Lagi cerita majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).
Petang Rabu 3 Jun 2026. Setelah mendaki bukit setinggi 300 meter dari paras laut di Cheras (lihat artikel Climbing up Bukit Ketumbar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH) saya pun bergegas ke ISTAC untuk majlis berkenaan.
Saya mula mendaki sekitar jam 10.30 pagi lalu sampai ke puncak jam 11.45. Suasana terasa begitu menenangkan lalu jam sekitar jam 1.20 petang baru kembali ke kereta. Singgah di sebuah masjid di tengah bandar raya Kuala Lumpur untuk mandi, bersalin pakaian dan bersolat juga berehat sebentar. Tak sempat pun makan tengah hari kerana hendak mengikuti majlis yang bermula jam 2.30.
Poster bagi majlis berkenaan. Tajuk boleh diterjemahkan sebagai "Membaca Al-Quran bersama Kant dalam Zaman AI".
Kant merujuk pada ahli falsafah Barat terkenal Immanuel Kant yang hidup 1724-1804. Membawa tajuk adalah Dr Mohammed Gamal Abdelnour dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau juga adalah Felo Pelawat Terhormat di University of York.
Gamal membuka dengan menerbitkan persoalan - betulkah pembahagian ilmu kepada ilmu aqli (berdasarkan akal) dan naqli (berdasarkan wahyu) adalah cara asli dalam ajaran Islam? Menurut beliau tidak. Pembahagian itu katanya muncul dalam dunia pemikiran Barat Kristian Eropah yang kemudian masuk ke dalam pemikiran sarjana silam Islam. Kata beliau Al-Quran sebagai sumber wahyu sentiasa bercakap tentang orang-orang yang berfikir dan menggunakan pemikiran. Harus tidak ada pembahagian antara ilmu berdasarkan akal (berfikir) dengan ilmu berdasarkan wahyu.
Cara fikir yang memisahkan aqli dan naqli ini pun dikaitkan dengan ilmuwan Islam terkenal Ibnu Sina (hidup 980-1037 Masihi). Pemikiran beliau dikatakan adalah berdasarkan falsafah Yunani lama (zaman Plato dan Aristotle sekitar 400 tahun Sebelum Masihi) yang kemudian digunapakai oleh ilmuwan Islam, (bermula sekitar abad ke-9 M).
Disebabkan pemikiran dalam kerangka falsafah berkenaan berlaku had dalam memahami isi Al-Quran. Ini disebabkan cara dan gaya falsafah yang bersumberkan Barat digunakan untuk mengupas ayat-ayat dalam kitab suci agama Islam.
Muncul Imam Ghazali (hidup 1058-1111) mengkritik ilmu falsafah seperti dianuti Ibnu Sina untuk memurnikan fahaman. Beliau menyatakan akal fikiran memang kuat tetapi ada hadnya. Wahyu memberikan kebenaran yang tidak dapat dicapai oleh akal.
Namun ini menyebabkan teologi, ilmu kajian keTuhanan berada dalam keadaan defensif mempertahankan diri daripada serangan balas. Falsafah pula jadi diragui (walhal ada juga baik dan benarnya).
Ibnu Rushd (1126-1198) mengkritik pula kritikan Ghazali terhadap falsafah. Beliau berusaha untuk mencari keselarian lalu melihat falsafah dan wahyu berjalan seiring walau dalam landasan masing-masing.
Namun hadnya - Falsafah dan wahyu terus terpisah. Masih banyak ketidaksetujuan belum selesai.
Gamal pun menyatakan perbualan dan pencerahan sebagai cara baru untuk menyelesaikan masalah. Mulakan dengan persoalan-persoalan kemanusiaan, biarkan kedua-dua tradisi bercakap.
Ini menerbitkan peluang-peluang baru untuk menyatakan kebenaran.
Mulakan dengan persoalan-persoalan kemanusiaan yang dikongsi bersama, tentang moral, budi pekerti misalnya.
Langkah kedua, dengar dengan cermat apa yang kata Kant. Ahli falsafah Barat ini dipilih kerana telah membawa reformasi pemikiran falsafah yang dapat mendamaikan pelbagai faham, antara paling utama adalah perbezaan cara fikir dan pendekatan Plato berbanding Aristotle.
Kenal pasti apa-apa persoalan yang Kant tinggalkan tidak terjawab.
Berikan pula Al Quran (sebagai panduan) untuk masuk campur. Maklum balas Nabi Ibrahim (a.s.) yang mendapat perintah dalam bentuk mimpi untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail (a.s.) pun dirujuk.
Biar Kant dan Nabi Ibrahim bersoal jawab. Maksudnya kalau Kant dan Nabi Ibrahim bertemu bagaimana agaknya Kant akan bertanya tentang peristiwa tersebut. Bagaimana pula Nabi Ibrahim menerangkan. Telahan boleh dibuat berdasarkan pemikiran, peribadi dan ajaran masing-masing seperti boleh ditahui melalui pembacaan dan kajian.
Bentuk cadangan membina (berdasarkan telahan soal jawab).
Uji hasilnya menggunakan AI, kecerdasan buat dengan bertanyakan soalan berdasarkan cadangan membina tersebut. Sila ikuti sendiri majlis melalui video bawah...
Selepas majlis selesai pergi lagi ke WTC (Pusat Dagangan Dunia) untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Sampai di ruangan MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia) yang menyewa satu dewan penuh tengok-tengok ada bicara buku menarik. Saya pun duduk mengikutinya sehingga selesai hampir waktu Maghrib.






















Tiada ulasan:
Catat Ulasan