Sabtu, Disember 13, 2025

Samudera Pasai : Pusat kekhalifahan di Alam Melayu abad ke-13 hingga ke-15 Masihi

Merujuk pada artikel Manifestasi kemaruk senarai panjat bukit dan gunung yang dipersembahkan pada Rabu 5 November iaitu lebih sebulan lalu. Ada dinyatakan bahawa pada petang Ahad 2 November ada membuat podcast dalam keadaan sakit tekak, lepas Isyak malam sebelumnya tak boleh keluar suara. Nasib baik dapatlah keluar cukup untuk podcast. Selepas itu shutdown balik. Sekarang sukacita dimaklumkan pagi tadi baru hasilnya dikeluarkan untuk siaran umum. Ini video podcast.



Tajuknya "Samudera Pasai : Pusat Kekhalifahan di Alam Melayu Abad ke-13 Hingga ke-15 Masihi" harus dapat menggambarkan satu perkara yang sangat besar. Sedikit sebanyak ia mengulang  suatu hal yang tercetus dalam fikiran 11 tahun lalu. Lihat artikel lama  Kekhalifahan raja-raja Melayu dan dinar emas Melaka yang hilang. Tapi ada lebih banyak tambahan apabila dikaitkan dengan jatuh bangun beberapa kerajaan Islam juga kerajaan Melayu. Sila tonton dan fahamkan.


Jumaat, Disember 12, 2025

Kepimpinan dan kepengikutan di negara Madani Nabawi

Salam petang Jumaat 21 Jamadil Akhir 1447 Hijriah. Dalam artikel Islam dan orde dunia yang sedang muncul - Satu konvensyen mewah UIA yang dipersembahkan 6 hari lalu ada dinyatakan bahawa guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar telah menghantar poster bagi majlis berkenaan melalui WhatsApp seawal hari kelahiran saya Rabu 26 November.  Tetapi saya tidak memberikan maklum balas pada waktu itu. Apabila mendapat poster untuk satu majlis lain pada 10 Disember baru menyatakan insyaallah akan datang (untuk majlis lain itu). Ini kerana ia memang bersiri dan percuma di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa). Di bawah adalah poster itu.



Poster harus cukup jelas untuk menerangkan tentang majlis. Ia adalah yang ke-8 dalam siri bulanan dan saya telah mengikuti  sejak mula. Lihat artikel-artikel berikut :-





Petang Rabu 10 Disember 2025 keluar rumah untuk mengikuti majlis. Tetapi pergi terlebih dahulu ke Perpustakaan Negara dekat pusat bandar raya Kuala Lumpur. Ada bahan perlu dicari untuk satu projek.



Sebenarnya saya bercadang untuk ke Arkib Negara terlebih dahulu waktu pagi. Tetapi hendak dijadikan cerita semalaman asyik mengkaji sambil memperbaiki slaid bagi projek berkenaan. Selepas jam 9 pagi baru masuk tidur. Dekat jam 2 petang baru bangun lalu bersedia untuk keluar rumah.




Alhamdulillah dapat menemui sejumlah bahan yang dicari. Sejumlah lagi perlu cari di tempat lain nanti.



Saya berada di Perpustakaan Negara sampai ia hendak tutup jam 7 petang. Selepas itu baru mencari masjid untuk mandi, bersiap menukar pakaian dan bersolat selain mencari tempat untuk makan malam. Akibatnya sampai ke UIA sekitar jam 8.40 malam.


Syarahan telah pun bermula lalu terlepas sejumlah penerangan.



Namun masih bahagian mukadimah. Poin-poin utama seperti terpapar dalam slaid harus cukup untuk memberikan gambaran.



Rasanya tak perlulah diberikan ulasan.







Cuma, walaupun dapat mengikuti dengan baik, sesekali fikiran saya terlencong terfikirkan kajian yang dijalankan untuk projek. Lalu membuka komputer riba apabila perlu membuat carian...



Berbalik pada syarahan.



Seperti biasa mengikut sampai habis termasuk sesi soal jawab. Boleh ikuti sendiri syarahan melalui rakaman video bawah. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,755 di CATATAN SI MERAH SILU.






Rabu, Disember 10, 2025

Dari persekitaran Chow Kit ke hari terakhir Pesta Buku Selangor 2025

Satu penulisan santai bagi mengisi ruang sementara menyediakan diri untuk aktiviti-aktiviti yang lebih serius dalam tempoh 2 minggu akan datang.


Tengah hari Sabtu 6 Disember 2025 keluar ke pusat bandar raya Kuala Lumpur.


Isteri teringin menikmati hidangan rojak tahu cucur udang di suatu tempat di Chow Kit. Tengok-tengok ia cuma dibuka pada hari bekerja. Lalu di bahagian lain Chow Kit terlihat satu kedai nasi kandar. Kami pun singgah kerana isteri lapar hendak makan. Saya pula sebenarnya sedang berpuasa putih hari itu 15 Jamadil Akhir. Tapi tergoda dengan bau hidangan yang dipilih isteri lalu 'berbuka' awal.


Pergi ke pusat membeli belah pakaian di kawasan Masjid India.


Selepas itu ke kafe ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di satu sudut kampusnya di Bukit Tunku.


Ada perbincangan untuk melaksanakan satu majlis ilmu akan datang di kafe...


Pagi Ahad 7 Disember, setelah bermalam di rumah ibu saudara di Petaling Jaya menuju ke Seksyen7, Shah Alam.


Isteri mahu bersarapan di satu tempat...



Ini pula di masjid Seksyen 7.


Ada aktiviti untuk kanak-kanak...


Perjalanan diteruskan ke Pesta Buku Selangor 2025 di Setia Alam.



Ia adalah hari terakhir pesta...



Tidak seperti ketika hari pertama 9 hari lebih awal, kami meluangkan lebih banyak masa lalu mengikuti pelbagai aktiviti...





Kali ini kami juga berbusana penuh tradisional Melayu...







Apabila kembali ke rumah didapati saya sudah memandu sejauh 162 km, kurang sedikit jarak daripada perjalanan serupa untuk ke hari pertama pesta. Lihat Asbab khidmat kepada ibu bapa - Bertemu Sultan di Pesta Buku Selangor.




Semalam hampir tengah hari Selasa 9 Disember pergi lagi ke Chow Kit untuk mendapatkan hidangan rojak tahu cucur udang yang diidamkan isteri.




Alhamdulillah gerai berkenaan dibuka. Cuma buat sementara kerana dialih tapak untuk satu pembinaan lalu tidak cukup ruang untuk duduk makan. Kenalah bungkus. Pergi ke gerai lain sedikit jauh untuk menikmati hidangan.



Singgah bersolat di surau berdekatan. Lihat artikel Surau (Praying hall of) An-Nur, Lorong Haji Taib di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)



Hampir jam 3 baru bergerak untuk ke pusat membeli belah pakaian yang disinggahi hari Sabtu. Pun begitu sempat menyelesaikan pelbagai urusan penting, tiga daripadanya di pekan Rawang.



Malam itu iaitu beberapa jam tadi dilaksanakan edisi ke-16 Merah Silu Live. Diketengahkan isi buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" yang terbit November 2007. Lihat rakaman atas.