Rabu, September 16, 2026

Festival Turath Islami Malaysia dan buku tahun 2026 - Pedoman untuk muda mudi

Salam. Satu perkongsian bagi hari ini Hari Malaysia.



Tadi tengah hari Rabu 16 September 2026  bertolak dari rumah ke Masjid Putra di Putrajaya.







Ada Festival Turath Islami Malaysia






Ada pameran busana tradisional mengiringi...









Namun sebab utama datang adalah untuk mengikuti majlis perasmian Festival Buku Islam 2026.



Ia secara rasminya bermula hari ini sementara Festival Turath sudah bermula Ahad 13 September.












Pengarah Festival Turath saudara Farhan Affandi menyatakan ia sebenarnya bermula tahun 2023 sebagai Festival Turath Islami Selangor di Masjid Negeri, Shah Alam sebelum diangkat ke peringkat nasional. Beliau tidak menyatakan dengan tepat bilakah perubahan berlaku. Ketika saya menerima undangan baru sebulan lalu ia masih berdiri atas nama Festival Turath Islami Selangor 2026. 




Tak sampai 2 minggu lalu, ketika hendak merancang perjalanan untuk hadir, baru saya menyedari ia telah dialihkan ke Masjid Putra dan menjadi festival nasional. Ketika itu sedang memikirkan bilakah hari paling sesuai untuk hadir memandangkan hujung minggu lalu Sabtu hingga Isnin 12-14 Sept sibuk dengan urusan di kampung isteri di Tanjung Sepat sementara hujung minggu ini Sabtu hingga Ahad 19-20 Sept mahu dibuat sambutan hari keluarga besar isteri di Port Dickson sebelum harus berkejar ke Kajang tengah hari Ahad untuk majlis perkahwinan seorang sepupu saya. Kalau di Shah Alam cuma 40 lebih kilometer dari rumah kami di Bandar Sungai Buaya, di Putrajaya tak kurang 70 km perjalanan dan sedikit mencapah laluan. Kelihatan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Aminuddin Shari memberikan ucapan kemudian melancarkan festival buku. 



Turut dilancarkan adalah satu buku terjemahan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Untuk makluman Festival Buku Islami ini asalnya dimulakan tahun 2025 di Masjid Negeri, Selangor sebagai komponen tambahan bagi Festival Turath Islam tahun itu.



Selepas itu diadakan bual bicara buku oleh Profesor Emeritus Dato' Seri Osman Bakar, Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Kalau tidak kerana penyelia tesis PhD saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) itu berbicara besar kemungkinan hari Khamis 18 Sept baru saya ke Masjid Putra. Sekadar memaklumkan secara ringkas buku boleh dikatakan banyak merumuskan pemikiran penulis asalnya Seyyed Hossein Nasr, penyelia tesis PhD Osman di Amerika Syarikat 4 dekad lalu. Kata Osman ia masih membawa pemikiran falsafah tinggi Nasr  (masih hidup dan aktif bersyarah di Amerika, sekarang berumur 93 tahun) tetapi dimudahkan bahasa untuk bacaan umum. Beliau menambah buku sebenarnya ditulis selepas Nasr melawat Malaysia awal 1980an. Nasr melihat bagaimana orang Islam di Malaysia hidup dalam masyarakat majmuk dan berpendapat kita boleh membangun lebih jauh untuk menjadi masyarakat contoh bagi umat Islam sedunia.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan