Daripada 2 hari lalu.
Petang Selasa 9 Jun 2026. Pergi lagi ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) untuk majlis ilmu.
Tajuk majlis boleh diterjemahankan sebagai "Menyahpenjajahan Masa Depan Muslim - Pemahaman daripada teologi Islam dan sejarah".
Menyampaikan adalah Dr Ermin Sinanovic yang berasal dari Bosnia. Beliau pernah mengambil ijazah sarjana muda di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) tahun 1990an diikuti sarjana (Masters) di ISTAC (di kampus lama di Bukit Damansara) tahun 2001 kemudian menyambung ke peringkat PhD di Amerika Syarikat. Di sanalah menetap sehingga sekarang.
Beliau membuka dengan menyatakan apa yang ingin disampaikan adalah kajian akibat ilham yang terbit ketika menziarahi makam Sultan Muhammad al Fatih (yang menakluk Constantinople, pusat empayar Rum Timur tahun 1453 lalu menukar namanya menjadi Istanbul). Ermin sedang memikirkan masalah ummah yang dilihatnya masih dijajah kuasa-kuasa Barat. Di makam terlihat hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan bagaimana Constantinople akan ditakluki oleh sebaik-baik raja (Islam) yang memimpin sebaik-baik tentera.
Dinyatakanlah bahawa masa hadapan orang Islam sedang dijajah. Bahkan dinyatakan dengan terang dalam laporan RAND (satu badan kajian strategik di Amerika Syarikat) tahun 2003 bahawa masa hadapan umat Islam perlu dijajah. Ini adalah susulan daripada peristiwa 911 (pada 11 September 200 yang mana pengganas Islam dikatakan bertanggungjawab menyerang lalu meruntuhkan menara berkembar WTC, Pusat Perdanganan Dunia di New York).
Maka kita harus melihat ke masa hadapan untuk menangani perkara. Disebutlah bagaimana ayat-ayat Al-Quran, walaupun banyak menyebut tentang peristiwa-peristiwa lampau untuk diambil pengajaran, sentiasa mengingatkan tentang masa hadapan, melalui konsep Akhirat.
Pada sekarang ini walaupun secara rasminya negara-negara Islam sudah merdeka, hakikatnya masih dijajah melalui kebergantungan politik, cara fikir dan bermacam lagi.
Jadi siapa yang sebenarnya memiliki masa hadapan? Kelihatannya kuasa-kuasa Barat.
Dinyatakanlah kita boleh mengambil panduan arah Sufi untuk menyahpenjajahan (perkataan yang terbit dalam fikiran sebagai alternatif pada perkataan dekolonisasi). Ia adalah melalui Takhalli iaitu pembersihan diri/hati daripada sifat-sifat keji. Dalam konteks ini mengeluarkan diri dari pemikiran terjajah. Tahali, menghiasai diri dengan sifat-sifat terpuji. Dalam konteks ini kembali pada keilmuan dan pemikiran yang dijana bangsa sendiri/umat Islam yang menurut Ermin sudah ada khazanah yang hebat. Akhirnya Tajali, pemancaran sifat-sifat terpuji dari dalam diri. Dalam konteks ini menzahirkan pemakaian amali daripada diri yang sudah diserap khazanah hebat itu.
Di sini tak perlulah dipanjangkan ulasan ya. Adapun saya menulis ini selepas menunaikan solat Subuh di sebuah masjid atas kawasan bukit dekat Ampang. Saya telah bermalam dan beriktikaf di situ.
Sebelum itu iaitu petang semalam saya telah masuk hutan seorang diri di satu kawasan lain lalu mendaki tiga puncak bukit yang setiap satu mencapai atau melebihi 400 meter tinggi dari paras laut.
Cuma di satu bahagian saya mendapati denai telah hilang sementara isyarat GPS dalam telefon kelihatan tidak dapat menunjukkan kedudukan sebenar.
Ini menyebatkan saya sesat buat satu masa. Walhal ketika ia sudah jam 6.30. Hari sudah hendak gelap sedangkan masih jauh untuk keluar hutan.
Setelah beberapa lama dibuat keputusan untuk main redah sahaja naik bukit ke arah cahaya matahari barat sementara masih ada. Saya tersesat itu selepas turun untuk ke satu bahagian menarik dalam hutan.
Terjumpa kembali denai tetapi bukan ke arah yang dirancang. Sebaliknya memutar kembali denai yang diambil ketika menuju ke bahagian berkenaan.
Dipendekkan cerita selepas jam 9.30 baru betul-betul dapat keluar hutan.
Sampai di masjid tempat menginap ini selepas jam 10 malam.
Jam 9 pagi karang hendak menghadiri majlis ilmu di kampus utama UIAM di Gombak pula.




















Tiada ulasan:
Catat Ulasan