Selasa, September 15, 2026

Nik Rashiddin dan falsafah kayu : Satu contoh penghasilan pengetahuan tempatan

Malam ini akan dilangsungkan edisi ke-42 "Merah Silu Live" melalui Tiktok. Sebelum itu biar dilepaskan satu cerita.



Petang Isnin 14 September 2025. Selepas menginap 2 malam di kampung isteri di Tanjung Sepat kami bergegas ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).




Ada majlis ilmu mahu diikuti. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Nik Rashiddin dan Falsafah Kayu : Satu Contoh Penghasilan Pengetahuan Tempatan"



Ini merujuk pada pengukir kayu tersohor almarhum Nik Rashiddin Nik Hussein yang hidup 1955-2002. 



Pembicara, Profesor Farish A. Noor membuka dengan menyatakan dahulu konteks perkongsian. Ia adalah usaha untuk mendekolonisasi ilmu pengetahuan dan sejarah di Alam Melayu keluar daripada kepompong yang ditentukan Barat.



Nik Rashiddin dilihat sebagai satu contoh terbaik tokoh yang menghasilkan ilmu pengetahuan tempatan tanpa dipengaruhi langsung ilmu pengetahuan Barat. Bukanlah beliau tidak tahu langsung tentang perkembangan seni di sana. Malah Farish memberitahu tokoh mengambil tahu tentang seni pertukangan kayu di negara-negara Asia seperti di Jepun. Cuma tidak terpengaruh lalu dapat mengekalkan keaslian keMelayuan dalam hasil kerja.



Farish yang belajar dari peringkat sarjana muda hingga PhD di United Kingdom sebelum mengajar di beberapa tempat, sekarang di Indonesia menyatakan bagaimana Nik Rashiddin sangat berpengetahuan tentang pelbagai jenis kayu.



Beliau memberitahu selalu ke rumah tokoh di Bachok, Kelantan untuk menimba ilmu. Di situ diberikan penerangan tentang falsafah tradisional yang membentuk pemikiran dan hasil kerja.



Tidak seperti mereka yang mencipta nama di Barat, Nik Rashiddin termasuk dalam golongan tradisional yang tidak pernah mengejar nama.



Yang dimahukan adalah menimba ilmu tradisional sebaik mungkin lalu menghasilkan kerja terbaik. Untuk membuat satu hulu atau gagang keris sahaja boleh memakan masa 3 hingga 6 bulan. Setelah bertahun lama baru berani mengubah sedikit menurut cita rasa sendiri lalu menjadi tanda pengenalan hasil kerja tokoh. Itupun masih dalam acuan suatu macam kanun tradisional para pengukir Melayu.



Dinyatakanlah bahawa Nik Rashiddin sangat mengangkat konsep semangat kayu, dalam bahasa Inggeris diterjemahkan menjadi "Spirit of Wood". Ini yang diangkat menjadi tajuk sebuah buku tentang tokoh dan hasil kerjanya oleh  Farish dan seorang lagi penulis lebih 20 tahun lalu.



Perkataan semangat atau spirit boleh menimbulkan salah faham seperti melibatkan jin dan makhluk halus. Memang pun ada yang terlibat dalam hal-hal sebegitu apa lagi apabila bermain dengan keris yang mana Nik Rashiddin diakui sangat tinggi kepakaran dalam menghasilkan sarung dan gagang.



Tetapi Farish menyatakan tokoh tidak terlibat langsung dengan semua itu. Sebaliknya yang dimaksudkan sebagai semangat kayu itu adalah disebabkan kayu berasal dari pokok, suatu benda yang hidup. Walaupun sudah mati apabila dipotong dari pokok masih ada 'semangat' di dalamnya.



Semangat itulah yang perlu dihidupkan oleh seorang pengukir yang betul-betul seniman. Melalui kepakaran dan kehalusan pertukangan, sejak dari memotong kayu sehinggalah dibentuk ukiran. Kata Farish apa yang dilakukan oleh Nik Rashiddin semuanya bersifat logik. Misalnya mengukir hanya pada hari terang, bukan hujan atau mendung, dari jam 10 pagi sehingga 4 petang sahaja supaya mendapat pencahayaan semulajadi terbaik. Ikuti sendiri majlis melalui video bawah.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan