Rabu, Mei 13, 2026

Tentang konsep kemanusiaan Tagore

Meneruskan cerita tentang majlis ilmu. Bersambung daripada Wanita Johor sebagai ejen perubahan dan kesedaran.




Selesai majlis di ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam) petang Jumaat saya berlegar-legar di kampus buat suatu waktu sebelum bergerak ke rumah yang di Hulu Langat. Selepas masuk waktu Zohor Sabtu 9 Mei 2026 baru meninggalkan kawasan untuk ke lokasi majlis ilmu seterusnya.



Singgah kedai mamak pekena nasi kandar telur ikan dalam perjalanan.



Dekat jam 4 sampailah ke lokasi iaitu Menara MBA di Petaling Jaya.



Poster bagi majlis. Ia adalah tentang tokoh besar bertaraf dunia, Rabindranath Tagore, anak kelahiran wilayah Bengal di India yang mencipta nama di Barat awal abad ke-20. 






Diberilah sedikit latar belakang tokoh dari satu keluarga ternama dan berada di Bengal. Beliau kemudian pergi ke University College of London (UCL, tempat saya membuat ijazah matematik lebih 30 tahun lalu) untuk pengajian undang-undang.



Tetapi bertukar arah menjadi seorang pemuisi hebat, sehingga disebut sebagai "The Bard of Bengal", Shakespear dari Bengal. Sehingga menjadi penerima pertama hadiah Nobel bukan bangsa Eropah, dalam bidang sastera, pada tahun 1913. Puisi dan penulisannya dipandang begitu tinggi.  Beliau juga menjadi penulis lagu kebangsaan negara India, selepas merdeka daripada pemerintahan British tahun 1947. Kemudian berlaku pemisahan negara Pakistan dari India yang mana wilayah Bengal Timur (ada wilayah Bengal Barat terus kekal dalam India) menjadi bahagian timur Pakistan. Bahagian tersebut kemudian menjadi negara tersendiri iaitu Bangladesh. Tagore yang lahir dan membesar di Kolkata (dahulu Calcutta, dalam wilayah Bengal Barat) juga bertanggungjawab menulis lagu kebangsaan negara itu.



Pelik juga memikirkan bagaimana Tagore bertanggungjawab menulis lagu kebangsaan kedua-dua negara. Sedangkan yang beliau lahir tahun 1861 meninggal dunia 1941. Nampaknya itu hasil aspirasi sebelum wilayah-wilayah tersebut muncul sebagai negara-negara merdeka. Selepas beberapa lama guru saya di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang juga adalah Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) naik ke pentas. Beliau menjadi pemudahcara bagi sesi syarahan tentang kemanusiaan Tagore yang disampaikan oleh Profesor Dr Saranindranath Tagore, cicit saudara tokoh.



Saranindranath menambah lagi sedikit latar belakang tokoh sebelum masuk hal atau lebih tepat konsep kemanusiaan (humanism) Tagore. Sebetulnya saya ada sedikit rasa jelek apabila mendengar perkataan humanism. Ini kerana dipopularkan di Barat sebagai usaha mengangkat hal-hal berkenaan manusia sambil membelakangkan agama dan Tuhan. Konsep kebebasan dan hak manusia yang menghalalkan banyak perkara yang dilarang agama adalah antara terbitan daripada konsep tersebut.



Ternyata itu bukan konsep kemanusiaan Tagore. Walaupun kelihatan berfikiran bebas beliau sebenarnya membesar dengan rajin membaca kitab Upanishad yang menjadi dasar dalaman kepercayaan agama Hindu. Lalu dinyatakan bahawa secara dasarnya Tagore percaya kemanusiaan itu harus berdiri atas kepercayaan dan pegangan mendalam terhadap unsur-unsur tradisional. Unsur-unsur itu ibarat akar yang perlu sebelum pohon dapat membesar lalu mencapah dahan-dahan dan rantingnya..

Oh, pembentang tidak menyatakan ini tetapi saya ada membuat sedikit pembacaan melalui Internet. Tagore sebenarnya berasal daripada satu cabang tinggi ajaran Hindu yang percaya pada Tuhan yang satu, tidak menyembah dewa bermacam rupa seperti biasa dilihat dalam kebanyakan penganut Hindu. Dikatakan itulah ajaran sebenar dalam kitab Upanishad itu sendiri. Tetapi Tagore tidak menekankan sangat dirinya sebagai seorang yang beragama. Kelihatan ini adalah supaya mudah diterima semua pihak. Apa yang dibawa dalam pemikiran dan penulisannya pun kelihatan bersifat sejagat. Seolah-olah datang daripada kebebasan berfikir tinggi manusia, tanpa dikekang mana-mana agama.



Saya tidak dapat duduk sehingga majlis betul-betul selesai kerana harus berkejar ke Tanjung Malim.



Ini adalah untuk mengambil isteri yang kembali berjalan-jalan di Ipoh bersama kawan-kawan, dengan menaiki kereta api jam 7 Alang-alang sudah berada di Tanjung Malim, singgah di Sarang Art Hub yang diasaskan oleh sutradara terkenal, arwah Mamat Khalid. Asalnya bercadang untuk bermalam di sekitar itu. Cadangnya pagi, selepas bersarapan di warung tertentu baru kembali ke rumah. 



Tapi timbul rasa penat lalu kembali ke rumah lebih awal. Apabila sampai meter kereta menunjukkan saya telah memandu kereta sejauh 245 km. Ini adalah sejak keluar rumah pagi Jumaat untuk mengikuti majlis-majlis ilmu di ISTAC seperti ditunjukkan dalam artikel Pembacaan ilmu jiwa dari Ihya Ulumiddin diikuti Wanita Johor sebagai ejen perubahan dan kesedaran. Dalam perjalanan ke ISTAC itulah diturunkan isteri di stesyen kereta api Rawang, untuk ke Ipoh. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,820 di CATATAN SI MERAH SILU.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan