Dalam artikel Tentangan Iran terhadap usaha penjajahan Amerika-Israel yang dipersembahkan malam semalam ada dinyatakan bahawa ketika itu, ketika menulis kemudian mempersembahkannya, saya sedang berada di Janda Baik, setelah 9 bulan tidak bertandang. Turut dinyatakan ia adalah daripada majlis ilmu pertama diikuti daripada 3 yang diadakan secara berturut di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Sekarang pergi pada yang kedua, tadi petang Khamis 9 April 2026.
Seperti majlis ilmu pertama petang semalam majlis kedua juga menyaksikan perkongsian daripada warga Iran. Kali ini daripada seorang sarjana yang sudah lama berkhidmat di ISTAC. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Hamzah Fansuri : Sufi Intelektual Dunia Melayu".
Sebelum itu menghabiskan masa di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa). Ini adalah setelah bermalam di sebuah surau di Janda Baik kemudian berjalan-jalan di sekitar. Menghala kembali ke Kuala Lumpur melalui jalan lama bertemu simpang ke UIA terlebih dahulu. Selepas beberapa lama baru bergerak ke ISTAC.
Masuk ke dewan sebelum majlis dijadualkan bermula jam 2.30 lalu mendapati pembicara iaitu Profesor Dr Amir Zekrgoo memilih untuk bercakap dari sebelah tempat paparan slaid.
Kebiasaannya adalah pembicara atau pensyarah membentang dari hujung bertentangan meja. Amir memilih hujung dekat paparan slaid kerana pada beliau lebih lancar bercakap sambil menerangkan isi slaid.
Tak sangka Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (bertudung merah jambu) yang hadir dalam majlis semalam turut hadir hari ini. Disebabkan perubahan tempat bercakap saya duduk cuma selang satu kerusi sahaja daripada baginda. Sedangkan kerusi itu atau satu dua kerusi berdekatan memang tempat biasa saya kalau menghadiri majlis dalam dewan.
Dekan ISTAC Profesor Dr. Hazizan Md. Noon memberikan sedikit pengenalan tentang Hamzah Fansuri, tokoh ilmuwan Sufi yang berpusat di Aceh sekitar penghujung abad ke-16 Masihi.
Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican yang mengetuai Pusat Pengajian Tamadun Melayu Islam di ISTAC menambah dengan mengatakan pengasas institusi, almarhum Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas (baru meninggal dunia sebulan lalu pada usia hampir 95 tahun) adalah orang yang bertanggungjawab mengangkat nama Hamzah dalam dunia akademik moden. Ini adalah melalui tesis PhD beliau tahun 1967 yang dijadikan buku bertajuk "The Mysticism Of Hamzah Fansuri" tahun 1970.
Amir membuka dengan menceritakan bagaimana mula terlibat dengan ISTAC lebih dua dekad lalu, ketika masih di bangunan lama di Bukit Damansara. Di situlah mula mengenali nama dan kisah Hamzah Fansuri, melalui Syed Naquib sekitar tahun 2000.
Diberikan sedikit latar belakang tokoh.
Sekadar memberitahu. Saya sendiri mula mengenal setelah membaca buku "The Mysticism Of Hamzah Fansuri" di rumah ibu saudara ketika berusia 18 tahun, pada tahun 1988. Ia boleh dikatakan pendedahan pertama saya pada pemikiran Sufi dan ilmu Tasawuf.
Alhamdulillah selepas dua dekad kemudian sampai ke makamnya di Aceh. Satu dekat Banda Aceh, satu lagi jauh ke selatan pantai barat menghala ke Barus, Kedua-duanya sudah.
Dinyatakan pengaruh kesusteraan Parsi, wilayah yang kemudian menjadi negara Iran, dalam penulisan Hamzah yang kebanyakannya berupa syair-syair Sufi 'mencari Tuhan".
Dinyatakan walaupun terdapat ramai penyair Sufi bangsa Parsi sendiri bercakap hal sama malah dengan lenggok bahasa yang lebih indah, hasil penulisan Hamzah lebih mudah difahami dan dicerna makan dalaman. Amir menggunakan lebih 40 slaid dalam pembentangannya. Ikuti sendiri perkongsian melalui video bawah.













Tiada ulasan:
Catat Ulasan