Salam. Daripada siang tadi.
Pagi Rabu 13 Mei 2026. Selepas bermalam di rumah ibu saudara di Petang Jaya, saya dan isteri membawa beliau ke rumah kakaknya, seorang lagi ibu saudara saya di Bukit Damansara.
Petang selepas masuk waktu Zohor bergerak berseorangan meninggalkan mereka untuk ke majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku.
Ada syarahan yang tajukanya boleh diterjemahkan sebagai "Penyusunan Kembali di Timur Tengah - Kesan Perang Iran-AS-Israel".
Di sana, dalam dewan utama ISTAC, baru tahu bahawa pembicara, Dr Rowena Razak adalah anak kepada Abdul Razak Baginda, seorang penganalisis politik yang sangat terkenal suatu masa lalu.
Hadir mengikuti syarahan adalah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah dalam kapasiti sebagai Canselor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) diiringi Presiden UIAM, Tan Sri Rashid Hussain.
Rowena pun mengambil tempat di atas pentas, bersama pemudahcara, Dr Nurul Ain dari ISTAC.
Perkongsian dimulakan...
Dinyatakan perkara-perkara pokok dapat dilihat pada kala perang Amerika Syarikat dan Israel melawan Iran yang bermula 28 Februari kini berada pada tahap genjatan senjata. Iran tidak boleh dipandang rendah. Strategi AS tidak jelas, boleh berubah-ubah dan sangat bergantung pada kehendak Israel. Iran mengambil risiko besar apabila sanggup menyerang jiran-jirannya negara-negara Teluk (kerana menempatkan pengkalan tentera yang digunakan dalam serangan). Perang mendedahkan kelemahan dan kerapuhan rantau dan bagaimana ia terkait dengan kestabilan global.
Ini menerbitkan persoalan - Apakah yang telah berubah? Apakah yang telah disusunkan kembali, jika ada? Di manakah perang meletakkan negara-negara Teluk? Apa pula peranan Iran? Mereka berjaya bertahan... apa sekarang? Apakah Iran telah mengambil terlalu banyak risiko?
Bagaimana pula sikap rakyat Iran terhadap perang?
Bagaimana kesan terhadap hubungan serantau?
Apakah kesan terhadap kepentingan Amerika di kawasan teluk?
Yang pasti ada perubahan dinamik antara kuasa-kuasa sedang berlaku.
Apakah yang boleh dijangka selepas ini? Cukuplah sedikit perkongsian, ditulis dari rumah ibu saudara di Bukit Damansara. Kami bermalam untuk menemani adik almarhum ibu saya ini. Suaminya seorang doktor pakar sakit puan yang sangat terkenal suatu masa dahulu, sekarang berumur 81 tahun sudah lebih setahun sakit saraf sehingga tidak boleh berjalan. Katanya kebelakangan agak teruk. Sehingga seorang lagi adik ibu, yang datang dari Johor Bahru untuk menziarahi kawan telah mula bermalam lebih awal.
Dahulu, sejak tahun 1980an saya selalu bermalam di rumah ini. Sebelum itu selalu datang ke rumah di tempat lain. Bapa saudara ini banyak menolong dalam kehidupan termasuk meminjamkan modal untuk saya mula menerbitkan buku sendiri tahun 2006. Semasa saya lahir tak cukup bulan tahun 1970 beliau yang ketika itu baru menjadi doktor adalah orang pertama dapat mengesan saya sedang teruk sakit kuning lalu bertindak sewajarnya. Malam ini adalah kali pertama menginap sejak 17 tahun gitu. Semoga mendapat hal-hal baik dalam masa terdekat.














Tiada ulasan:
Catat Ulasan