Jumaat, Jun 12, 2026

Melangkaui perbankan Islam : Ke manakah hala tuju?

Salam lewat petang Jumaat. Dalam artikel Menyahpenjajahan Masa Depan Muslim - Pemahaman daripada teologi Islam dan sejarah ada dinyatakan bahawa ia dipersembahkan pagi semalam selepas bermalam dan beriktikaf di sebuah masjid atas kawasan bukit dekat-Ampang. Selepas itu mahu menghadiri majlis ilmu di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak. Sekarang biar dikongsikan cerita.



Pagi Khamis 11 Jun 2026 bergeraklah ke UIAM sekitar 14 km perjalanan.



Kalau dari rumah jauhnya hampir 40 km. Pergi ke satu bahagian UIAM yang seingat saya pernah sekali sahaja sampai sebelum ini, bangunan Kuliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan.



Ada seminar tentang "melangkaui perbankan Islam" berserta pelancaran buku tentang tokoh ekonomi Islam, almarhum Mohammad Nejatullah Siddiqi. Berasal dari India beliau hidup 1931-1922.



Saya sendiri tidak mengenali tokoh ini. Nampaknya tokoh besar dalam dunia ekonomi Islam yang mana komponen utama sering diperkatakan adalah perbankan Islam. Secara rasminya ia tidak melibatkan riba' seperti halnya perbankan biasa. Namun secara efektifnya? Daripada segi hukum dan aqad memang tiada riba'. Tapi daripada segi jumlah bayar balik bulanan sebenar bagi melunaskan hutang? Nampak macam sama malah ada kala lebih teruk lagi.






Profesor Dr Mohamed Aslam Mohamed Haneef menjadi panelis pertama bercakap. Dalam poster beliau dinyatakan sebagai panelis kedua.



Tajuk yang dibawa adalah "Pandangan Siddiqi tentang Membangunkan Ekonomi Islam".



Diceritakanlah bagaimana beliau mula mengenali almarhum tahun 1980an.



Dinyatakan sumbangan Siddiqi sebagai seorang perintis ekonomi Islam yang menjadi contoh ikutan kepada ramai.



Walaupun almarhum ada matlamat dan idealisma tinggi beliau seorang yang realistik. 



Lakukan gerak kerja berdasarkan keadaan semasa. Jangan terperangkap dengan romantisme yang menganggap semuanya lebih elok pada masa lampau (misalnya merujuk pada apa yang dipanggil sebagai zaman keemasan Islam 1,000 tahun). Menurut Aslam, ada kajian menunjukkan kota Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW pun pernah mengalami inflasi. Tentang perbankan Islam masih banyak boleh dan perlu diperbaiki dan diperhalusi. Tapi itulah yang boleh buat masa ini berdasarkan realiti sebenar bahawa kita tidak atau belum dapat lari daripada kerangka besar perbankan dunia berasaskan riba'.



Masuk giliran panelis kedua Profesor Dr Normat binti Md Saad (dinyatakan sebagai panelis ketiga dalam poster)...



Tajuk pembentangannya boleh diterjemahkan sebagai "Melangkaui Perbankan Islam : Membayangkan Semula Kewangan untuk Keadilan Agihan dan Kebajikan Sosial".



Dipaparkan data bagi menunjukkan agihan kekayaan dunia yang sangat tidak adil lagi berat sebelah. Golongan kaya semakin kaya, miskin semakin miskin. Bayangkan, 10 peratus golongan paling kaya memiliki 75% kekayaan dunia. Sedangkan 50% yang membentuk golongan terbawah, dengan kata lain separuh daripada penduduk dunia, cuma memiliki 2% sahaja kekayaan.




Diberikan beberapa cadangan untuk mengatasi masalah. Saya paling tertarik dengan 100% reserve banking yang mana bank cuma boleh meminjamkan sama banyak apa disimpan oleh pelanggan. Bukan seperti sekarang yang mana atas konsep fractional reserve banking, bank boleh meminjamkan 10 kali ganda simpanan. Bermakna 9 kali jumlah sebenarnya adalah atas angin. Ia tidak wujud secara nyata, cuma atas kertas melalui permainan catatan perakaunan. Rujuk penulisan lama saya tentang ini, dalam artikel-artikel berikut :-






Seterusnya adalah panelis ketiga Profesor Muhammed Shahid Ibrahim, dalam poster dinyatakan sebagai panelis keempat dan terakhir.




Tajuk pembentangan beliau boleh diterjemahkan sebagai "Tadbir Urus, Budaya dan Hak Pemilikan Harta : Asas-asas Bagi Kestabilan Ekonomi".



Terus terang cakap saya tak berapa tangkap apa yang diperkatakan kecuali perlu merujuk balik pada hadis-hadis Nabi. Nampaknya kepenatan masuk hutan mendaki bukit petang sebelumnya kemudian sesat sehingga selepas jam 9.30 malam baru betul-betul selamat keluar hutan, belum cukup rehat, mula mengganggu. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam Menyahpenjajahan Masa Depan Muslim - Pemahaman daripada teologi Islam dan sejarah.

Yang ingat, antaranya adalah tentang bagaimana baginda Nabi menyatakan biar penanam kurma membuat cara terbaik untuk menanam menurut pengetahuan mereka, baginda bukanlah pakar untuk dirujuk dalam bidang itu. Dengan itu dinyatakan. Masalah kita adalah kerana ahli feqah sentiasa dijadikan rujukan muktamad dalam menangani perkara. Sedangkan mereka bukanlah pakar dalam bidang (ekonomi, kewangan, perakaunan dan sebagainya).




Panelis keempat dan terakhir, Dr  Ermin Sinanovic (dinyatakan sebagai panelis pertama dalam poster) pula menyatakan bagaimana kajian politik harus disepadukan dengan kajian ekonomi untuk menangani perkara. Misalnya kita boleh memberi pelbagai cadangan daripada sudut ekonomi. Tapi realitinya kekuatan politik diperlukan untuk melaksanakannya.

Kesimpulan yang boleh didapati setelah berlaku sesi soal jawab adalah mungkin ada dalam kalangan kita yang memiliki solusi untuk menangani masalah kepincangan dalam ekonomi Islam. Tetapi ada kekangan realiti untuk melaksanakannya, bahkan menyatakan solusi juga boleh membawa pada bahaya. Disebutlah tentang masalah untuk mengangkat penggunaan dinar menggantikan wang kertas. Disebut tentang ada yang dibunuh (assasinated) apabila dilihat mengancam sistem sedia ada. Faham-faham sahajalah kita.



Selesai itu masuk sesi pelancaran buku. Profesor Emeritus Mohammad Ahmadullah Siddiqi, anak saudara almarhum memberikan kata-kata aluan sebagai salah seorang pengarang buku.



Ini diikuti oleh kata-kata aluan oleh Profesor Dr Imtiyaz Yusuf. Beliau yang juga pengarang berkongsi tentang usaha menerbitkan buku dan kenapa.



Dengan itu buku pun dilancarkan dengan penuh takzim. Oh, tajuknya  boleh diterjemahkan sebagai "Muhammad Nejatullah Siddiqi : Seorang Mujaddin dan Perintis  Ekonomi dan Kewangan Islam".


Tiada ulasan:

Catat Ulasan