenalan dan kawan-kawan supaya hadir untuk memeriahkan suasana. Untuk makluman, majlis ini diadakan untuk turut memperingati usaha dan perjuangan almarhum Ustaz Wan Saghir yang kembali ke rahmatullah lebih 44 hari lalu di samping mempromosi hasil-hasil kerjanya yang menjadi koleksi penerbitan Khazanah Fathaniyah.
Adapun majlis ini adalah majlis budget yang dicetuskan hasil cadangan seorang pembaca yang memakai nama AbuZahrah agar ditetapkan satu hari di mana mereka yang meminati siri buku BKA dapat berjumpa dan bersuai-kenal dengan saya sebagai penulis. Maka saya tidak dapat menjanjikan apa-apa juadah ataupun keseronokan keduniaan kecuali mengeratkan ukhuwah yang dapat menghubungkan kita saudara Melayu Islam walaupun datang daripada pelbagai aliran pengajian samada Tabligh, persilatan, perubatan mahupun golongan Tariqat dan Hakikat.
Apapun, saya akan cuba menghubungi pihak media agar ia mendapat liputan yang sewajarnya supaya dapat menolong membangkitkan semangat semua yang terlibat untuk berkarya dan berjuang demi mendaulatkan Islam. Sekurang-kurang, kita dapat memberi isyarat bahawa berkarya melawan arus zaman dalam menceritakan kekuatan tersembunyi Melayu Islam seperti yang saya lakukan dengan siri buku "Berpetualang ke Aceh" bukanlah perbuatan yang sia-sia walaupun sebelum ini tidak mendapat sokongan. Percayalah, jika kita sanggup mengorbankan jiwa dan raga untuk menegakkan haq, maka Allah Al-Haq sedia membantu lalu membuka jalan.
OK... Saya difahamkan, tak ramai yang tahu di manakah letak kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit ini. Adapun alamatnya ialah:

Khazanah Fathaniyah,
486-G, Jalan Tuanku Abdul Rahman,
50100 Kuala Lumpur.

Untuk apa-apa pertanyaan, boleh hubungi Ustaz Halim (013-3564496) atau Ustaz Azrul (016-3520094).

Cuma masalahnya kedai ni mungkin orang tak perasan sekali lalu sebab belum diletakkan papan tanda perniagaan. Maka itu saya ambil gambar di bawah supaya senang sedikit orang cam kedudukannya yang terletak hampir dengan persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Chow Kit, cukup dekat dengan stesyen monorail Chow Kit atau dipanggil "pulau". Tengok ni...


Kedai tak bertanda di sebelah kiri Restoran Hj Nowo itu adalah kedai Khazanah Fathaniyah

Ini pula gambar dari sudut lain. Kalau sebut dekat Pasaraya Yoon Thye, rasanya semua orang kat Chow Kit tahu duduk letaknya...

Kalau susah nak cam dengan gambar, lihat sahaja peta di bawah yang baru saya buat beberapa hari lalu ya...
Mari! Mari kita bersama memeriahkan majlis pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh" di samping mengenang sumbangan serta perjuangan almarhum Ustaz Wan Saghir dan menaikkan hasil-kerja Khazanah Fathaniyah untuk khalayak yang lebih luas!
Jumpa kita di Chow Kit, Sabtu 9 Jun 2007, selepas Zuhur, jam 2.30 petang, Insyaallah! :]



Tiada ulasan:

Catat Ulasan