Rabu, September 16, 2026

Festival Turath Islami Malaysia dan buku tahun 2026 - Kelazatan syarah Hikam

Bersambung daripada Festival Turath Islami Malaysia dan buku tahun 2026 - Pedoman untuk muda mudi.



Pelancaran dan bicara buku tadi diadakan di aras bawah Masjid Putra. Selesai bicara baru hendak meneroka apa yang ada di aras permukaan...



Seorang rakan pelajar wanita dari Pakistan yang baru sebulan gitu lulus PhD di ISTAC (Institut Antarabangsa  Pemikiran dan Tamadun Islam) mahu menunjukkan kawasan Festival Buku Islami.



Beliau yang menjadi petugas rupa-rupanya baru semalam kali pertama kali sampai ke Masjid Putra.






Cuma harus dinyatakan secara jujur. Saya lihat layout atau atur letak Festival Buku ini seperti ke belakang...






Saya bercakap sebagai seorang peminat malah penulis buku yang telah berdekad mengikuti pesta-pesta besar buku besar  di Malaysia lalu dapat meneliti perubahan dan perkembangan...



Saya juga bercakap sebagai seorang bekas wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times (1996-2001) yang telah menghadiri pelbagai tahap majlis, daripada yang boleh dikira paling marhain ke majlis elit melibatkan orang istana. Dalam keadaan santai secara peribadi di kelab-kelab tertentu saya pernah diperkenalkan dengan dua orang raja yang sedang bertakhta hari ini, ketika mereka masih lagi bertaraf Raja Muda atau Tengku Mahkota. Kebetulan saya secara rasminya mula bertugas pada tarikh hari ini iaitu 16 September. Cuma ketika itu belum lagi dijadikan cuti umum sambutan Hari Malaysia.



Sebetulnya tak perlu pun kata-kata untuk menerangkan. Bandingkan sendiri apa yang ditunjukkan ini dengan keadaan ketika Festival Buku Islami pertama diadakan tahun 2025, dalam dewan agak mewah di perkarangan Masjid Negeri, Shah Alam. Lihat artikel lama Festival Buku Islami 2025 di Masjid Negeri, Shah Alam






Bukan tak boleh buat di Masjid Putra. Tapi perbaikilah penampilan. Orang art decor dan interior design mesti tahu bagaimana hendak melakukan. Sama ada gunakan ruang yang nampak lebih class atau hiaskanlah apa yang patut. Penampilan berprestij agak penting apabila sudah melihat bagaimana keadaan pada edisi pertama tahun lalu.




Melangkah masuk ke dewan utama masjid. Dalam ini memang sudah tentu nampak mewah dan berprestij.



Adapun tema utama Festival Turath kali ini adalah syarah kitab Hikam tulisan Ibnu Athoilah yang hidup 8 abad lalu. Ada 3 sesi kalau setiap hari - pagi, petang dan malam - mensyarahkan isi kitab sejak mula sampai hari Jumaat malam Sabtu 18 Sept.



Yang ini memang lazat. Siapa yang ada kecendurangan terhadap dunia Tawasuf harus faham. Sejak semalam lagi ada mengikuti secara atas talian.



Apabila mendapat tahu penyelia tesis PhD saya di ISTAC Profesor Emeritus Dato' Dr Osman Bakar akan membuat bual bicara buku pada 16 Sept (rujuk kembali Festival Turath Islami Malaysia dan buku tahun 2026 - Pedoman untuk muda mudi) saya bercadang mahu mengikuti setiap syarah Hikam dari hari ini sehingga Jumaat malam Sabtu lalu merancang untuk menginap di masjid (dibenarkan di Masjid Besi, ada bas disediakan untuk berulang-alik). Apabila isteri memberitahu hendak hadir sekali saya pun menempah bilik hotel paling murah terdekat untuk 3 malam iaitu hingga ke tengah hari Sabtu 19 Sept. Dari hotel yang menghala ke Pucong sekitar 13 km  ke masjid. Boleh terus ke Port Dickson untuk sambutan hari keluarga bermula petang hari tersebut. Tengah hari Ahad 20 Sept ke Kajang untuk majlis perkahwinan sepupu saya.



Tapi itulah, manusia boleh merancang Allah SWT jua menentukan. Ketika bersiap hendak keluar dari rumah tengah hari tadi mendapat berita seorang abang isteri jatuh sakit lalu tak sedar di hospital. Baru hendak memulakan perjalanan beliau meninggal dunia. Selepas mendaftar masuk ke hotel kemudian makan saya turun ke masjid sementara isteri memandu kereta untuk kembali ke kampung di Tanjung Sepat. Saya menulis ini di masjid ketika isteri mengikuti majlis tahlil di rumah pusaka keluarga. Esok lusa saya sendiri harus ke tahlil juga. Apapun insyaallah tetap akan dilaksanakan rancangan asal setakat mana dapat untuk mendengar syarah Hikam. Sesungguhnya ia memang lazat. Boleh ikuti siaran langsung juga rakaman di sini. Atau buat carian "Festival Turath Islami" di Youtube. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan