Salam petang Jumaat 21 Syawal 1447 Hijriah. Pergi pada majlis ilmu ketiga diikuti daripada 3 yang diadakan secara berturut di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Bersambung daripada Hamzah Fansuri menurut sarjana Iran.
Gambar ini diambil sebelum menunaikan solat Subuh berjemaah pagi tadi 10 April 2026. Saya telah menginap malam Jumaat di masjid ISTAC.
Kembali ke ISTAC dapat tempat parkir terdekat ke pintu masuk utama selain yang sudah ditanda untuk kedatangan VIP. Untuk makluman masjid ISTAC selalu didatangi orang berkedudukan tinggi. Antaranya disebabkan merupakan satu-satunya masjid dalam kawasan elit mewah Bukit Tunku.
Poster bagi majlis ilmu yang mahu diikuti. Ia adalah yang ke-4 dalam siri bagi menajamkan fikiran kritikal penuntut ilmu. Saya telah mengikut yang pertama juga kedua. Lihat artikel-artikel berikut :-
Nasib baik siri seterusnya, yang ketiga, dijadualkan berlangsung 6 Mac iaitu sebulan selepas itu. Bukan setiap 2 minggu seperti cadangan asal. Tapi apabila sampai masanya didapati tubuh badan tak larat untuk pergi. Malah fikiran pun terasa tak larat lalu tidak mengikuti walau sesi atas talian yang boleh dicapai dari rumah ataupun mana-mana.
Sebetulnya saya dilanda batuk, demam, selesema yang berlarutan sejak berada di Mekah dicampur jiwa terasa kurang beres, mungkin kesan akibat ibu meninggal dunia hampir penghujung tahun lalu. Dengan itu tidak mengikuti apa-apa majlis ilmu, sampailah yang diadakan di ISTAC 2 hari lalu. Lihat Tentangan Iran terhadap usaha penjajahan Amerika-Israel.
Yang terlepas itu adalah tentang membuat penilaian suatu perkara. Yang ini adalah tentang membuat telahan bijak berdasarkan maklumat yang ada juga situasi suatu perkara.
Telahan yang bijak dapat merapatkan jurang yang wujud akibat kekurangan maklumat.
Ia adalah satu kemahiran teras dalam pemikiran kritikal.
Dengan kemahiran tersebut dapat membuat pertimbangan cepat juga mengemudi situasi yang rumit.
Ia memerlukan beberapa kemahiran cabang.
Pertama, menyoal setiap bukti yang ada.
Kedua, menduga pilihan-pilihan lain selain yang sedia ada.
Ketiga, membuat kesimpulan.
Oh. Yang dikongsikan ini tak sampai separuh daripada slaid yang membantu syarahan. Habis majlis jam 12.30 menjengok ke luar lalu mendapat tempat-tempat parkir terdekat semua sudah dipenuhi.
Orang ramai kemudian memenuhi sehingga habis perkarangan luar dewan sebelum masjid.
Gambar ini pula diambil baru sebentar tadi jam 3.38 petang. Saya memulakan penulisan artikel ini selepas orang ramai keluar, selesai solat Jumaat. Dari sudut kegemaran berseorangan di masjid.
Sukacita dimaklumkan dalam 3 hari kebelakangan keluar bermusafar lalu dapat mengikuti 3 majlis ilmu di ISTAC secara berturut saya mendapat kemajuan yang amat memberangsangkan dalam penulisan tesis PhD yang sedang diusahakan bawah institusi. Ini berlaku setelah hilang rentak 3 bulan kebelakangan. Semoga penulisan semakin lancar dan mencapai matlamat.
Dalam artikel Tentangan Iran terhadap usaha penjajahan Amerika-Israel yang dipersembahkan malam semalam ada dinyatakan bahawa ketika itu, ketika menulis kemudian mempersembahkannya, saya sedang berada di Janda Baik, setelah 9 bulan tidak bertandang. Turut dinyatakan ia adalah daripada majlis ilmu pertama diikuti daripada 3 yang diadakan secara berturut di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Sekarang pergi pada yang kedua, tadi petang Khamis 9 April 2026.
Seperti majlis ilmu pertama petang semalam majlis kedua juga menyaksikan perkongsian daripada warga Iran. Kali ini daripada seorang sarjana yang sudah lama berkhidmat di ISTAC. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Hamzah Fansuri : Sufi Intelektual Dunia Melayu".
Sebelum itu menghabiskan masa di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa). Ini adalah setelah bermalam di sebuah surau di Janda Baik kemudian berjalan-jalan di sekitar. Menghala kembali ke Kuala Lumpur melalui jalan lama bertemu simpang ke UIA terlebih dahulu. Selepas beberapa lama baru bergerak ke ISTAC.
Masuk ke dewan sebelum majlis dijadualkan bermula jam 2.30 lalu mendapati pembicara iaitu Profesor Dr Amir Zekrgoo memilih untuk bercakap dari sebelah tempat paparan slaid.
Kebiasaannya adalah pembicara atau pensyarah membentang dari hujung bertentangan meja. Amir memilih hujung dekat paparan slaid kerana pada beliau lebih lancar bercakap sambil menerangkan isi slaid.
Tak sangka Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (bertudung merah jambu) yang hadir dalam majlis semalam turut hadir hari ini. Disebabkan perubahan tempat bercakap saya duduk cuma selang satu kerusi sahaja daripada baginda. Sedangkan kerusi itu atau satu dua kerusi berdekatan memang tempat biasa saya kalau menghadiri majlis dalam dewan.
Dekan ISTAC Profesor Dr. Hazizan Md. Noon memberikan sedikit pengenalan tentang Hamzah Fansuri, tokoh ilmuwan Sufi yang berpusat di Aceh sekitar penghujung abad ke-16 Masihi.
Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican yang mengetuai Pusat Pengajian Tamadun Melayu Islam di ISTAC menambah dengan mengatakan pengasas institusi, almarhum Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas (baru meninggal dunia sebulan lalu pada usia hampir 95 tahun) adalah orang yang bertanggungjawab mengangkat nama Hamzah dalam dunia akademik moden. Ini adalah melalui tesis PhD beliau tahun 1967 yang dijadikan buku bertajuk "The Mysticism Of Hamzah Fansuri" tahun 1970.
Amir membuka dengan menceritakan bagaimana mula terlibat dengan ISTAC lebih dua dekad lalu, ketika masih di bangunan lama di Bukit Damansara. Di situlah mula mengenali nama dan kisah Hamzah Fansuri, melalui Syed Naquib sekitar tahun 2000.
Diberikan sedikit latar belakang tokoh.
Sekadar memberitahu. Saya sendiri mula mengenal setelah membaca buku "The Mysticism Of Hamzah Fansuri" di rumah ibu saudara ketika berusia 18 tahun, pada tahun 1988. Ia boleh dikatakan pendedahan pertama saya pada pemikiran Sufi dan ilmu Tasawuf.
Alhamdulillah selepas dua dekad kemudian sampai ke makamnya di Aceh. Satu dekat Banda Aceh, satu lagi jauh ke selatan pantai barat menghala ke Barus, Kedua-duanya sudah.
Dinyatakan pengaruh kesusteraan Parsi, wilayah yang kemudian menjadi negara Iran, dalam penulisan Hamzah yang kebanyakannya berupa syair-syair Sufi 'mencari Tuhan".
Dinyatakan walaupun terdapat ramai penyair Sufi bangsa Parsi sendiri bercakap hal sama malah dengan lenggok bahasa yang lebih indah, hasil penulisan Hamzah lebih mudah difahami dan dicerna makan dalaman. Amir menggunakan lebih 40 slaid dalam pembentangannya. Ikuti sendiri perkongsian melalui video bawah.
Salam semua. Adapun saya kini sedang berada di Janda Baik, setelah 9 bulan tidak bertandang. Sebelum itu, tadi petang Rabu 8 April 2026 menghadiri majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, pertama daripada 3 majlis ilmu mahu diikuti di sana 3 hari berturut. Setelah 2 bulan tidak ke mana-mana majlis ilmu. Sekarang biar dikongsikan cerita.
Seperti biasa sejak beberapa tahun kebelakangan, sebelum menghadiri suatu majlis ilmu belah petang di ISTAC pergi menikmati hidangan kegemaran nasi beringin di sebelah pejabat lama iaitu The New Straits Times di Bangsar.
Kali ini tambah tempat persinggahan sebelum ke ISTAC. Naik ke puncak bukit tertinggi di sekitar Bukit Tunku kemudian menikmati pemandangan bandar raya Kuala Lumpur dari satu bahagian sedikit bawah.
Sampai ke ISTAC sebelum jam 1.30.
Sempat meluangkan waktu di perpustakaan dan masjid sebelum masuk menyertai majlis jam 2.30.
Tajuk majlis atau syarahan boleh diterjemahkan sebagai "Perang Amerika-Israel ke atas Iran : Kembalinya Penjajahan dan Masa Hadapan Tamadun-tamadun". Tajuk dibawa oleh tokoh-tokoh yang disebut dalam poster.
Kelihatan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hadir sama. Untuk pengetahuan baginda adalah Canselor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), badan yang menaungi ISTAC. Baginda juga sedang menyambung ijazah Sarjana di ISTAC.
Mula-mula mengupas tajuk adalah Dr Habibreza dari Kedutaan Iran.
Diceritakanlah tentang perang yang sedang berlaku di Iran dan rantau sekitar sekarang ini akibat serangan tentera Amerika dan Israel.
Dinyatakan perang sebagai usaha penjajahan kerana tidak suka melihat Iran bebas dan kuat menentukan hala tuju sendiri yang mengangkat agama Islam sebagai pegangan utama dan panduan.
Iran melawan malah dapat menunjukkan kekuatan pada kala banyak negara Islam tunduk kepada kehendak Barat.
Pembicara seterusnya. Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican pula mengupas dari awal usaha penjajahan Barat yang bermula apabila negara-negara Eropah mencari laluan perkapalan baru untuk mengembangkan pengaruh penghujung abad ke-15 Masihi. Rentetan daripada itu membawa pada penjajahan terhadap negara-negara bukan Barat termasuk negara-negara Islam dan ini berterusan, walau dalam bentuk lain, sehingga sekarang.